Sabtu, 11 Jun 2016

Menu Berbuka Hari ke 5 (2016)


     Assalamualaikum wrh... wbr...

     Salam bahagia semua... semoga sihat sejahtera hendaknya. 

     Baru je lepas mengantar anak ke klinik cek doktor anak yang kecil kena demam selsema dan batuk. Baru sekarang dapat entrikan menu semalam berbuka.




      Sempat juga semalam buat masak lemak cili api ikan talang masin dengan buah nenas, memandangkan ikan talang masih berbaki lagi dibeli sewaktu balik ke kampung tempohari. Pulak ada lebihan roti gardenia yang tak berusik, jadi saya buatkan puding roti caramel. Saya cuba dari resepi Syapex Kitchen. Minumannya pula ais bandung cincau.
Okey lah tu...


Resepi Masak Lemak Ikan Talang sama Nenas

Bahan-bahan:
ikan talang masin (dipotong)
1 biji buah nenas (dihiris nipis)
3 batang serai
2 helai daun kunyit
1 keping asam gelugur
santan ikut kepekatan
garam dan gula secukup rasa

Bahan kisar:
1 biji bawang besar
20 biji cili api
2 inci kunyit hidup
2 ulas bawang putih

Cara memasaknya:
1. Panaskan periuk, masukkan bahan kisar, 
   serai, daun kunyit, ikan masin serta nenas 
   ke dalam periuk. Biarkan sehingga mendidih.
2. Masukkan santan dan sentiasa dikacau supaya
   santan tidak pecah minyak. 
3. Masukkan garam serta perasa jika suka. Jika
   sudah masak barulah matikan api.



Tumis Sayur Campur

Bahan-bahan: 
1/4 kobis bulat (dihiris)
sedikit kobis bunga
secekak kacang buncis
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
sedikit sos tiram
sejemput ikan bilis
garam dan gula secukup rasa
sedikit minyak untuk menumis

Cara memasaknya: 
1. Panaskan minyak, tumis bawang merah dan
   bawang putih, masukkan ikan bilis. Goreng
   sehingga kekuningan.
2. Masukkan sos tiram,dikacau sekejap. 
   Masukkan sayur. Goreng sehingga sayur layu.
3. Masukkan cili hiris dan perasakan dengan
   garam serta gula. Bila sayur sudah masak 
   barulah diangkat untuk dihidangkan.



Resepi Ais Bandung Cincau

Bahan-bahan:
Cincau (dicincang kecil-kecil)
pewarna dan perisa sirap rose
susu pekat manis
gula ikut kemasnisan 
Air secukupnya
ais kiub secukupnya

Caranya:
1. Bancuh gula dengan air panas, masukkan 
   pewarna dan perisa sirap rose, serta 
   masukkan susu.
2. Didalam jug masukkan cincau serta bahan
   bancuhan sirap, masukkan air serta
   masukkan ice cube. Kacau dan siap untuk 
   dihidangkan.
 

Resepi Puding Roti Caramel

Bahan-bahan:
3 sdb gula untuk dijadikan caramel
4 keping roti gardenia
4 biji telur (dipukul manja)
2 cawan air suam (1 cawan susu cair+1 cawan 
                  air suam) 
1 cawan susu pekat
1 sdk esen vanila


Cara membuat Gula Hangus:  
Masukkan gula ke dalam kuali, masak hingga gula menjadi perang (guna api kecil supaya tidak hangit). Kemudian masukkan 1 sdb air, kacau sehingga sebati dan matikan api. Tuang terus ke dalam loyang dan ketepikan.

Cara membuat puding:
1. Panaskan pengukus, carik-carikkan roti,
   kemudian blender bersama air suam dan susu.
2. Selepas itu, masukkan telur yang telah 
   ditapis itu dan masukkan esen vanila. Blend
   sekejap agar sebati.
3. Tuang adunan tadi ke dalam loyang gula
   hangus dan kukus sehingga masak lebih
   kurang 30 minit. Bila dah masak tutupkan 
   api.      

Tiada ulasan:

Catat Komen