Rabu, 31 Oktober 2012

Khasiat Daun Dan Buah Mengkudu

           
          Assalamuaalaikum wrh wbr.....
  
      Salam sejahtera kepada anda semua. Bersiaran lagi di entri kali ini, mengenai khasiat daun serta buah mengkudu kepada kesihatan kita. Nama saintifik mengkudu ialah Morinda Citrifolia. Pokoknya mudah tumbuh dimana sahaja. Rasa daunnya yang sedikit pahit memang sedap dijadikan ulam. Daunnya sangat berkhasiat untuk pelangsingan badan. Ianya juga mempunyai fungsi perubatan yang tinggi sebagai bahan atau sebatian antioksida. Ianya dapat mengurangkan risiko penyakit kronik seperti kanser, penyakit berkaitan dengan jantung, diabetis dan penuaan.
      Kandungan yang terdapat dalam buah dan daun mengkudu merupakan bahan makanan dengan kandungan gizi yang lengkap. Selain mempunyai vitamin, protein dan mneral ia juga mengandungi xeronine, proxeronine, treroid alamiah, alizarin, arginine, antiquinenone, magnesium dan lain-lain.



Manfaat buah mengkudu:

1. Untuk melegakan penyakit sinus atau 
   resdung, asma, bronkritis, hingus  melekat 
   dan meredakan batuk.

2. Untuk sistem penghadaman atau masalah 
   yang berkaitan dengan pencernaan seperti 
   perut kembung, ulser, gastrik, cirit-birit,
   mual, muntah-muntah, kurang nafsu makan
   dan keracunan makanan.

3. Sisten kardiovaskular yakni untuk 
   mengurangi gejala dari tekanan darah
   tinggi dan mengontrol kadar kolestrol.

4. Untuk mengubati gangguan dalam tubuh 
   seperti kencing manis, sakit kepala,
   migraine, gangguan pada buah pinggang,
   penyakit kuning, demam dan panas badan.

5. Gangguan pada saluran tekak seperti radang
   tekak, sakit gusi, sakit gigi danbatuk.

6. Penyakit kulit seperti bisul, luka bakar,
   ulser kulit, merekah tumit kaki, kulit
   kering dan bersisik.

7. Manfaat untuk wanita lepas bersalin untuk 
   mengembalikan bentuk perut atau untuk me-
   ngecutkan rahim dengan cara membalut 
   beberapa helai daun mengkudu pada tungku
   yang telah dipanaskan.

sumber- internet




Isnin, 29 Oktober 2012

Masak Lemak Ayam

      
        Assalamualaikum wrh wbr.....

     Tengahari ini terasa pula nak makan masak lemak cili api ayam. Memandangkan  stok ayam pun masih ada lagi dalam simpanan serta bhan-bahan lain pun semuanya dah ada, jadi saya masak lomak ayam lah untuk makan tengahari ni. So lihatlah resepinya...



Resepi Masak Lemak Ayam

Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam dipotong kecil
3 biji ubi kentang
2 1/2 cawan santan
5 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih *
1 inci kunyit hidup*
10 biji cili api*
1 inci halia*
2 batang serai
sehelai daun kunyit
sekeping asam gelugur
garam secukup rasa

Cara memasaknya:
1. Bahan-bahan yang bertanda * ditumbuk 
   atau dikisar halus. 
2. Panaskan  periuk, masukkan bahan-bahan
   kisar tadi bersama sedikit air. Biarkan ia 
   menggelegak.
3. Masukkan ayam, kentang, serai, asam dan 
   daun kunyit. Biarkan seketika. Kemudian 
   barulah masukkan santan. Kecilkan api 
   supaya santannya tidak membuak-buak. 
   Dikacau selalu supaya santannya tidak 
   pecah.
4. Masukkan garam. Apabila kentang dah 
   empuk, barulah diangkat untuk dihidangkan.

 

Agar-agar Susu Pandan

          
        Assalamualaikum wrh wbr.....

     Salam sejahtera semua, semoga anda sihat-sihat sahaja di ketika ini. Suka sangat buat agar-agar ni. Apa lagi di ketika cuaca panas terik. Dapat juga menyejukkan tekak yang kering. Kali ini saya buatkan agar-agar susu pandan. Masak agar-agar ni, memang senang sangat dan tak banyak bahan pula.  Bermacam-macam perisa kita boleh letakkan, terpulang kepada citarasa masing-masing.




Resepi Agar-agar Susu Pandan

Bahan-bahan:

10 gm agar-agar tali
800 ml air
1/2 tin susu
3/4 cawan gula ( boleh tambah lagi kalau 
    kurang manis)
1 helai daun pandan diikat
sedikit pewarna hijau
sedikit past pandan

Cara membuatnya:

1. Masak agar-agar bersama air sehingga
   ianya cair. Masukkan gula dan biarkan ia
   larut. 
2. Masukkan susu, daun pandan. Biarkan 
   sehingga mendidih. Kemudian masukkan 
   pewarna serta pes pandan.
3. Masukkan kedalam loyang atau acuan 
   yang disukai. Biarkan sehingga sejuk,
   barulah dipotong. 


Jumaat, 26 Oktober 2012

Salam Aidil Adha 2012

           
          Assalamualaikum wrh wbr.....

          Salam Aidil Adha saya ucapkan kepada seluruh teman-teman yang beragama Islam yang mana hari ini adalah Hari Raya Aidil Adha. Mohon maaf sekiranya terlanjur berbicara sama ada secara sengaja atau pun tidak. Semoga segala amal ibadah yang kita lakukan akan diberkati dan diterima oleh Allah swt. Dan kepada umat Islam yang berpeluang mengerjakan ibadah haji pada tahun ini, semoga pekerjaan haji anda menjadi lancar serta akan memperoleh haji yang mabrur.... Insyaallah.




        " Dan bagi tiap-tiap umat, kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai tanda syukur akan pengurniaannya kepada mereka. (Iaitu) binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana tuhan kamu semua adalah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepadanya dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada mereka yang tunduk taat."
                                                                                                                                  (Al-Haj:34)


Selasa, 23 Oktober 2012

Bulan Zulhijjah

        
                Assalamualaikum wrh wbr......

            Salam  ukhwah kepada semua yang sudi berkunjung ke sini. Beberapa hari lagi seluruh umat Islam di dunia ini akan menyambut Hari Raya Aidil Adha bermakna kita telah pun berada di bulan Zulhijjah. Di bulan ini juga umat Islam akan ke tanah suci Makkah untuk mengerjakan ibadah haji, yakni rukun haji yang ke lima. Selepas menunaikan solat aidil Adha, umat Islam akan menyembelih korban.


            Imam Ahmad r.a dari IbnuUmar r.a bahawa Rasulullah saw bersabda: "Tiada satu hari pun, amalan kebaikkan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari ke 10 Zulhijjah ini. Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (Lailahaillallah), takbir 
 (Allahhuakbar) dan tahmid (Alhamdulillah).


Amalan yang digalakkan pada 10 hari di bulan Zulhijjah:

1. Melaksanakan ibadah haji dan umrah.
2. Berpuasa pada siang hari.
3. Memperbanyakkan mengingati Allah dengan 
   berzikir.
4. Memperbanyakkan amalan kebajikan seperti
   bersedekah.
5. Membaca Al-Quran dan memahami maknanya.
6. Melaksanakan ibadah korban selepas solat 
   Aidil Adha.
      
      Marilah kita sama-sama mengambil kesempatan memper-banyakkan amalan kita sementara kita masih berada di bulan yang mulia ini. Kepada semua para jemaah haji didoakan mudah-mudahan mereka diampunkan dosa-dosa mereka yang telah lalu dan semoga mereka memperoleh haji yang mabrur..... Insyaallah.

sumber-internet


Isnin, 22 Oktober 2012

Novel Bicara Hati

      
        Assalamualaikum wrh wbr.....

        Salam ceria untuk semua. Entri kali ini mengenai novel pilihan saya yang dah agak ketinggalan iaitu novel Bicara Hati, hasil penulisan Damya Hanna. Best sangat ceritanya. Novel ini pun sudah di adaptasikan ke drama yang sebelum ini pernah popular kat televisyen. Saya juga tidak melepaskan peluang menonton cerita ini.



Serba sedikit tentang sinopsis cerita ini:
      
     Dalam satu kemalangan kecil yang tidak disengajakan, Tengku Syahran dan Zahlia bertemu. Ketika itu, Tengku Syahran sedang buntu memikirkan cadangan emaknya yang ingin menjodohkan dia dengan Linda, seorang wanita yang tidak pernah dicintainya.
     Seminggu mengenali Zahlia, Tengku Syahran menyatakan hasratnya untuk memperisterikan Zahlia untuk mengelak dirinya dikahwinkan dengan Linda. Zahlia terkejut dengan permintaan Tengku Syahran. tengku Syahran tidak dikenalinya dan tidak mungkin Zahlia boleh jatuh cinta dengan pemuda itu.
     Zahlia serba salah untuk menerima lamaran itu. Pelbagai cara dilakukan oleh Tengku Syahran untuk memenangi hati Zahlia. Akhirnya Zahlia akur, tetapi dengan syarat, iaitu hak-hak peribadi Zahlia tidak akan diganggu.
     Seteleh diijabkabulkan, Tengku Syahran mula berubah, egonya terlalu tinggi dan tidak mengikut perjanjian yang telah ditetapkan. Zahlia rasa tertipu. Tengku Syahran telah mungkir janji . Kini timbul pelbagai lonflik dalam rumah tangganya.
     Benarkah hakikat bahawa perkahwinan yang berdasarkan kontrak tidak dapat mengundang rasa cinta, kasih-sayang dan kerinduan? Bicara hati sebuah kisah yang dapat mengungkap segala rahsia...


Ahad, 21 Oktober 2012

Khasiat Pisang

   
         Assalamualaikum wrh wbr.....

      Salam untuk semua teman-teman. Entri kali ini kita mengetahui pula tentang khasiat pisang. Pokok pisang adalah sejenis tumbuhan yang mudah hidup. Ianya mudah didapati di negara ini. Selain dari buah, daunnya pula sangat berguna untuk membalut makanan atau kuih.

      Nama saintifik pisang ialah Musa Sapientum yang sangat kaya dengan vitamin A dan C, niasin dan juga zat galian seperti kalsium fosforus dan besi. Ia juga mengandungi kromium, sejenis bahan yang merangsang aktiviti enzim dalam metabolisme glukos yang penting untuk membekalkan tenaga.
       Kajian menunjukkan bahawa pisang mengandungi kanji sebanyak 20 peratus dan gula 1 peratus. Pisang mempunyai pelbagai jenis antaranya pisang rastali, emas, tanduk, abu, berangan dan lain-lain. Ianya juga boleh dimakan mentah, digoreng, dijadikan kuih, jus dan sebagainya.



Khasiat pisang untuk kesihatan:

1. Dapat menurunkan darah tinggi dan me-
   ngelakkan stroke kerana kandungan potasium-
   nya yang tinggi.

2. Pisang rendah dari segi kalori lemak dan 
   sodium yang membantu merendahkan kolestrol.

3. Potasium dan magnesium yang terkandung di
   dalamnya amat sesuai merawat orang yang
   mengalami cirit birit.

4. Pisang juga kaya dengan zat besi, boleh me-
   rangsang penghasilan haemoglobin di dalam
   darah. Ini dapat mengelakkan dari anaemia 
   iaitu penyakit kurang darah.

5. Orang yang murung lebih cepat ceria kerana
   kandungan sejenis protein membantu kita 
   menjadi tenang.

6. Dengan meminum susu pisang kocak (banana 
   milkshake) yang dicampur dengan madu dapat
   mengurangkan rasa pening.
  
    Begitulah khasiat pisang yangsangat berguna untuk kesihatan badan kita.




Jumaat, 19 Oktober 2012

Kuih Apam Salju

   
                Assalamualaikum wrh... wbr...

      Salam sejahtera kepada semua. Entri kali ini mengenai  kuih apam salju yang saya buatkan untuk sarapan pagi tadi. Suka sangat, sbb kuihnya menjadi dan sedap pula tu.  Lihatlah resepinya...





Resepi Kuih Apam Salju

Bahan-bahan:
2 cawan nasi
2 cawan tepung gandum
2 cawan tepung beras
1 cawan gula perang
3/4 cawan gula pasir
2 1/2 cawan air
1 sdk yis mauripan
kelapa parut
Garam

Cara memasaknya:
1. Blend nasi dan air hingga hancur.
2. Kemudian masukkan gula perang dan gula 
   pasir. Blend beberapa minit lagi.
3. Dalam bekas lain, satukan tepung beras,
   tepung gandum dan yis mauripan.
4. Campurkan adunan nasi tadi ke dalam tepung.
   Kacau rata.
5. Bahagikan kepada beberapa warna yang 
   digemari.
6. Perap selama 3 jam, kemudian barulah boleh 
   dikukus. 
7. Masukkan adunan ke dalam acuan yang
   digemari.
8. Sapukan minyak pada acuan terlebih dahulu 
   supaya tidak melekat.
9. Kukus lebih kurang 15 minit. Sedia untuk 
   dihidangkan. 

 


Rabu, 17 Oktober 2012

Khasiat Kacang Bendi

         
          Assalamualaikum wrh wbr....

      Salam sejahtera kepada teman-teman semua di dunia maya ini. Semoga  sihat sejahtera hendaknya. Entri kali ini saya nak share pula tentang khasiat kacang bendi atau orang kedah kata kacang lendiaq. Sebenarnya kacang bendi ni biasanya digunakan untuk masakan.

      Nama saintifik kacang ni ialah Abel Moschus Esculentus. Buah muda yang gunanya untuk membuat sayur atau kari. Ianya sangat berkhasiat kerana dapat membantu menguatkan otak serta menambah daya ingatan serta kecerdasan. Pokoknya sayur ini memang bagus untuk anak-anak kita.



Khasiat kacang bendi ini dapat membantu:

1. Mencuci hati.

2. Menstabilkan kandungan gula dalam darah.

3. Membantu melicinkan bahagian dalam usus 
   besar.

4. Membantu mengelakkan  sembelit atau me-
   ngurangkan masalah sembelit terutama di 
   kalangan warga tua.

5. Ia membantu pertumbuhan bakteria baik dalam
   saluran usus.

6. Sejenis sayuran yang amat baik untuk
   mereka yang murung, keletihan dan rasa 
   tidak selesa.

7. Membantu merawat ulser dan mengurangkan 
   kekejangan pada sendi.

8. Sifat yang beralkali membantu menutralkan 
   asid dalam badan sekaligus membantu me-
   ngurangkan masalah penghadaman.

9. Juga ianya dapat membantu mengurangkan  
   radang paru-paru, sakit kerongkong serta
   kesakitan pada dubur.

     Begitulah serba sedikit tentang khasiat daripada kacang bendi. Ambillah ia selalu untuk dijadikan menu masakan kita, memandangkan ianya sangat berkhasiat untuk kesihatan kita.


sumber- internet



Isnin, 15 Oktober 2012

Kuih Talam Ubi

 
          Assalamualaikum wrh wbr.....

       Salam ceria untuk semua di pagi ini. Bersua lagi di entri kali ini. Malam tadi terasa rajin lah pulak, maka saya buatkan kuih talam ubi untuk sarapan pagi. Memandangkan parutan ubi masih lagi berbaki di dalam peti sejuk. Saya cubalah buatkan kuih ini. First time buat kuih ni, alhamdulillah menjadi. Kuihnya pun sedap sangat. Saya cuba dari resepi CHE MAT GEBU. Terima kasih kerana berkongsi resepi, dan izinkan saya letakkan resepinya kat sini....





Resepi Kuih Talam Ubi

Bahan-bahan: 
Lapisan bawah:
600gm parutan ubi kayu
160 ml santan cair
200 gm gula pasir
50 gm gula melaka
sedikit pewarna coklat (saya tak guna)
1 helai daun pandan

Caranya:

1. Satukan santan, gula pasir, gula melaka dan
   daun pandan. Masak dengan api perlahan
   hingga gula larut. tapis dan sejukkan.
2. Sediakan loyang 8x8x3, lapikkan dengan 
   plastik. sapu sedikit minyak pada plastik
   tadi.
3. Panaskan kukusan, satukan air gula merah 
   yang dah sejuk tadi bersama ubi. Kacau
   rata 
   dan tuangkan ke dalam loyang tadi.
4. Kukus selama 20 minit dengan api yang 
   sederhana.

Lapisan atas:

600 ml santan
40 gm tepung gandum
70 gm tepung beras
garam secukupnya

Caranya:

1. Bancuh semua bahan untuk lapisan atas 
   kecuali garam. Kacau rata dan tambah 
   garam secukup rasa (jangan banyak, kasi
   rasa lemak je)
2. Tapiskan bancuhan tadi, kemudian masak 
   sekejap atas api sehingga naik wap. Kacau
   tanpa henti. Tuang perlahan-lahan atas ubi 
   tadi.
3. Kukus selama 25 minit dengan api sederhana.
4. Biarkan kuih sejuk dahulu baru dipotong.



Pengat Pisang

         
          Assalamualaikum wrh wbr....

     Salam bahagia kepada teman-teman semua. Bertemu lagi kita di entri kali ini.  Melihatkan pisang masih ada lagi yang tersisa. Daripada ianya rosak begitu sahaja, maka saya buatkan pengat pisang. Orang belah utara cakap serawa pisang. Sewaktu saya tinggal kat Indon dulu, bila bulan puasa orang-orang Indonesia suka buatkan serawa ni. 


      Dia orang panggil kolak pisang. Saya rasa semua orang tahu masak pengat ni. Saya gunakan pisang montel untuk buat pengat ni. Selain dari pisang, kita juga boleh gantikan dengan ubi keledek, buah labu, nangka, durian dan sebagainya. Mai kita tengok resepinya....




Resepi Pengat Pisang

Bahan-bahan:

4 biji pisang dipotong menyerong
2 1/2 cawan santan
sedikit sagu mata ikan
3 sdb gula putih
1 sdb gula merah
1 helai daun pandan
sedikit garam

Cara membuatnya:

1. Jerangkan air, gula putih serta gula merah
   sehingga cair. Masukkan sagu mata ikan.
2. Masukkan  daun pandan dan sedikit garam. 
   Masukkan santan. Kacau lagi.
3. Akhir sekali masukkan pisang, biarkan 
   seketika. Barulah diangkat untuk dihidang-
   kan. Sedap dimakan ketika panas atau sejuk.


Jumaat, 12 Oktober 2012

Khasiat Halia

           
        Assalamualaikum wrh wbr.....

      Salam bahagia teman-teman di dunia maya ini. Alhamdulillah, syukur kerana dapat bersua lagi di entri kali ini. Kali ini kita mengetahui tentang khasiat halia pula. Seperti mana yang kita ketahui, halia ini sering menjadi ramuan di dalam masakan. Nama saintifik halia ialah Zingiber Officinale iaitu sejenis tanaman yang berasal dari negara China. Orang-orang China menjadikan amalan pemakanan halia untuk mengatasi penyakit terutama masalah kesejukkan anggota badan terutamanya di bahagian kaki dan tangan.

     Ianya sangat kaya dengan kandungan kalium, fosforas, kalsium dan tenagaselain protein, karbohidrat, gentian, vitamin C dan niasin. Kandungan aktif dalam halia dikenali sebagai gingeroles memberi kesan apabila ia meresap ke dalam badan.
     Halia biasanya digunakan di dalam masakan. Selain itu, ia boleh dijadikan minyak, disapu pada anggota badan yang sakit.




Khasiat halia seperti berikut:

1. Sesuai untuk wanita baru bersalin dan 
   mereka yang mengalami masalah angin seluruh
   badan.

2. Boleh mengawal beberapa penyakit seperti 
   demam, batuk, migrain, sakit gigi, sakit
   tulang, senggugut dan sesak dada.

3. Menghilangkan kadar kesejukkan yang 
   terdapat pada makanan dan buah-buahan serta
   sayur-sayuran apabila telah dimakan  atau
   diminum.

4. Membantu menghadamkan makanan.

5. Melembutkan perut dengan kelembutan yang 
   sederhana.

6. Mengawal hati supaya tidak sejuk dan basah.

7. Membantu menguatkan tenaga jimak dan 
   menambahkan air mani.

8. Membuang angin yang terdapat dalam usus 
   kecil dan usus besar.

9. Membuang kahak dan lendir yang melekat 
   pada bahagian halkum.

10. Menghilangkan bau mulut.

11. Mengatasi masalah mual dan mabuk dalam
    perjalanan.

        Begitulah khasiat halia dalam penggunaannya kepada kesihatan kita. Selain menjadi bahan masakan ia bermanfaat bagi tubuh badan kita.


sumber- internet




Isnin, 8 Oktober 2012

Novel Adam Dan Hawa

      
         Assalamualaikum wrh wbr....

     Salam sejahtera semua. Moga sukses selalu. Kali ini nak cerita lah sikit tentang novel pilihan saya iaitu novel Adam dan Hawa dari penulis Aisya Sofia.  Terkadang duduk saja-saja suka juga layan novel ni, sekadar suka-suka je. Sekarang ni tengah demam cerita ni, cerita dari novel diadaptasikan ke drama. So, tiap hari memang tak lepas lah menonton cerita ni.

      Di awal cerita ni, sempat jugalah saya tonton cerita ini. Oleh kerana tak sabar-sabar nak tahu jalan ceritanya maka saya pun belilah novelnya. Bila kat kedai buku tu, tercari-carilah novel tersebut tapi tak ada pun. Mungkin dah habis stok agaknya. Frust lah juga, sebab tak dapat. Tapi tak apalah, kalau tak ada pun tak apa. Sekali dah nak keluar, terpandang satu lagi novel ni kat rak di dinding kedai tu. Siap tanya jurujual tu lagi, ni tak jual ke dik. Katanya ini rezeki akak lah, tinggal satu ni sahaja lagi. Wah, sukanya saya dapat juga saya memiliki novel ni.



            Serba sedikit tentang sinopsis cerita Adam dan Hawa mengisahkan Ain Hawani, zaman solonya ternoktah di usia remaja. Hanya kerana silap perhitungan, timbul prasangka buruk menyebabkan dia dan Adam mukriz terjerat. Rayuannya tak dipedulikan. Lelaki itu diam membisu seolah-olah benar apa yang berlaku.
     Akhirnya ijab kabul di antara mereka terlafaz dalam paksa dan tanpa rela. Sayangnya hubungan suami isteri hanya tercatat di atas kertas sahaja. Ain kecewa dan  pergi mencari harga diri. Setelah lapan tahun pergi dan menanti, Ain dan Adam dipertemukan  di depan pinti Masjidil Haram. Bagi Adam, kebetulan ini memang didoakan sekian lama. Ain pula terus membisu dan menganggap ikatan mereka sudah lama terputus.
     Tapi tegarkah Ain? Sejak pertemuan itu, hati ain berbolak-balik. Benarkah dalam hati ada cinta? Tapi keegoannya cuba menidakkan.
Ingin diluah tidak terkata ingin disimpan, hati tak tertanggung. Bagi Adam dia tetap menanti...
     Sama-sama lah kita nantikan kesudahan dari cerita ini.


Khasiat Daun Sambung Nyawa

      
         Assalamualaikum wrh wbr....

      Salam penuh kebahagiaan saya ucapkan kepada kawan-kawan semua. Entri kali ini saya ingin share lah sedikit mengenai khasiat dari tanaman herba. Ini adalah untuk pengetahuan kita bersama. Kadang-kadang kita pernah lihat pokoknya tetapi tidak tahu khasiat dan kegunaannya. So dekat sini nak cerita lah serba sedikit tentang pokok ini.

      Nama saintifik daun sambung nyawa ini ialah Gynura Sarmentos DC, iaitu sejenis tanaman  tumbuhan asli Myanmar dan China. Namun, sekarang banyak digunakan dalam perubatan di negara-negara di Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand. Ianya sangat mudah dibiakkan iaitu dengan hanya keratan batang dan ia sangat mudah tumbuh di kawasan yang redup. Biasanya ianya dimakan mentah sebagai ulam.


Ia mempunyai khasiat berikut:

1. Dapat mengurangkan kadar kolestrol dan
   menurunkan tekanan darah tinggi.

2. Untuk merawat sembelit, kencing manis 
   serta dapat merawat kanser.

3. Digunakan sebagai penyembuh buah 
    pinggang, disentri dan infeksi kerongkong.

4. Selain itu digunakan untuk menghentikan
    pendarahan, mengatasi ketidak seimbangan 
    haid serta gigitan binatang berbisa.

      Begitulah khasiat daripada tanaman ini. Ianya boleh digunakan sebagai rawatan perubatan. Tetapi penggunaannya mestilah mengikut peraturan yang di syorkan. Ini adalah kerana jika ia digunakan secara berlebihan, dikhuatiri akan mengundang efek samping seperti tekanan darah yang terlalu rendah dan sebagainga.


sumber-internet




Sabtu, 6 Oktober 2012

Kuih Kasturi

       
            Assalamualaikum wrh wbr.....

      Salam sejahtera di pagi minggu ini, semoga anda semua sihat walafiat hendaknya.
Hari ini terasa rajin lah pula, jadi saya buatkan kuih kasturi untuk sarapan pagi ini. Resepi kuih ini saya cuba resepi dari KAK UMI KUANTAN. Sedap sangat kuihnya. Terima kasih saya ucapkan atas resepinya. Mohon izin copykan resepinya kat sini ya....



Resepi Kuih Kasturi

Bahan-bahan:

300 gm kacang hijau (direndam 2 jam)
800 ml air
2 1/4 cawan tepung gandum
1/3 cawan kelapa parut muda
1/3 cawan gula merah
1/2 cawan gula pasir
1 sdk garam

Cara memasak:

1. Basuh kacang hijau, masukkan air dalam 
   periuk dan rebuskan kacang hijau hingga 
   lembut dan kembang.
2. Bila dah benar-benar kembang, masukkan
   gula merah dan gula pasir, kacau biar agak
   pekat dan kering.
3. Masukkan garam, tutupkan api dan masukkan
   kelapa parut muda. Kacau sebati dan
   biarkan suam sebentar.
4. Masukkan tepung dan adun sebati. Tuangkan 
   ke dalam loyang dan tekan-tekan biar padat 
   setebal 1 cm. Sejukkan dalam fridge.
5. Bila dah sejuk dan keras, tekap dengan 
   acuan bulat (permukaan gelas). Letak atas 
   loyang yang ditabur dengan tepung dan 
   tekan/ leperkan sedikit. buatlah hingga 
   habis.

Untuk bancuhan menggoreng:

2/3 cawan tepung gandum
1/3 cawan tepung beras
2 sdb air kapur
3/4 cawan air
sedikit garam
sedikit serbuk kunyit
minyak secukupnya untuk menggoreng

Caranya:

1. Bancuh sebati bahan-bahan di atas seperti 
   adunan menggoreng pisang.
2. Celupkan tepung kacang hijau yang dibentuk
   tadi dan goreng dengan api yang sederhana. 
   Balik-balikkan selalu. Bila kekuningan 
   bolehlah diangkat.