Memaparkan catatan dengan label masakan kuih talam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label masakan kuih talam. Papar semua catatan

Ahad, 12 November 2017

Kuih Serimuka Durian


      Assalamualaikum...

   Selamat tengahari... dah makan tengahari ke belum? Selamat menjamu selera kepada teman2 yang sedang lunch di tengahari ini.

   Hari minggu kelmarin sewaktu pulang dari kampung terlihatlah ada yang berjualan durian kat pasar Changkat Jering. Apa lagi serbu lah kita, dapatlah sekampit durian. Walaupun agak mahal, nak makan punya pasal beli jugaklah...

   Sampai rumah terus tanak pulut, dapatlah makan pulut durian. Jadi yg lebihnya saya cuba buat kuih serimuka durian. 



   Alhamdulillah... sukanya saya kerana kuihnya memang menjadi dengan elok. Dapatlah dibawa satu loyang kuih serimuka durian kepengajian.



   Rasanya pun okey sangat, taklah begitu manis dan taklah terlalu lemak. Nanti saya sharekan resepinya.


Jumaat, 27 Mei 2016

Kuih Jemput-jemput Ikan Bilis


             Assalamualaikum wrh... wbr...

    Apa khabar teman-teman semua. Semoga hari ini anda semua berbahagia selalu di hari Jumaat yang penuh barokah ini.

    Petang tadi saya masak jemput-jemput ikan bilis untuk hidangan minum petang. Biasalah diwaktu petang-petang perut suka lapar. Apalagi kalau hujan turun, mesti merayap kegerai cari makanan. Untung gerai hanya kat depan rumah je. Tapi kalau sering kegerai tak best pula, macam-macam komplenlah pula tak sedaplah, tak menepati citarasa lah dan macam-macam lagi. 

   Jadi jalan yang terbaik, masaklah sendiri. Nak rasa ikan bilis lebih, letaklah ikan bilis banyak-banyak. Yang penting ada kerajinan. Kalau ahli keluarga ramai, eloklah masak sendiri, lagi jimat... kan. Jom tengok resepinya.... ya.


Resepi jemput-jemput ikan bilis

Bahan-bahan:

2 cawan tepung gandum
1 cekak ikan bilis (ditumbuk kasar)
1 biji bawang besar (dihiris)
1 biji cili merah (buang bijinya dan 
     dihiris halus)
garam secukupnya
air secukupnya uDiantuk membancuh tepung
1 ketul kiub ikan bilis
minyak masak secukupnya untuk menggoreng
  

Cara memasaknya:

1. Di dalam bekas masukkan tepung, ikan
   bilis, bawang besar hiris,garam serta kiub
   ikan bilis. Gaulkan supaya bercampur.

2. Masukkan air sedikit demi sedikit sambil
   dikacau supaya bercampur.

3. Panaskan minyak, sudukan ia kedalam 
   minyak    panas. Apabila sudah garing 
   bolehlah diangkat.
 

Sedap dimakan dengan sos  cili atau apa-apa sos yang disukai.




Ahad, 15 Mei 2016

Kuih Serimuka Pandan


         Assalamualaikum wrh... wbr...

   Bersua lagi kali ini... semoga teman-teman semua berbahagia selalu.

   Kali ini saya entrikan mengenai masakan kuih serimuka pandan. Anak perempuan saya yang kecil sangat sukakan kuih ni. Dah lama katanya mama tak buat kuih hijau ni. Jadi saya buatlah kuih kegemarannya. Kali ini saya cuba dari resepi Chef Haniliza. Memang sedap rasa kuihnya. Saya copykan resepinya di sini pula... ya.




Resepi Kuih Serimuka Pandan

Bahan-bahan:

Lapisan Bawah:

2 cawan beras pulut
2 cawan santan cair
sedikit garam

Cara-caranya:

1. Basuhkan beras pulut dan rendamkan
   sekurang-kurangnya 3 jam.

2. Masukkan semua bahan ke dalam loyang yang
   dilengser dengan sedikit minyak.

3. Kukus sehingga pulut masak.

4. Tekankan pulut yang telah masak tadi
   supaya mampat dan cantik.

5. Kemudian barulah tuangkan adunan lapisan
   atasnya.


Lapisan Atas

2 cawan santan pekat
1 cawan jus pandan
3/4 cawan gula
3/4 cawan tepung gandum
1/4 cawan tepung kastad
1 biji telur
1 sdk garam 
sedikit pewarna hijau

Cara membuatnya:

1. Masukkan semua bahan ke dalam mangkuk dan 
   kacau rata, tapiskan.

2. Tuangkan perlahan-lahan ke atas pulut di
   dalam loyang tadi.

3. Kukus lebih kurang 30 minit.

4. Sejukkan dahulu, baru dipotong dengan
   pisau plastik. 





Ahad, 14 Disember 2014

Kuih Lapis


     Assalamualaikum wrh... wbr...

    Salam bahagia teman-teman, semoga berbahagia selalu. Kali ini saya entrikan mengenai kuih lapis. Dah lama teringin nak makan kuih lapis buatan sendiri ni. Baru sekarang berpeluang membuatnya. Saya ambil resepi Dari Dapur Kak Yah. Cuma saya buatkan setengah bahagian sahaja. 

   Terima kasih Kak Yah atas perkongsian resepinya. Saya copykan resepinya untuk rujukan saya nanti.




Resepi Kuih Lapis

Bahan-bahan:

5 cawan santan
1 cawan gula
2 cawan tepung beras
1 cawan tepung gandum
secubit garam
1/2 sdt perisa rose
pewarna pink
 

Cara membuatnya:

1. Panaskan santan dan gula hingga menjadi 
   hancur. Sejukkan.

2. Panaskan pengukus dan pastikan air  
   menggelegak/mendidih dengan api yang kuat.

3. Masukkan tepung gandum dan tepung beras
   ke dalam santan. Masukkan juga garam dan 
   perisa rose, tapiskan.

4. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian
   berasingan.

5. Masukkan pewarna pink ke dalam satu
   bahagian adunan dan satu bahagian lagi
   dibiarkan warna asalnya.

6. Sapukan loyang dengan sedikit minyak dan 
   alaskan plastik di dasarnya.

7. Kukus setiap lapisan selama 5-7 minit. 
   Bagi lapisan terakhir kukus selama 10-15 
   minit.

8. Keluarkan dan biarkan sehingga sejuk, 
   barulah dipotong.





Isnin, 14 Julai 2014

Kuih Talam Berlauk


       Assalamualaikum wrh....wbr....

   Selamat berpuasa saya ucapkan kepad teman-teman blogger semua. Saya rasa mungkin ibu-ibu atau para-para suri rumah tangga sudah mula membuat persiapan sama ada membuat kuih raya atau shopping baju raya untuk anak-anak bagi menyambut hari raya nanti. Walau apa pun jua, kenalah diingat berbelanja tu kenalah berwaspada. Belanja apa yang perlu sahaja. Jangan sampai melebihi kemampuan kita.

   Berbalik kepada cerita masak-memasak pula. Saya telah mencuba membuat kuih talam berlauk yang resepinya saya ambil dari resepi YATI MEMORIES. First time buat kuih ni, alhamdulillah ternyata menjadi dan rasa kuihnya pun sedap juga. Terima kasih Yati di atas resepinya, izinkan saya letakkan resepinya kat sini pula ya....



Resepi Kuih Talam Berlauk

Bahan-bahan: ( loyang 8 inci)

1 cawan tepung gandum
3 sdb tepung jagung
3 cawan santan
1 sdk garam
1 biji telur

Cara memasaknya:

1. Kacau semua bahan dan tapiskan.
2. Sapu sedikit minyak dalam loyang.
3. Panaskan kukusan.
4. Tuangkan adunan ke dalam loyang dan
   kukuskan selama 30 minit.
5. Sejukkan dan taburkan inti serta daun
   sup dan daun bawang.
6. Potong dan hidangkan.


Bahan inti dan hiasan:
 
200 gm daging ayam/ daging
2 biji ubi kentang (potong dadu)
1 labu bawang besar (dicincang halus)
1 ulas bawang putih
3 sudu besar rempah kari ayam/daging
2 biji cili merah (dihiris halus)
1 batang karot (diparut)
daun sup/daun bawang (diracik kecil)
2 sdb minyak masak
garam dan gula secukup rasa


Caranya:

1. Panaskan minyak, tumis bawang besar dan 
   bawang putih.

2. Masukkan rempah kari dan masak hingga 
   wangi.

3. Masukkan daging dan kentang. Kacau rata, 
   tambah sedikit air jika perlu.

4. Biarkan semuanya masah dan empuk.

5. Sejukkan dan taburkan di atas adunan yang 
   dikukus.

6. Seandainya terdapat minyak, toskan 
   sedikit inti supaya cantik bila ditaburkan
   di atas permukaan kuih tadi.



Selasa, 8 April 2014

Kuih Talam Pandan


        Assalamualaikum wrh wbr....

    Teringin nak makan kuih talam pandan, so hari ni try buat. Alhamdulillah, okey menjadi juga. Cuma potongannya kurang cantik. Saya cuba kuih ni dari resepi Yati Memories. 


    Terima kasih di atas resepinya, izimkan saya copykan resepinya kat sini pula ya....




Resepi Kuih Talam Pandan

Bahan-bahan:

Bahan-untuk lapisan bawah:
1 cawan tepung beras
1sdb tepung jagung
1/2 cawan gula (tambah 2 sdb lagi)
2 cawan santan cair
1 cawan jus pandan
sedikit garam
sedikit pewarna hijau
1 sdb air kapur


Cara memasaknya:

1. Panaskan kukusan dan sapukan minyak 
   pada loyang dan kukus sebentar.

2. Masukkan semua bahan lapisan bawah 
   ke dalam mangkuk dan kacau rata. 
   Tapiskan.

3. Masak adunan sebentar sehingga naik wap 
   dalam 10 minit dan kacau sentiasa.

4. Tuangkan adunan ke dalam loyang dan 
   kukuskan sehingga masak anggaran selama 
   20 minit.

5. Sementara itu, bolehlah sediakan bahan 
   lapisan atas.


Bahan untuk lapisan atas:

1/2 cawan tepung beras
4 sudu besar tepung jagung
3 cawan santan sederhana pekat
1 sdk garam

Cara memasaknya:

1. Gaulkan bahan lapisan atas dan tapiskan.

2. Masakkan sekejap adunan di atas api 
   perlahan. Sentiasa kacau supaya adunan 
   ini tidak berketul (dalam 10 minit).

3. Bila adunan lapisan bawah telah siap,
   cakarkan sedikit dengan garpu dan
   tuangkan adunan lapisan atas ke atas
   lapisan bawah tadi.

4. Sekiranya ada air atas lapisan itu,
   bolehlah lapkan sedikit guna kertas tisu 
   dan cakarkan.

5. Kukus lagi selama 20 minit. Setelah siap
   angkat dan sejukkan.

6. Biarkan betul-betul sejuk sebelun di
   potong dan dihidangkan (potong guna pisau 
   plastik/ pisau kek).


Rabu, 27 November 2013

Kuih Talam Suji


      Assalamualaikum wrh wbr....

   Salam penuh keceriaan didoakan kepada teman-teman semua, semoga anda semua lebih csria di pagi ini. Kali ini saya entrikan mengenai kuih talam suji yang saya telah cuba resepinya  dari Chef Zubaidah. Memang sedap kuihnya. Tapi saya buatkan setengah adunan sahaja. Anak-anak memang tidak menggemari kuih-kuih talam ni, tapi kalau kek cepat lah habis. 


   Saya copykan resepinya kat sini untuk rujukan di masa akan datang nanti.


Resepi Kuih Talam Suji

Bahan-bahan:

Bahan lapisan bawah:

140 gm tepung suji
20 gm tepung gandum
2 biji telur
pewarna lemon yellow
120 gm gula pasir
750 ml santan cair
1/2 tsp garam


Bahan lapisan atas:

2 biji telur
700 gm santan pekat
1 tsp esen vanila
1/2 tsp garam
150 gm tepung gandum
80 gm gula pasir
200 gm gula melaka
1 tsp coklat emulco



Cara membuatnya:

1. Satukan semua bahan lapisan bawah dan
   kacau di atas api sederhana hingga kental.
   Masukkan ke dalam loyang yang telah
   dialas dengan plastik. Ratakan dan kukus
   selama 20 minit.

2. Cincang gula melaka, kemudian kisar 
   bersama dengan bahan lapisan atas. Tapis
   ke dalam periuk, masak hingga naik wap.

3. Tuangkan ke atas lapisan bawah bahan
   tadi, tutup loyang dengan aluminium foil
   dan kukus selama 30 minit atau sehingga 
   masak. 

4. Sejukkan kuih dahulu, barulah dipotong.


Khamis, 7 November 2013

Kuih Talam Gula Merah


          Assalamualaikum wrh wbr.....

   Salam bahagia semua, semoga ceria-ceria selalu hendaknya di hari ini. Hari ni nampaknya berjaya juga saya membuat kuih talam gula merah. Sebelum ini pernah buat, tapi tak menjadi.... kuihnya lembik dan tak boleh dipotong. Entah apa silapnya, saya pun tak pasti. Jadi kali ini saya mencuba dari resepi KAk HANILIZA. 

   
   Alhamdulillah menjadi kuihnya dan sedap pula tu....Saya buatkan setengah adunan sahaja. Tapi potongannya kurang cantik sedikit. Walau apapun jua, saya ucapkan terima kasih di atas resepinya. Saya letakkan resepinya di sini untuk rujukan di masa akan datang.


                  

Resepi Kuih Talam Gula Merah

Bahan-bahan:

Lapisan bawah:
1 cawan gula merah*
1/2 cawan gula pasir*
5 cawan air biasa*
2 cawan tepung gandum
2 sdb tepung ubi
1 sdt air kapur


Cara membuatnya:

1. Panaskan kukusan dan sapukan minyak pada 
   loyang.

2. Bahan yang bertanda * dimasak diatas api 
   dan sejukkan.

3. Gaulkan adunan dan tapiskan.

4. Tuangkan ke dalam loyang dan kukuskan 
   selama 20 minit.

5. Bila dah masak, cakarkan sedikit permukaan
   adunan dengan garpu.

Lapisan atas:

3 cawan santan pekat
1 cawan tepung beras
1 sdk garam

Caranya:

1. Gaul dan tapiskan. Masakkan sekejap di
   atas api sehingga naik wap saja.

2. Tuangkan ke atas adunan bawah yang telah 
   dicakarkan sedikit.

3. Kukuskan selama 20 minit atau sehingga 
   masak.

4. Sejukkan dahulu baru dipotong dengan
   pisau  plastik.


Rabu, 11 September 2013

Kuih Serimuka Jagung


            Assalamualaikum wrh wbr....

   Salam bahagia dipagi ini semoga teman-teman semua berbahagia selalu hendaknya. Dah lama tak buat kuih. Sekali-sekala teringin pula nak makan kuih buatan sendiri. Cari punya cari resepi kuih serimuka. Teringin pula nak mencuba kuih serimuka Jagung. Jadi saya cuba dari resepi ARAH, memang sedap kuihnya. 


   Terima kasih atas perkongsian resepinya ini. Saya letakkan resepinya kat sini untuk rujukan di masa akan datang.



Resepi Kuih Serimuka Jagung

Bahan-bahan:

Bahagian bawah:
250 gm beras pulut
250 ml santan
1 sdk garam

Cara memasak:

1. Kesemua bahan-bahan di satukan ke dalam 
   loyang yang disapu dengan sedikit minyak 
   masak terlebih dahulu. Saya gunakan
   loyang yang bersaiz 5x5 in.

2. Kukuskan ke dalam pengukus sehingga masak 
   selama 25 minit.

3. Apabila pulut dah masak kacaukan ia dan
   tekankan sehingga padat. Kemudian barulah 

   di tuangkan lapisan atas pula.




Bahagian atas:

2 biji telur (saya guna 1 biji sahaja)
1/3 cawan gula pasir
1/2 cawan santan pekat
1/3 cawan susu cair
2 sdb tepung gandum
1 sdb teoung kastad
sedikit garam
sedikit esen vanilla
sedikit pewarna kuning
2 sdb jagung cream

Cara memasak:

1. Pukul telur bersama gula sehingga sebati, 
   kemudian masukkan bahan-bahan yang lain.

2. Kacau sekejap di atas api sehingga naik 
   wap sahaja.

3. Tuangkan ke atas pulut dan teruskan
   mengukus selama 20 minit.

4. Sejukkan dahulu barulah dipotong.


Rabu, 20 Februari 2013

Kuih Talam Keledek

     
       Assalamualaikum wrh wbr....

     Salam bahagia teman-teman semua, semoga berbahagia selalu. Kebetulan stok keledek masih ada dalam  simpanan, tak tahu nak masak apa. Jadi saya cuba lah masak kuih talam keledek dari resepi KAK RUBY. Sedap sangat kuihnya. Oleh kerana anak-anak kurang meminati kuih-kuih talam ni, maka saya buatkan setengah sahaja dari resepi asal. 


    Izin kan saya letakkan resepinya kat sini ya Kak Ruby....




Resepi Kuih Talam Keledek

Bahan-bahan:


Lapisan bawah:

1 cawan keledek dipotong dadu (direbus dan 
   ditoskan)
80 gm tepung beras
125 ml santan pekat
225 ml air
1 sdk tepung hoen kwee / tepung jagung
80 gm gula halus
1/2 sdk garam

Cara membuatnya:


1. Bancuh semua bahan-bahan kecuali keledek, 

   tapis dan masak sehingga naik wap. Tutup 
   api dan masukkan keledek tadi dan kacau 
   hingga rata.

2. Tuangkan ke dalam loyang yang telah di

   sapu dengan sedikit minyak atau yang
   telah dialas dengan plastik. Kukus 
   selama 15 minit.



Lapisan atas:

80 gm tepung gandum

150 gm gula halus
1 biji telur
125 ml santan pekat
250 ml air
sedikit garam
pewarna oren

Cara membuatnya:


1. Bancuh semua bahan lapisan atas, tapiskan

   ke dalam periuk dan masak sehingga naik
   wap.

2. Tuangkan ke atas lapisan bawah tadi,

   kukus selama 30 minit atau sehingga masak.

3. Biarkan betul-betul sejuk baru lah

   dipotong.