Assalamualaikum...
Jumpa lagi di update kali ini. Hari ni masih lagi cuti sempena Depavali. Oleh kerana semalam hari perayaan Depavali, jadi cutinya diganti pada hari ini.
Cerita semalam... paginya bersarapan dengan bihun goreng. Di tengaharinya pula saya masak ayam goreng kunyit bersama kacang buncis, telur dadar, sambal bawang serta ulam rebusan daun ajinomoto.
Mudah saja masak ayam goreng kunyit dengan buncis ni. Ayam dipotong kecil, dibasuh bersih, kemudian diletak sedikit garam serta serbuk kunyit. Panaskan minyak, goreng ayam hingga garing, kemudian masukkan bawang hiris, cili hiris, juga masukkan kacang buncis. Kemudian digoreng lagi, tambah sos tiram serta serbuk perasa jika suka.
Tak lupa juga telur dadar goreng. Setiap kali makan mesti nak kena ada telur dadar ni, kalau tak ada macam tak lengkap ja.
Untuk sambal belacan pula saya buat sambal bawang style masakan orang Sunda. Selalu makan sambal belacan mentah, sekali sekala ubah cara buat sambalnya. Sambal macam ni memang sedap kalau dicicah dengan ulaman yang direbus.
Caranya, semua bahan seperti cili merah, cili api, bawang putih, bawang merah, tomato serta sedikit belacan digoreng terlebih dahulu ke dalam minyak panas. Kemudian masukkan ke dalam lesung batu ditambah sedikit garam, sedikit gula barulah ditumbuk sehingga halus. Akhir sekali baru diperah air asam limau. Biasanya orang Indonesia menggunakan pengulek untuk menghancurkan sambal. Tapi saya guna lesung batu sahaja.
Juga pucuk ajinomoto rebus yang dipetik dari tanaman kelmarin.
Malamnya pula selepas dia balik dari kerja, si kakak belanja makan nasi ayam gepuk Papa Jon kebetulan kedai tersebut terletak berdekatan dengan rumah.
Ok lah juga sedapnya bagi saya, tapi tak tahan saya dengan sambalnya yang terlalu pedas.








Tiada ulasan:
Catat Ulasan