Rabu, 31 Julai 2013

Kuih Samperit Pandan


       Assalamualaikum wrh...wbr...

     Salam bahagia semua teman-teman blogger. Saya rasa semua para ibu- ibu dan bapa-bapa mula membuat persiapan untuk hari raya yang bakal tiba nanti. Tak kurang juga para suri rumah juga sibuk membuat kuih raya.


     Di sini saya nak kongsikan resepi biskut samperit pandan yang saya cuba dari Naz@ Cut Oven, Small Kitchen. Memang sedap biskutnya. Terima kasih atas resepi biskut yang sedap ini.Izinkan saya letakkan resepinya kat sini untuk rujukan di masa akan datang.


Resepi Biskut Samperit Pandan

Bahan-bahan:

Bahan A
200 gm mentega
100 gm gula ising
1 biji kuning telur
1/4 tsp pes pandan
1/2 tsp pewarna pandan

Bahan B
250 gm tepung gandum
50 gm tepung jagung
30 gm tepung kastad

Hiasan
coklat masakan putih (saya tak letak)
gula manik




Cara membuatnya:
1. Sebatikan bahan A.
2. Masukkan bahan B dan dan uli rata.
3. Gunakan acuan dan paipkan adunan 
   (potong adunan kepada 150 inci  setiap 
   satu.
4. Taburkan dengan coklat manik.
5. Bakar selama 15 minit dengan suhu
   160 C.
6. Biarkan sejuk baru dimasukkan ke dalam 
   bekas kedap udara. 

 

Khamis, 25 Julai 2013

Kuih Kaswi Kacang Hijau


            Assalamualaikum wrh wbr....

      Salam bahagia kepada semua umat muslimin dan muslimat di bulan Ramadhan yang penuh barokah ini semoga Ramadhan pada kali ini akan lebih bermakna pada diri kita semua. Rasanya dah setengah bulan lebih kita berpuasa.Hanya tinggal setengah bulan lagi untuk kita melakukan ibadah puasa. Terasa sungguh cepat masa berlalu.

      Walau apa pun jua, kali ini saya entrikan  masakan kuih kaswi kacang hijau yang saya cuba dari resepi Fiza LGK. Sebenarnya dah lama saya ingin mencuba resepi kuih kaswi kacang hijau ni. Cari punya cari, tak berkenan dihati. Tetiba terjumpa kat blog Fiza LGK. Teruslah saya cuba resepinya. Ternyata memang sedap kuihnya. Sebenarnya saya berikan sedikit kat jiran sebelah rumah bagi membalas bekasnya. Esoknya pula terus dia order. Ternyata memang sedap lah.... tu.
      Terima kasih Fiza LGK saya ucapkan atas resepinya. Minta izin ya saya letakkan resepinya kat sini pula untuk rujukan saya dihari akan datang.



Resepi Kuih Kaswi Kacang Hijau

Bahan-bahan:

Bahan A
200 gm tepung kacang hijau
400gm gula halus (boleh kurangkan jika tak suka
             manis sangat)
150 gm tepung ubi
50 gm tepung beras
500 ml santan
400 ml air
1/2 sdk kapur makan
1 sdk garam

Bahan B
1 sdk pewarna hijau
1/2 sdk pewarna kuning

Bahan C
Kelapa parut (kukus sebentar supaya tidak  
       cepat basi)
sedikit garam

Cara menyediakannya:
1. Campurkan semua bahan dan gaul sebati. 
   Warnakan dengan pewarna hijau dan kuning, 
   kacau rata. Kemudian tapiskan.
2. Masukkan adunan di atas api dan kacau 
   sentiasa  hingga likat dan tidak berketul.
3. Seterusnya curahkan rata adunan  ke dalam 
   loyang dan kukus selama 35 minit. Sejukkan 
   pada suhu bilik, kemudian potong dan 
   gaulkan dengan kelapa parut yang digaul 
   dengan secubit garam.

   

Jumaat, 12 Julai 2013

Puding Roti Kukus


          Assalamualaikum wrh wbr....

       Salam keceriaan di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini semoga beroleh keberkatan dan maghfirahnya.Hari ini dah masuk hari keempat kita melakukan ibadah puasa. Terasa cepatnya masa berlalu.


       Kelmarin saya buatkan puding roti kukus sebagai juadah berbuka puasa. Memandangkan ada lagi beberapa keping roti yang berbaki, daripada rosak begitu sahaja, maka saya buatkan puding roti kukus.Inilah ressepinya....





Resepi Puding Roti Kukus

Bahan-bahan:

4 keping roti
1 tin susu cair
2 biji telur
4 sdb gula
1 sdb esen vanila
2 sdb butter
sedikit kismis 

Cara membuatnya:

1. Masukkan telur, gula,esen vanila ke dalam 
   satu bekas dan kacau sehingga sekata.
   Masukkan susu cair dan kacau adunan
   sehingga sekata.
2. Sapu butter pada roti dan susun ke dalam 
   loyang.
3. Tuangkan adunan ke atas susunan roti dan 
   taburkan dengan kismis.
4. Kukus dengan api sederhana selama 20-25
   minit.
5. Selepas dikukus, sejukkan di dalam peti 
   sejuk sebelum dihidangkan.

Selasa, 9 Julai 2013

Marhaban Ya Ramadhan


         Assalamualaikum wrh wbr.....

          Salam penuh keceriaan di bulan yang penuh keberkatan ini yaitu bulan Ramadhan Al Mubarok 2013 bersamaan 1434 Hijrah.



    
          Berpuasa adalah rukun Islam yang ke tiga yang wajib dilaksanakan oleh setiap orang Islam sebagaimana yang terdapat di dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 yang berbunyi:



         "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu,  semoga kamu bertakwa".          
      Selamat berpuasa saya ucapkan kepada teman-teman blogger semua serta saudara mara yang mengenali diri ini. Semoga Ramadhan kali ini akan penuh bererti buat kita semua. Mudah-mudahan kita akan dapat merasai kenikmatannya hingga jauh ke lubuk hati kita yang paling sunyi dan dalam.
      Inilah niat puasa serta doa ketika berbuka puasa untuk dijadikan sebagai amalan kita ketika berada di bulan Ramadhan.


        
           Selain itu juga kita digalakkan melaksanakan solat sunat tarawih serta melakukan ibadah-ibadah lainnya seperti solat sunat tahajud, tadarus Al-quran serta amalan-amalan yang lainnya kerana Allah akan melipat gandakan segala amalan kita ketika di bulan Ramadhan ini. Semaga segala amal ibadah kita akan diterima oleh Allah swt.... Insyaallah.





Isnin, 1 Julai 2013

Sup Tulang


           Assalamualaikum wrh wbr....

      Salam bahagia teman-teman semua, semoga berbahagia 
selalu. Kali ini saya ingin kongsikan mengenai masakan sup tulang pula. Lihat lah resepinya...






Resepi Sup Tulang

Bahan-bahan:

1 kilo tulang lembu
5 ulas bawang merah (dihiris)
4 ulas bawang putih (dihiris)
1 inci halia (dihiris)
3 biji kentang 
1 batang lobak merah
Rempah empat sekawan (kulit kayu manis, 
       bunga lawang, bunga cengkih, buah 
       pelaga)
sedikit minyak untuk menumis
daun saledri (dipotong)
air untuk kuahnya
garam serta perasa secukupnya

Cara memasak:

1. Rebus tulang dengan air sehingga empuk.
2. Panaskan sedikit minyak, tumis rempah 4 
   sekawan bersama bahan yang dihiris.
   Setelah garing, masukkan air rebusan
   tulang beserta tulang nya. 
3. Masukkan ubi kentang serta lobak merah.
   Biarkan sehingga mendidih serta ubi 
   kentang empuk. Kemudian masukkan 
   garam serta serbuk perasa jika suka. Akhir 
   sekali masukkan daun sup. 
4. Taburkan bawang goreng. siap untuk di
   hidangkan.