Memaparkan catatan dengan label masakan laksa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label masakan laksa. Papar semua catatan

Jumaat, 26 Disember 2025

Masak Laksa Yang Paling Mudah


Assalamualaikum...

Bertemu lagi di entry kali ini, moga sahabat semua bahagia selalu hendaknya.

Hari ni saya masak awal sikit, biasanya dah tengahari baru start masak. Sebenarnya teringin nak makan laksa, jadi saya buat lah laksa yang paling mudah dan cepat dimasak.

Saya hanya menggunakan sardin tin saja. Laksanya pula beli yang dah siap, tinggal dicelur saja.

Jom tengok resepinya.



Resepi kuah laksa

Bahan-bahan:

1 tin sardin

2 biji bawang besar

cili kisar

daun kesum

1 kuntum bunga kantan

sedikit belacan

asam keping

2 ulas bawang putih

garam, gula dan perasa


Cara memasaknya:

1. Untuk sardin hanya diambil isinya saja. Bahagikan 2, 1  bahagian dilenyek sehingga halus. 1 bahagian lagi dimasukkan ke dalam belender bersama bawang besar, bawang putih, belacan, cili kisar. Blender sehingga halus.

2. Masukkan semua bahan kisar kedalam periuk, masukkan sekali ikan yang dilenyek, daun kesum, bunga kantan serta asam keping. Jangan lupa masukkan air untuk kuahnya. Masak hingga mendidih.

3. Masukkan garam, perasa serta sedikit gula. Masak lagi hingga kuah menjadi sedikit pekat. Dah masak bolehlah diangkat.




Untuk laksanya pula tinggal dicelur sebentar, kemudian toskan.








Untuk bahan sayurnya pula, boleh potong timun, bawang besar, salad. Hirisan limau kalau nak rasa lebih masam dan juga hirisan cili api untuk menambah kepedasan.



Dah siap, bolehlah dihidangkan. Sangat mudah dan cepat disediakan.



Rabu, 27 Ogos 2025

Masak Laksa Kedah Yang Mudah Dan Sedap

 Assalamualaikum...

Beberapa hari ni rasa terigin nak makan laksa kedah. Biasanya kalau balik kedah adik saya selalu masak laksa. Mungkin lama tak balik kampug, itu sebabnya teringin nak makan laksa.

Semenjak tinggal kat tempat baru ni belum lagi jumpa orang jual laksa, kecuali kalau kat AEON memanglah ada dijual laksa, tapi itu laksa nyonya.

Jadi saya buat laksa hari ni. Jom tengok resepinya...




Resepi Laksa Kedah

Bahan-bahan:

1 bungkus laksa
1 kilo ikan
daun kesum
bunga kantan
asam keping secukupnya
belacan
garam dan perasa

Bahan kisar:

4 sdb cili kisar
3 batang cili merah
beberapa biji cili api
3 biji bawang besar





Untuk laksanya rendam ke dalam air tenggelam selama satu jam, kemudian rebus laksa hingga masak. Kemudian toskan, bilas dengan air bersih.




Cara memasak kuah laksa:

1. Ikan dibersihkan, kemudian direbus dengan sedikit air. Kemudian masukkan asam keping serta sedikit garam.

2. Bila dah masak angkat dan sejukkan. Kemudian perisi ikan (dipisahkan isi dan tulangnya). 

3.Kemudian dihaluskan isi ikan. Tulangnya pula diblender dengan air, kemudian tapiskan.

4. Dalam periuk satukan isi ikan, air tapisan dari tulang ikan serta bahan blender.

5. Masukkan lagi asam keping, kemudian adjust kuahnya. Nak cair boleh tambahkan air.

6. Masukkan daun kesum dan bunga kantan. Juga perasakan dengan garam dan serbuk perasa. Masak dengan api yang perlahan dan lama supaya kuahnya lebih sedap.




Untuk bahan tambahan:

hirisan timun
hirisan bawang besar
apa saja ulaman seperti daun selom, pucuk putat, kebetulan saya beli pucuk jaggus, jika tiada boleh letak daun salad
limau kasturi
hirisan cili api
telur rebus





Cara menghidang

Masukkan laksa ke dalam mangkuk, letakkan kuahnya dan letakkan bahan hirisan serta telur rebus. 




       Laksa ni sebenarnya sesuai dimakan bila-bila masa. Dan ianya juga sesuai dijadikan sebagai juadah kenduri atau pun juadah di hari raya.



Selasa, 20 Mei 2025

Laksa Lemak Kuah Putih

 Assalamualaikum...

Bersua lagi di entri kali ini, moga sahabat semua sihat selalu.

Dah lama tak update masak-memasak. Kali ni saya cuba masak laksa lemak kuah putih. Teringin nak merasa laksa lemak putih, biasanya dok masak laksa johor, laksa lemak kari stail Kedah. Biasanya kuah laksa yang putih ni dikenali juga dengan kuah laksam. tapi sedap juga dimakan dengan laksa beras.

Saya cuba resepi dari blog CA @ Dari Duniaku. Terima kasih share resepinya. Mohon izin saya share disini pula resepinya ya...






Ini lebih kurang bahan-bahannya.




Resepi Laksa Kuah Putih

Bahan-bahan:

1/2 bungkus laksa kering, saya guna laksa basah, tinggal dicelur sahaja

1 kilo ikan

2 liter santan (saya guna 2 kotak santan)

4 keping asam keping

bawang merah

bawang putih

lada hitam

daun kesum

garam, gula serta perasa secukupnya


Cara memasaknya:

1. Ikan direbus dengan sedikit air, juga masukkan 3 keping asam keping. bila dah sejuk leluarkan isi ikan.

2. Blend isi ikan dengan bawang putih dan bawang merah dengan sedikit air rebusan ikan.

3. Masukkan ke dalam periuk yang dah berisi santan. Tambah air sekiranya santan terlalu pekat. Adjust kepekatan kuah mengikut selera masing-masing.

4. Masukkan asam keping, daun kesum, bunga kantan, garam, gula dan perasa secukup rasa.

5. Letak juga serbuk lada hitam mengikut citarasa masing-masing.

6. Kacau kuah sentiasa supaya tak pecah santan sehingga mendidih. dah siap hidangkan.



Laksa yang dah dicelur. Jikalau guna laksa kering, kena rendam dulu 1/2 jam atau 1 jam, kemudian direbus sehingga lembut.


Bahan hiasan:

bawang besar (potong bulat)

timun (racik halus)

kacang panjang (potong kecil)

telur (direbus)



Sambal:

10-15 cili api

belacan

sedikit jus limau nipis



Cara menghidang:

Masukkan laksa ke dalam mangkuk, masukkan kuahnya. Kemudian letak bahan-bahan hiris, beserta telur rebus dan sambal belacan.


Selamat mencuba.


Jumaat, 4 Oktober 2024

Laksa Lemak Kedah

  Assalamualaikum...

Hari ni teringin nak makan laksa. Kesukaan saya laksa kuah lemak. Jadi saya buat kuahnya menggunakan ikan sardin tin saja. Jadi lebih mudah dan cepat. Laksanya pula tinggal rebus sahaja.

Jom tengok resepi mudah daripada saya.



Resepi Laksa Kuah Lemak

Bahan-bahan:

1 tin sardin-dibuang sos sardin dan 

  cuci, kemudian blend hancur

1-2 biji bawang besar 

2-3 sudu besar serbuk kari ikan

1 ketul lengkuas sebesar ibu jari

1-2 batang serai dititik

daun kesum secukupnya

asam keping

santan pekat

air untuk kuahnya

garam gula serta perasa



Cara memasaknya:

1.Panaskan minyak dan tumis bawang blend,

  serbuk kari ikan, serai serta lengkuas.

  masak hingga pecah minyak.


2.Bila bahan tumis dah pecah minyak, 

  masukkan sardin, juga masukkan santan, 

  asam keping serta air untuk kuahnya.


3.Perasakan dengan garam serta gulanya.

  Setelah masak barulah ditutup apinya.



Laksanya hanya direbus sahaja.





Bahan sayurnya:

hirisan daun salad

bawang besar dihiris bulat

timun dihiris kecil-kecil

cili api dihiris kecil

limau nipis

Cara menghidangnya:

Letakkan sedikit laksa ke dalam mangkuk. 

Masukkan kuahnya, kemudian masukkan pula

bahan sayurannya.



Selasa, 8 Jun 2021

Laksa Johor Yang Sedap

 Assalamualaikum...

Bertemu lagi dengan sahabat Diari Diela, semoga anda semua sihat dan berbahagia selalu.

Hari ni teringin nak makan laksa Johor pulak, dah lama tak buat. Terus ke pasar segar berdekatan, beli apa yang patut. Balik teruslah bersilat kat dapur, maka terhasillah laksa Johor.

Kali ni saya cuba resepi dari Che Nom, youtuber yang tengah famous sekarang. Apa-apa pun, terima kasih che Nom atas resepi laksa Johor yang sangat sedap ini.


Resepi Kuah Laksa

Bahan-bahan:
1 kg ikan kembung, rebus dan asingkan isi. Simpan air rebusan.
santan, dari 1 biji kelapa
2 sudu besar rempah kari daging
minyak masak
1 batang serai, dititik
3 sudu besar kerisik
1 ikat daun kesum 
1 kuntum bunga kantan, belah 4
5 helai daun pudina, hiris nipis (jika suka)
2-3 kepingan asam keping
gula melaka
garam


Bahan kisar A:

1.5 inci kunyit hidup
2 inci lengkuas
2 inci halia
15- 20 tangkai cili kering, buang biji dan rendam air panas
8-10 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
4 batang serai, hiris nipis
1 sudu besar belacan bakar
1 1/2 sudu besar udang kering, rendam sampai lembut

Bahan kisar B

isi udang, anggaran semangkuk kecil
100g isi ikan kurau masin, rendam sampai lembut.
isi ikan rebus (dari bahan atas)

Cara masak kuah laksa:

1. Panaskan minyak masak, tumis bahan kisar halus hingga naik bau.

2. Masukkan serai yang dititik dan serbuk kari. Teruskan kacau di atas api perlahan sehingga pecah minyak dan garing.

3. Masukkan pula Bahan Kisar Halus B, bersama air stok udang dan air rebusan ikan. Masak sehingga kuah mendidih.

4. Masukkan santan, kerisik, daun kesum, bunga kantan, daun pudina, asam keping, gula melaka dan garam secukup rasa.

5. Reneh kuah di atas api perlahan sehingga mencapai tahap kepekatan yang sesuai.



Bahan untuk hiasan/ulaman:

timun, buang kulit dan biji,hiris nipis
taugeh, buang ekor (tak letak)
daun kesum (hiris nipis)
kacang panjang (hiris dadu)
bawang besar (hiris nipis)
limau kasturi



Bahan untuk sambal belacan:

6-8 biji cili merah
10-15 biji cili padi
2 ulas bawang putih
belacan bakar, sebesar ibu jari
air perahan jus limau kasturi
garam dan gula secukup rasa

Cara untuk sambal belacan:

Kisar cili merah, cili padi, bawang putih dan belacan. Tidak perlu letak air dan jangan kisar terlalu halus.

Perah jus limau kasturi dan perasakan dengan garam dan gula secukupnya. Siap untuk dihidang.



Bahan untuk spaghetti:

1 paket spaghetti
1 sudu besar garam
air secukupnya
sedikit minyak

Cara masak spaghetti:

1. Panaskan air sehingga mendidih. Masukkan garam dan spaghetti kering. Rebus mengikut arahan di paket.

2. Toskan dan gaul dengan sedikit minyak supaya tidak melekat.

Cara Menghidang:

Masukkan spagetti kedalam mangkuk, letakkan kuahnya. Kemudian masukkan ulam-ulaman serta sedikit sambal belacan, perahkan limau. Sedia untuk dimakan.




Jumaat, 14 Julai 2017

Laksa Johor Yang Sangat Sedap


           Assalamualaikum wrh... 

   Bertemu lagi kawan-kawan blogger. Dah lama juga blog saya ni tak berupdate. Biasalah sibuk dengan macam-macam hal, kadang-kadang mood pula kelaut.

   Hari ni teringin pula nak makan laksa johor. Lihat ikan masih ada dalam simpanan, teruslah ke kedai terdekat beli apa-apa yang patut untuk memaksa laksa johor.



   Saya cuba masak laksa johor menggunakan resepi dari Puan Azlita, memang sedap rasanya. Sebelum ini pun saya pernah masak guna resepi yang sama. Jom tengok resepinya...



Resepi Laksa Johor

Bahan-bahan:

1 peket spagetti
1/2 kilo ikan (apa-apa jenis ikan yg disukai)
udang kering

Bahan kisar

6 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci lengkuas
1 inci halia
15 tangkai cili kering

Kesemua bahan di atas dikisar halus.

2 sdb ketumbar
2 sdb jintan manis
Kedua-dua bahan ini disangai dan ditumbuk halus.

Bahan2 lain:

2 sdb rempah kari daging
2 sdb kerisik
3 keping asam gelugur
santan secukupnya (saya guna santan kotak)
1 ikat daun kesum
1 ikat daun selasih
1 kuntum bunga kantan- belah 2
1 batang serai- dititik
1 buku gula gula melaka
garam dan gula secukup rasa
minyak untuk menumis



Cara memasak:

1. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan
   kisar.

2. Masukkan serai dan masak hingga harum dan
   terbit minyak.

3. Kemudian masukkan ketumbar dan jintan
   manis yg ditumbuk halus.

4. Kemudian masukkan pula rempah kari, masak
   hingga rempah garing.

5. Bila dah garing masukkan air rebusan
   udang serta air rebusan ikan.

6. Biarkan kuah merenih sebentar. Masukkan
   pula santan, udang kering yg telah dikisar
   halus.

7. Kemudian masukkan pola bahan-bahan lain
   seperti isi ikan, asam gelugur, isi udang,
   kerisik, gula merah, bunga kantan,daun
   kesum, daun selasih.

8. Akhir sekali perasakan dengan garan serta
   gula secukup rasa.Biarkan kuah mendidih
   dan pekat sedikit.

Sementara itu kita celurkan spageti.



Spageti

Spageti 1 peket
sedikit garam
sedikit minyak masak
air secukupnya untuk merebus

1. Panaskan air hingga mendidih, kemudian
   masukkan spageti. Masak hingga spageti
   kembang dan lembut.

2. Masukkan garam dan sedikit minyak masak,
   kacau rata. Kemudian toskan airnya.

Laksa johor juga dimakan bersama ulam-ulaman
seperti

Timun- buang empulur dan dihiris bulat
Bawang besar- dihiris bulat
Taugeh
kacang panjang dihiris halus
daun kesum- dimayang halus
daun selesih- dimayang halus
bunga kantan- dimayang halus
limau kasturi
lobak masin

Untuk menghidang, masukkan spageti ke dlm mangkuk. Masukkan kuah serta masukkan bahan2 yg dihiris halus. Sedia untuk dimakan.








Isnin, 1 Mei 2017

Laksa Johor lagi


            Assalamualaikum wrh... wbr...

   Bersua lagi di entri kali ini, semoga anda semua ceria-ceria selalu di hari ini sempena cuti buruh. Dah lama teringin nak makan laksa Johor, so... hari ini baru berkesempatan memasaknya. Maklumlah dihari cuti-cuti begini semua ahli keluarga berkumpul dirumah. Jadi saya masak laksa Johor untuk santapan tengah hari.

   Saya mencuba resepi dari Puan Azlita Zain. Ternyata memang sedap laksanya. Anak-anak pun cakap memang sedap, lepas ni bolehlah dicuba lagi menggunakan resepi ini. Apa-apa pun jom tengok resepinya.




Resepi Laksa Johor

Bahan-bahan:

1 kilo ikan (saya guna ikan kembung)
    ikan direbus kemudian diambil isinya dan
    dikisar halus
4 sdb udang kering- 
    udang kering juga dikisar halus
1 bungkus spagetti
    direbus dengan air, letakkan sedikit
    garam. Selepaskan ditoskan, dimasukkan 
    sedikit minyak untuk mengelak daripada 
    spagetti melekat-lekat.


1

Bahan kisar: 

6 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci lengkuas
1 inci halia
15 tangkai cili kering (rendam hingga lembut)
Semua bahan diatas dikisar halus.

2 sdb jintan manis
2 sdb ketumbar
Kedua-dua bahan ini disangai atau digoreng tanpa minyak kemudian ditumbuk halus.

Lain-lain bahan:

2 sdb rempah kari ikan
2 sdb kerisik
3 keping asam gelugur (keping)
santan dari 1 biji kelapa
1 ikat daun kesum
1 ikat daun selasih (saya tak guna)
1 kuntum bunga kantan
1 batang serai
garam secukup rasa
sedikit minyak untuk menumis



Cara memasak:

1. Panaskan minyak dalam periuk, tumis bahan
   kisar hingga naik bau.Masukkan serai dan
   masak hingga harum dan terbit minyak.

2. Kemudian masukkan ketumbar dan jintan
   manis yg telah ditumbuk halus.

3  Masukkan pula rempah kari, biar hingga
   rempah garing.

4. Bila dah garing masukkan air rebusan
   ikan.Biar kuah merenih sebentar.

5. Bila dah mendidih masukkan santan. 
   Masukkan juga udang kering yg telah
   dikisar halus.

6. Masukkan isi ikan, asam keping, daun
   kesum,kerisik, gula melaka dan biarkan
   sehingga mendidih.

7. Perasakan dengan garam secukup rasa.
   Bila dah siap matikan api.

Ulam-ulaman:

Timun -buang empulur tengah dan hiris halus
       bulat
Bawang besar - hiris bulat
Taugeh
Kacang panjang- hiris halus
Daun kesum - mayang halus
Daun selasih - mayang halus
Bunga kantan - mayang halus
Limau kasturi- belah dua