Khamis, 3 Disember 2015

Sayur Napa Cabbage Goreng Sos Tiram


          Assalamualaikum wrh... wbr...

     Salam bahagia teman-teman semua semoga berbahagia hendaknya. Dah lama juga tak mengupdate blog ni, dah bersawang nampaknya.
Di musim cuti sekolah ni, mungkin ramai diantara teman-teman yang mengambil kesempatan membawa anak-anak serta keluarga pergi bercuti. Selamat bercuti diucapkan kepada teman-teman semua dan semoga percutian anda kali ini akan lebih menyeronokkan lagi.

     Kali ini saya entrikan mengenai masakan yang ringkas sahaja iaitu sayur napa cabbage goreng sos tiram. Lihatlah resepinya yang ringkas ini.


Resepi Sayur Napa Cabbage goreng sos tiram

Bahan-bahan:
sayur napa cabbage (dipotong)
4 ulas bawang merah*
2 ulas bawang putih *
3 biji cili api*
sedikit ikan bilis*
sedikit sos tiram
minyak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa



Cara memasaknya:
1. Tumbuk bahan-bahan yang bertanda *.
2. Panaskan minyak, tumis bahan-bahan tumbuk 
   sehingga sedikit kekuningan.
3. Masukkan sayur, goreng seketika. Masukkan 
   sos tiram.
4. Masukkan garam serta sedikit gula, rasakan    ia. Jika dah cukup rasa, bolehlah diangkat 
   untuk dihidangkan. 

Rabu, 11 November 2015

Kue Teaw Goreng Ringkas


        Assalamualaikum wrh... wbr...

      Bersua lagi kita dientri kali ini, dah lama blog ni tak berupdate, bukan apa moodnya sering ke laut je. Menunggu minggu-minggu  terakhir disaat kelahiran baby yg ke lima ini, memang perasaan takut dan berdebar-debar pun ada. Apa pun mudah-mudahan proses kelahiran nanti akan dipermudahkan dan selamat, insyaallah.
     
     Pagi ni teringin pula nak makan kue teaw goreng, apa lagi teruslah ke kedai berdekatan, beli bahan-bahannya. Alhamdulillah... dapatlah juga makan kue teaw masakan sendiri. Kalau makan yg dibeli, banyak songeh betul tak sedaplah tak menepati cita rasa lah, ada-ada saja yang tak kena.
     
    Jom lah lihat resepi yang ringkas dari saya.

Resepi Kue Teaw Goreng

Bahan-bahan:
1 bungkus kue teaw
4 ulas bawang putih (diketuk)
sedikit isi daging/ayam/udang
1 biji telur
1 ikat daun kucai (dipotong)
sedikit sayur taugeh
setengah kiub ayam/ daging
sos tiram
sos ikan 
sos cili
kicap pekat
sedikit minyak utk menumis
 
Cara memasaknya:
1. Panaskan minyak, tumis bawang putih hingga 
   sedikit garing, masukkan daging. Goreng 
   sebentar.
2. Masukkan kicap,sos tiram, sos ikan, sedikit
   sos cili serta kiub ayam.  Masukkan garam
   serta sedikit gula jika perlu.
3. Masukkan kue teaw,sayur taugeh serta sayur
   kucai. Digoreng seketika, akhir sekali
   pecahkan telur. Dikacau lagi.
4. Rasakan ia, jika dah ok rasanya, bolehlah
   diangkat untuk dihidangkan.

      
     Sedap dimakan panas-panas bersama air teh atau kopi.

Ahad, 1 November 2015

Kerabu Daun Selom


        Assalamualaikum wrh... wbr...

     Salam di hujung minggu, semoga teman-teman semua berbahagia selalu hendaknya.
Lama tak makan kerabu pucuk ulam. Tadi pagi saya berkesempatan ke pasar, terlihat daun selom yang segar. Teringat nak buat kerabu. Lalu saya pun beli lah satu ikat, cukuplah untuk dua orang makan je. Anak-anak kalau ulam ke atau sayur memang tak sentuh langsung.

     Jom lihat resepinya....

Resepi Kerabu Daun Selom

Bahan-bahannya:
1 ikat daun selom
kelapa parut secukupnya 
1 biji bawang besar
gula dan garam secukup rasa
1 biji limau kasturi
sedikit ikan bilis goreng (ditumbuk sedikit
     hancur)

Bahan tumbuk:
3 biji cili api
1 biji cili merah
1/2 inci belacan



Cara membuatnya:
1. Daun selom dicuci bersih kemudian dihiris
   halus. Bawang besar juga dihiris nipis.
2. Masukkan semua bahan hiris, kelapa parut
   serta bahan tumbuk ke dalam satu bekas.
3. Masukkan Perahan jus limau nipis, garam 
   serta gula secukup rasa. Rasakan ia, jika
   dah secukup rasa baru siap untuk
   dihidangkan.


Jumaat, 9 Oktober 2015

Kari Ikan Pari


         Assalamualaikum wrh... wbr...

    Bertemu lagi dientri kali ini, semoga teman-teman semua berbahagia selalu.

    Hari ini saya masak kari ikan pari pula untuk santapan tengahari. Ikan pari ni biasanya orang masak asam pedas, baru sedap. Tapi hari ni saya masakkan kari memandangkan ikan ini agak berbau juga, jadi letak rempah kari lebih sikit barulah sedap rasanya.


Resepi Kari Ikan Pari

Bahan-bahan:
1 potong ikan pari (dipotong kecil)
kacang bendi
1 biji terung (dipotong)
2 bungkus kecil serbuk kari
4 ulas bawang merah (dimayang halus)
3 ulas bawang putih (dimayang halus)
2 tangkai daun kari
air asam jawa
santan secukupnya
sebikit minyak untuk menumis
garam dan perasa jika suka


Cara memasaknya:
1. Panaskan minyak, tumis bawang merah, bawang
   putih serta daun kari, biarkan sehingga
   kekuningan.
2. Masukkan rempah kari  yang dicampur dengan
   sedikit air, Biarkan hingga naik minyak.
   Masukkan air asam jawa. Biarkan seketika.
3. Masukkan ikan serta terung dan kacang
   bendi. Kacaukan ia sebentar.
4. Kemudian barulah masukkan santan. Biarkan
   sehingga ia mendidih.
5. masukkan pula garam serta perasa secukup 
   rasa. Bilau sayur terung dan bendi sudah 
   masak, barulah diangkat untuk dihidangkan.


Sedap dimakan dengan nasi panas-panas.

Rabu, 30 September 2015

Masak Lemak Udang sama Belimbing Buluh


       Assalamualaikum wrh... wbr...

      Salam bahagia teman-teman semua, semoga semuanya berbahagia selalu. Alhamdulillah kita baru sahaja selesai menyambut Hari Raya Aidil Adha baru-baru ini. Musim haji kali ini kita dikejutkan oleh beberapa peristiwa yang menyayat hati berikutan jatuhnya kren di Masjidil Aqso, hotel terbakar, robohnya khemah para jemaah haji serta akhir sekali berlakunya tragedi di Mina yang mengorbankan ramai para jemaah haji. Walau bagaimanapun, kita doakan semoga roh-roh mereka yang terkorban akan ditempatkan dikalangan orang-orang beriman.

      Berbalik pula cerita mengenai masakan hari ini, sekali lagi saya masakkan masak lemak cili api udang, kali ini bersama belimbing buluh pula yang di ambil dari kampung sewaktu pulang beraya tempohari. Jomlah lihat resepinya...


Resepi Masak Lemak Udang sama Belimbing Buluh

Bahan-bahan:
1/2 kilo udang
segenggam belimbing buluh
15 biji cili api*
5 biji cili merah*
2 biji bawang putih*
1 inci halia*
1 ketul kunyit hidup* 
2 batang serai
1 helai daun kunyit 
santan secukupnya
garam dan perasa secukup rasa
 
Cara memasaknya:
1. Bahan-bahan yang bertanda * dikisar halus.
2. Panaskan periuk, masukkan bahan kisar,
   serai serta daun kunyit, masak diatas api 
   hingga  mendidih.
3. Masukkan udang dan buah belimbing, kacau 
   sebentar.
4. Masukkan santan, dikacau sentiasa supaya 
   santan tidak pecah minyak.
5. Masukkan garam serta perasa secukup rasa,
   rasakan ia, jika dah secukup rasa barulah
   diangkat untuk dihidangkan.

 

Isnin, 21 September 2015

Masak Lemak Udang sama Nenas


           Assalamualaikum wrh... wbr...

    Salam bahagia semua. Alhamdulillah rezeki kali ini, ada yang bermurah hati pulang dari Sarawak, berikan udang. Dapatlah merasa makan udang besar. Jadi saya masakkan masak lemak udang dicampur dengan nenas. Wah... bertambah-tambah my hubby makan nasi hari ni. Apalagi masak lemak memang kegemarannya.

    Jom tengok resepinya...

Resepi Masak Lemak Udang Sama Nenas

Bahan-bahan:
800gm udang
1 biji nenas
1 biji kelapa (diambil santannya)
2 batang serai (diketuk)
1 helai daun kunyit (diikat)
1 keping asam gelugur
15 biji cili api*
1 biji bawang besar*
1 inci kunyit hidup*
2 biji bawang putih* 
garam dan gula secukup rasa 

Cara memasaknya:
1. Bahan yang bertanda * dikisar sehingga 
   lumat.
2. Panaskan periuk, masukkan bahan tumbuk
   serta serai,masak sebentar.
3. Masukkan udang serta nenas, dikacau supaya 
   bercampur. Kemudian masukkan asam keping 
   serta daun kunyit. Biarkan sehingga 
   mendidih.
4. Perlahankan api, barulah masukkan santan.
   Dikacau-kacau supaya santan tidak pecah 
   minyak.
5. Masukkan garam serta sedikit gula secukup
   rasa. Bila sudah masak, barulah diangkat 
   untuk dihidangkan.

 

Khamis, 17 September 2015

Kuih Lengat Pisang

            Assalamualaikum wrh... wbr...

     Salam bahagia, teman-teman. Melihatkan pisang masih lagi berbaki, daripada rosak begitu sahaja maka saya cuba buatkan kuih lengat pisang. Kalau dulu-dulu emak saya sering buatkan kuih lengat pisang ni terutama ketika dibulan puasa.

     Jadi kali ini saya cuba dari resepi 
FIZA LGK, terima kasih Fiza sudi share resepi kuih ni. Izinkan saya copykan disini pula untuk rujukan nanti.


Resepi Kuih Lengat Pisang

Bahan-bahan:

Bahan A
2 cawan tepung beras
800 ml santan (saya guna santan asli)
1/2 sdt garam

Bahan B
1 1/4 cawan gula (boleh kurangkan jika pisang sudah manis)
1 cawan pisang

Bahan C
1 biji pisang -dihiris dan ditabur keatas adunan  (saya tak letak) 


Cara membuatnya:
1. Sediakan loyang dengan menyapu sedikit 
   minyak ataupun lapik dengan plastik untuk
   memudahkan kuih dikeluarkan nanti.
2. Campur semua bahan A didalam mangkuk besar.
3. Kacau hingga larut dan tapis ke dalam 
   periuk. Masukkan juga bahan B, iaitu pisang
   yang telah dilecek  dengan gula.
4. Masak sebentar di atas api kecil sambil 
   dikacau sehingga terasa berat atau pekat
   sedikit, matikan api.
5. Tuang adunan ke dalam loyang, tabur
   hirisan pisang dan kukus selama 30 minit 
   atau sehingga masak. 
5. Sejukkan dahulu, baru dipotong.

 

Ahad, 13 September 2015

Sayur Bokchoy Tumis Sos Tiram


           Assalamualaikum wrh... wbr...

     Selamat bercuti dihujung minggu ini, semoga ceria-ceria selalu. 

     Dua tiga hari ini kesihatan pun kurang baik demam serta batuk-batuk. Almaklumlah cuaca diluar memang tidak sihat, berjerubu sahaja. Jadi kalau boleh kita kurangkanlah mengadakan aktiviti diluar rumah. Bukan apa untuk kebaikkan kesihatan kita juga.

     Berbalik kepada cerita masakan pula, kali ini saya entrikan mengenai masakan sayur bokchoy goreng bersama sos tiram. Resepi ringkas dari saya...


Resepi Sayur Bokchoy Tumis Sos Tiram

Bahan-bahan:
1 ikat sayur Bokchoy (dipotong)
beberapa ekor udang
4 ulas bawang merah*
3 ulas bawang putih*
1 biji cili merah*
2 sdb sos tiram 
garam dan gula secukup rasa
sedikit minyak untuk menumis 


Cara memasaknya:
1. Bahan yang bertanda * ditumbuk halus.
2. Panaskan kuali tumis bahan tumbuk dengan
   sedikit minyak. Goreng bahan tumbuk hingga 
   layu. Masukkan udang. 
3. Masukkan sayur, goreng sebentar. Masukkan 
   sos tiram, garam serta gula secukup rasa.
   Goreng sekejap. Rasakan ia.
4. Jika suka okey, tutupkan api dan siap untuk
   dihidangkan.

Khamis, 10 September 2015

Mini Giveaway By Impiana Cik Yanie 2015 # 1


               Assalamualaikum wrh... wbr...


http://impianacikyaanie.blogspot.my/2015/09/mini-giveaway-by-impiana-cik-yanie-2015.html

     Join giveaway yang dianjurkan oleh Cik Yanie, jika teman-teman nak join bolehlah klik kat banner. Tarikh tamatnya 25 hb September 2015.

Oleh-Oleh Dari Bandung


           Assalamualaikum wrh... wbr...

      Salam penuh keceriaan di malam Jumaat yang berbahagia ini. 
      Alhamdulillah, dua hari yang lepas my hubby baru sahaja pulang dari Bandung, menghadiri majlis ulangtahun Pondok Pesantren Suryalaya yang ke 110 bersama rombongannya. Sebenarnya Pondok Pesantren Suryala terletak di Tasik Malaya, kira-kira perjalanannya 3 jam dari Bandung. 
      Sedih rasanya tak dapat ikut, tapi walaupun tak dapat ikut, dapat oleh-olehnya pun jadi lah, sebagai tanda kenangan.
      Setelah 4 hari di Tasik malaya, terus berangkat ke Bandung. Katanya sempatlah jalan-jalan dan shopping kat Pasar Baru, Bandung.

       
      Fridge magnet dari Bandung, sukanya saya dapat fridge magnet ni, macam tahu-tahu je saya ni memang suka kumpul fridge magnet. Biasanya kalau kemana-mana saya akan belikan fridge magnet untuk kenangan tanda kita dah pernah sampai kat sesuatu tempat tu.



      Tak lupa juga sepasang telekung untuk saya, dan juga sejadah untuk teman-temannya.

      Photo kenang-kenangan sewaktu dia di sana.



     My hubby bergambar bersama dosen serta sebahagian dari teman-teman serombongannya.

    
     Gambar kenangan my hubby bersama rombongan di hadapan gedung sufah (tempat penginapan untuk orang-orang Malaysia jika ke sana).

Khamis, 3 September 2015

Sambal Daging


         Assalamualaikum wrh... wbr...

     Salam ceria untuk semua teman-teman, semoga anda berbahagia selalu. Entri kali ini,
mengenai masakan sambal daging.

     Akhir-akhir ini, tekanan darah pun menjadi rendah, jadi kenalah makan daging lebih sikit. Kali ini saya masak sambal daging pula. Jomlah lihat resepi yg ringkas dari saya.

Resepi Sambal Daging

Bahan-bahan:
1/2 kg daging (dipotong nipis)
2 senduk cili kering kisar
2 batang serai (diketuk)
5 ulas bawang merah (dihiris halus)
3 ulas bawang putih (dihiris)
2 sdb kerisik
1 ketul kiub daging
garam dan gula secukup rasa
sedikit minyak untuk menumis


Cara memasaknya:
1. Panaskan miyak, tumis serai, bawang merah
   serta bawang putih hingga layu, masukkan
   cili kisar. Goreng sehingga naik minyak.
2. Masukkan daging. Dikacau sebentar, biarkan
   sehingga daging kecut. Masukkan juga 
   kerisik, kalau perlu masukkan sedikit air
   supaya ianya tidak hangit.
3. Masukkan kiub, garam serta gula secukup 
   rasa. Rasakan ia, jika daging dah empuk 
   barulah diangkat untuk dihidangkan. Sedap
   dimakan bersama nasi panas-panas.

Ahad, 30 Ogos 2015

Goreng Cili Ikan Bilis Tempoyak


    Assalamualaikum wrh... wbr...

     Akhir-akhir ini terasa rajinlah pula mengupdate blog, sebelum ini blog terbiar je, nak tengok pun tak dak mood. Al maklumlah sekarang tengah rajin sikit, kalau penyakit malas datang, alamat berserawanglah blog.

     Kelmarin, adalah beberapa papan petai dibawa balik oleh my hubby dari kampung, katanya kat pekan sehari banyak sangat orang jual petai. Tengah musim agaknya.

     Jadi oleh kerana ada sedikit ikan bilis dalam simpanan, saya buatkan goreng cili ikan bilis bersama tempoyak. Alamak...Bertambah-tambah lah nasi tak terasa. Jomlah tengok resepi ringkas saya ni...


Resepi Goreng Cili Ikan Bilis Tempoyak

Bahan-bahan:
segenggam ikan bilis
1 papan petai (dikupas ambil isinya)
2 sdb tempoyak
1 biji bawang besar*
4 ulas bawang putih*
10 biji cili api*
Garam dan gula seculup rasa
sedikit minyak untuk menumis


Cara memasaknya:
1. Ikan bilis digoreng hingga garing,
   ketepikan.
2. Bahan yang bertanda * ditumbuk halus.
3. Masukkan sedikit minyak ke dalam kuali,
   tumis bahan yang di tumbuk, goreng 
   sehingga layu.
4. Masukkan tempoyak, digoreng lagi hingga 
   bercampur dan sedikit naik minyak. Masukkan
   petai serta masukkan garam dan gula
   secukup rasa. Tutupkan api.
5. Biarkan sekejap, bila dah agak suam 
   sedikit, barulah masukkan ikan bilis untuk 
   mengelakkan ikan bilis menjadi liat.

* Cara menggoreng ikan bilis supaya rangup.
  Panaskan minyak, sebelum minyak panas 
  cuci ikan bilis, dan terus masukkan ke
  dalam kuali. Jangan biarkan ikan bilis
  terendam lama didalam air.

 
 

Sabtu, 29 Ogos 2015

Giveaway 1.0 by ENA


    Assalamualaikum wrh... wbr...

http://www.aeinnamusa.com/2015/08/giveaway-1.0-by-ena.html

     Kali ini saya join GA yang dianjurkan oleh Aeinna Musa. Jomlah sama-sama kita support beliau GA beliau. Jika teman-teman nak join bolehlah klik kat banner. 
   
       Tarikh tamatnya 8hb Sept 2015.


Jumaat, 28 Ogos 2015

Bingka Roti Kukus Pandan


     Assalamualaikum wrh... wbr...

     Salam bahagia teman-teman semua, semoga anda semua berbahagia selalu dihujung minggu ini.

     Memandangkan  roti masih lagi berbaki tak terusik, daripada rosak nanti maka saya buatkan bingka roti kukus pandan. Saya cuba resepinya dari HANA MEMORIES, tetapi saya buatkan setengah adunan sahaja. Biasalah, kalau kuih-kuih manis anak-anak kurang gemar. Kalau buat banyak jenuh saya nak mengabihkannya. 

      Terima kasih diatas perkongsian resepinya. Izinkan saya copykan resepinya disini pula untuk rujukan saya nanti.

Resepi Bingka Roti Kukus Pandan

Bahan-bahan:
8-9 keping toti gardenia
400 ml santan
3/4 cawan gula halus
segenggam kismis
4 biji telur
1 sdk garam halus
1 sdk pes pandan
sedikit pewarna hijau 


Cara membuatnya:
1. Koyakkan roti ketepikan. Satukan santan,
   garam, gula, pes pandan dan juga telur. 
   Kacau sebati.
2. Masukkan roti dan kismis, kemudian rendam 
   lebih kurang 5 minit.
3. Sapukan loyang dengan sedikit mentega.
4. Tuangkan adunan ke dalam loyang dan kukus 
   selama lebih kurang 30 minit.
5. Sejukkan dahulu, kemudian potong dan 
   hidangkan.


      Rasa kuih ni memang sedap. Terasa lemak-lemak santannya serta manis masinnya. Bila tergigit kismis ada rasa masam sedikit. Pokoknya sedap lah.

       

Khamis, 27 Ogos 2015

Ayam Goreng Kunyit


    Assalamualaikum wrh... wbr...

     Bersua lagi di entri kali ini, dah makam tengah hari ke... belum? Masak apa hari ini?
Hari ni saya masak yg ringkas je. Beberapa hari ni asyik masak ayam sahaja, tapi itulah kesukaan anak-anak, kalau masak ikan masing-masing liat je nak makan. Kalau masak ayam laju je merka nak makan.

     Hari ni saya masak ayam goreng kunyit lagi...




Resepi ayam goreng kunyit

Bahan-bahan:
4 ketul isi ayam (dipotong kecil)
kacang panjang (dipotong)
1 biji bawang besar
1 biji cili besar
sedikit halia
1 sdb sos tiram
sedikit serbuk kunyit 
garam
minyak untuk menggoreng


Cara memasaknya:
1. Ayam dibersihkan dan dimasukkan garam dan
   kunyit, kemudian digoreng. Angkat dan
   ketepikan.
2. Kemudian ambil sedikit minyak goreng ayam 
   tadi, tumiskan bawang besar dan halia
   sehingga layu, masukkan ayam.
3. Goreng seketika, kemudian masukkan sos 
   tiram serta kacang panjang, goreng lagi. 
   Akhir sekali masukkan cili  yang dipotong.
4. Goreng sekejap hingga kacang masak, barulah
   tutupkan api. Siap untuk dihidangkan.