Isnin, 11 April 2016

Kuih Cara Berlauk


         Assalamualaikum wrh... wbr...

   Dah lama teringin nak makan kuih cara berlauk hasil air tangan sendiri. Baru sekarang berkesempatan buat kuih ni. Memang kena banyak bersabar buat kuih ni kerana buatannya agak rumit serta lambat, tapi hasilnya memang sangat sedap.

    Saya buat kuih cara berlauk ni menggunakan resepi dari Che Mat Gebu. Kali ini saya buat menggunakan ayam, lain kali nak cuba menggunakan daging pula. Terima kasih Che Mat atas resepinya yang sedap ini, izinkan saya letakkan resepinya di sini pula... ya.
  


Resepi Kuih Cara Berlauk

Bahan inti:
100 gm daging ayam (dicincang halus)
1/2 biji bawang besar (dicincang halus)
2 ulas bawang putih (dicincang halus)
2 hirisan halia (dicincang halus)
3/4 sdb rempah kari daging babas
1 sdb sos tomato
1 sdt cili kisar
garam dan gula secukup rasa
1/3 cawan air
1 biji cili merah (dibuang biji dan didadu
         kecil)
daun bawang dihiris halus

Caranya:
1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis
   bawang besar, bawang putih, halia dan cili
   kisar hingga harum.
2. Masukkan sos tomato dan rempah kari, kacau
   rata dan masak hingga garing.
3. Masukkan daging ayam cincang dan gaul rata,
   tuang air dan biar hingga kering.
4. Tambah garam secukup rasa dan secubit gula.
5. Akhir sekali masukkan sebahagian cili serta
   sebahagian hirisan daun bawang. 
6. Gaul rata, rasakan jika dah ok, bolehlah
   diangkat dan sejukkan. 

 
Bahan Kuih Cara:
75 gm tepung gandum
1 biji telur gred A
165 ml santan
2 sdb mentega cair
secubit garam 
1-2 titik pewarna kuning

Caranya:
1. Satukan semua bahan-bahan untuk kuih cara,
   kacau rata dengan whisk hingga tidak
   berbintil-bintil. Kemudian tapis dan 
   rehatkan sebentar. 
2. Boleh juga dimasukkan ke dalam pengisar
   makanan dan kisar hingga halus. Ketepikan. 

 
Untuk Kuih Cara Berlauk:
1. Panaskan acuan kuih baulu cermai di atas
   dapur gas, gunakan api paling kecil. Sapu
   setiap cetak dengasedikit minyak masak 
   (guna daun pandan yang dipotong pendek,
   ikat dan carik-carikkan di bahagian 
   hujungnya).
2. Masukkan adunan kuih cara dalam bekas
   bermuncung, tuang 3/4 penuh ke dalam 
   cetakan.
3. Bila tepi kuih kelihatan pucat, masukkan
   1/3 inti kuih di bahagian tengahnya, tabur
   juga sedikit cincangan cili merah serta 
   hirisan daun bawang.
4. Tutup permukaan acuan dengan tudung periuk.
   Biar 30 saat, buka dan bila permukaan kuih
   sudah kering, bolehlah diangkat.
5. Buat kaedah yang sama baki adunan tersebut
   hingga selesai. Siap untuk dihidangkan. 

 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan