Khamis, 28 Mei 2020

Sate Ayam / Daging


Assalamualaikum...

Selamat malam semua, moga ceria dan bahagia selalu.

Masih lagi bercerita tentang masak-memasak. Teringin sebenarnya nak makan sate buatan sendiri. Selalunya asyik beli je. Sate kajang yang menjadi pilihan berbanding sate lainnya disebabkan mudah didapati dimana-mana, tak payah pergi ke Kajang.

Kali ni dapat juga makan sate buatan sendiri.
Tapi boleh tahanlah sedapnya. Tak lah sesedap sate kajang.



Resepi Sate Ayam/Daging

Bahan-bahannya:

1 kilo daging ayam/daging (dipotong kecil2)
gula secukup rasa
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
3 batang serai
2 inci halia/lengkuas
1 sdm serbuk jintan manis
serbuk kunyit secukupnya
garam secukup rasa



Cara membuatnya:

1. Basuh isi ayam bersih2 dan toskan.
   Ketepikan.

2. Kisar bawang besar, bawang putih, serai,
   halia, lengkuas hingga halus.

3. Masukkan isi ayam ke dalam bekas. Tambah
   gula, bahan kisar, serbuk jintan manis 
   (saya guna jintan kasar ditumbuk sedikit),
   serbuk kunyit dan garam secukup rasa. 
   Gaul sebati.

4. Perap seketika isi ayam, kemudian cucuk
   menggunakan lidi, saiz ikut selera.

5. Bakar sate hingga masak sambil direnjis
   guna minyak masak supaya satenya tidak
   kering. Nikmati bersama nasi impit, kuah
   kacang serta timun dan bawang.



Sate ayam yang belum dibakar.



Sate daging juga yg belum dibakar.



Sate dibakar menggunakan arang kayu. Baunya masya allah dah macam kat dapur penjual sate pulak.


Timun dan bawang.


Kuah sate bidan terjun, guna bahan apa yg ada saja.


Nasi impit.


Isnin, 25 Mei 2020

Salam Aidil Fitri 2020 M / 1441 H


Assalamualaikum...

Selamat tengahari...
Hari ni adalah hari raya yang ketiga. Ada yang dah start puasa enam, selamat berpuasalah saya ucapkan bagi mereka yg berpuasa enam hari ini. Saya masih lagi belum start berpuasa. Biasalah pagi-pagi dah kena masak untuk anak-anak. 

Cerita mengenai juadah raya kelmarin, walaupun raya tak berapa meriah seperti sebelumnya, tapi raya tetap juga raya. Sebab ada tukang makan jadi kenalah buat persiapan raya.



Sempat juga saya buat beberapa jenis kuih seperti kuih siput, kuih samprit, kuih tat nenas bunga, popia nestum, biskut buah kana dan juga biskut jejari nestum, kerepek ubi pula(ada yang beri). Merajinkan diri sebenarnya sbb time PKP tak buat apa-apa, jadi kita buat kuih lah.



Ketupat palas ni sebenarnya last minit buat sebab lambat dapat daun palasnya. Sebenarnya dah pergi ke pasar tapi memandangkan beratur panjang sangat, ambik keputusan baliklah sbb tak kuasa nak beratur panjang-panjang. Last sekali encik suami dapat beli kat tepi jalan, untung juga. Kalau tidak tak dapatlah makan ketupat tahun ni.

Sebenarnya saya buat rendang ayam untuk digandingkan dengan ketupat palas, tapi terlupa pulak nak snap gambarnya.


Sayur lodeh ni saya masak sebab boleh digandingkan dengan nasi impit dan kuah kacang. 


Nasi impit hanya beli dari pasaraya, balik tinggal rebus je, Mudah kan... Daun kelapa manalah nak dicari time-time PKP ni. 


Kuah kacang dimakan bersama sayur lodeh dan nasi impit, memang best.



Lemang ni bukan saya yang buat, tapi adik yg bakar bersama kawan-kawannya. Dapatlah juga merasa lemang.


Sayur Lodeh


Assalamualaikum...

Selamat petang semua dan selamat hari raya, moga sihat semuanya.

Bagaimana sambutan hari raya dirumah anda, pasti meriah. Saya hanya berhari raya dirumah saja, adalah terima tamu tapi satu dua orang sahaja.

Mengenai juadah hariraya macam biasalah saya buat ketupat daun palas, rendang ayam, nasi impit kuah kacang beserta sayur lodeh. Sedikit kuih raya yg sempat saya buat tempohari.

Kali ni saya share kuah lodeh yang saya cuba resepinya dari Yati Memories. Memang sedap... kata anak2 boleh buat lagi dilain kali. Saya simpan resepinya disini pula ya...



Resepi Sayur Lodeh

Bahan-bahan:

Bahan sayur

10 batang kacang panjang (dipotong)
2 biji kentang (dipotong spt batang mancis)
1 batang karot (dihiris spt btg mancis)
1/4 biji kobis (dihiris)
1/4 biji bengkuang (diris spt btg mancis)
2 keping tahu kering
2 ikat sayur fucuk dan suhoon
2 keping tempe
2 keping tauhu (digoreng dan dipotong)
2 batang cili merah (dipotong serong)
2 batang serai (dititik)
santan secukupnya
gula dan garam
1/2 cawan minyak utk menumis

Bahan kisar

1 biji bawang besar
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
2 sdb udang kering


Cara memasaknya:

1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar,
   masukkan serai yang dititik.

2. Biarkan sehingga naik minyak, masukkan 
   sedikit air juga kentang yg dihiris. 
   Biarkan sehingga empuk.

3. Masukkan karot, sengkuang dan kacang 
   panjang, gaul rata,

4. Masukkan pula suhoon, tauhu kering, tempe,
   tauhu dan kobis.

5. Masukkan santan dan biarkan sehingga 
   mendidih.

6. Masukkan pula cili merah serta garam dan
   gula secukup rasa. Biarkan mendidih.

7. Bila dah secukup rasa, bolehlah diangkat
   dan dihidangkan.

Ahad, 24 Mei 2020

Salam Aidil Fitri 2020 M / 1441 H


Assalamualaikum...

Dah genap sebulan kita umat islam menjalankan ibadah puasa, tibalah hari ini kita merayakan Aidil Fitri yg mulia. Walaupun dalam keadaan PKP, tapi kita tetap merayakan walaupun hanya beraya dikalangan keluarga, alakadar sahaja.



Dikesempatan yang ada ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri mohon maaf zahir bathin sekiranya selama saya berblog ini ada terkeluar kata-kata yang tidak menyenangkan dihati sahabat semua.



Kenangan bersama keluarga di Aidil Fitri 2020.


Rabu, 20 Mei 2020

Popia Nestum Horlicks


Assalamualaikum...

Selamat pagi semua, moga sihat hendaknya.

Tinggal dua hari je lagi nak sambut Aidil Fitri, ramailah ibu-ibu sibuk buat persiapan nak sambut lebaran nanti.

Pagi ni sempat lagi saya buat popiah nestum horlick, kudapan yang sangat digemari anak-anak. Jangankan anak2 kita pun kalau dah start mengunyah susah nak berhenti.

Saya buatkan guna resepi dari 
Amie's Little Kitchen. Terima kasih Amie sharekan resepi ni, boleh juga saya cuba. Saya share resepinya disini pula ya...



Resepi Popia Nestum Horlicks

Bahan-bahan:

1 paket kulit popia
1 1 cawan horlicks
2 cawan nestum
1/2 cawan nestum
1/2 cawam gula
minyak untuk menggoreng

Bahan lain:

1 biji telur
copstick atau straw
gunting



Cara membuatnya:

1. Gulung kulit popia dengan menggunakan
   copstick, kalau tak guna copstik pun 
   tak apa, gulung begitu sahaja.

2. Tinggalkan lebih kurang 1/2 cm di bahagian
   hujungnya dan sapu dengan telur, kemudian
   kemasakan gulungan tadi hingga melekat.

3. Setelah selesai gunting gulungan tadi
   hingga melekat.

4. Setelah selesai gunting gulungan kulit
   popia mengikut saiz yang disukai.




5. Campurkan nestum, gula, horlicks serta
   susu tepung. Gaulkan supaya bercampur.

6. Gaulkan kulit popia yg telah ditoskan
   minyaknya bersama serbuk tadi.

7. Biarkan seketika, sbb kulit popia tadi
   masih suam-suam dan apabila sudah sejuk
   boleh disimpan di dalam bekas kedap 
   udara.




Popia yang telah siap digunting. 



Hasil selepas popia digoreng.




Masak Tempoyak Ikan Kembung


Assalamualaikum...

   Hari ni dah 27 hari kita umat islam menjalankan ibadah puasa. Cepatnya masa berlalu, hanya 3 hari lagi Ramadhan akan meninggalkan kita. Semoga kita dapat manfaatkan baki ramadhan yg tinggal ini dengan ibadah sebanyak-banyaknya. Moga kita mendapat keberkatan.

   Hari ni saya masak tempoyak ikan kembung, dok pikir2 jugak nak masak apa dengan ikan kembung ni. Nak masak menggunakan santan, muak juga. Jadi saya masak yg rebus2 saja.
Saya cuba resepi dari Azie Kitchen.



Resepi Masak Tempoyak Ikan Kembung

Bahan-bahan:

4 ekor ikan kembung
1 sdt serbuk kunyit
2 biji cili merah (ditumbuk)
1 senduk tempoyak 
beberapa potong nenas
garam 
gula 
air secukupnya



Cara memasaknya:

1. Cili ditumbuk halus dan digaul dengan 
   tempoyak, serbuk kunyit dan garam. 
   Masukkan ke dalam periuk yang diletakkan
   air dan gaul sehingga rata.

2. Masak dan kacau selama 3 minit, baru
   masukkan ikan. Kemudian masukkan nenas.
   Jika kurang masam masukkan asam keping 
   juga masukkan sedikit gula.

3. Sesuaikan rasa dan kepekatan. Bila dah
   masak bolehlah diangkat dan dihidangkan.



Sedap dimakan bersama nasi panas-panas beserta ulam-ulaman.


Selasa, 19 Mei 2020

Kuih Samprit Lagi


Assalamualaikum...

Selamat malam sahabat semua, moga sihat selalu ya...

Di penghujung ramadhan ini ramai dikalangan ibu2 membuat persiapan untuk smbutan hari raya Aidil Fitri yang baal tiba nanti. Walaupun puasa dan hari raya kali ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, tapi raya tetap raya. Mestilah dibuat persiapan walaupun berhari raya dengan ahli keluarga sahaja.

Saya pun buat juga biskut raya walaupun sedikit untuk anak2 yang berada dirumah.
Biskut samprit mesti saya buat setiap kali raya. 


Resepi Biskut Samprit

Bahan-bahan:

250 gm butter
2 biji kuning telur
1 cawan gula ising
1 cawan tepung jagung
1 1/2 cawan tepung kastad
2 1/2 cawan tepung gandum
1 sdt esen vanila
potongan buah ceri merah atau hijau utk hiasan


Cara membuatnya:

1. Kacau butter, gul, telur dan esen vanila,
   guna senduk je.

2. Kemudian masukkan semua jenis tepung tadi
   sedikit semi sedikit. Kacau hingga jadi
   doh. 

3. Jika adunan keras, uli dengan ditambah
   sedikit butter.

4. Terapkan dengan acuan biskut samprit. 
   Letakkan ceri potong diatasnya. Bakar 
   dengan suhu 170 C selama 15 minit mengikut
   oven masing-masing.

5. Bila biskut sudah sejuk simpan dalam 
   bekas kedap udara.


*Untuk mengelakkan dari biskut menjadi kembang ketika di bakar, jangan gunakan mixer. Cukup sahaja dikacau dengan menggunakan senduk kayu.


Sabtu, 16 Mei 2020

Kuih Siput


Assalamualaikum...

Selamat petang sahabat semua... moga sihat selalu. 

Baru datang mood rajin, start buat kuih untuk persiapan hari raya Aidil Fitri yang bakal tiba nanti.

Salah satunya kuih siput yang menjadi satu kemestian untuk dibuat utk santapan dihari raya nanti.



Resepi Kuih Siput

Bahan-bahan:

1 kilo tepung gandum
4 sdb mentega (dicairkan)
garam gula secukup rasa
minyak masak secukupnya
daun kari
udang kering (digoreng dgn sedikit minyak)
1 sdb serbuk kari
santan secukupnya untuk menguli
15 tangkai cili kering *
4 ulas bawang kecil *
2 ulas bawang putih *
2 sdt jintan manis *
1 sdt jintan putih *


Cara memasak:

1. Kisar bahan yang bertanda * hingga wangi.

2. Cairkan mentega, kemudian sejukkan.

3. Sementara itu goreng udang kering.

4. Masukkan mentega cair kedalam tepung 
   yang telah digaul dengan rempah kari.

5. Gaul sebati, kemudian masukkan bahan 
   kisar sedikit demi sedikit, kemudian 
   uli sehingga menjadi doh.

6. Ambil sedikit doh dan bulat2kan seperti
   guli, kemudian tekankan diatas acuan 
   kuih siput. Buat sehingga selesai.

7. Panaskan minyak, masukkan kuih siput 
   tadi, goreng hingga kekuningan. Masukkan
   sedikit daun kari. bila daun kari sudah 
   garing, barulah diangkat.

8. Biarkan hingga kuih siput sejuk dahulu, 
   baru dimasukkan kedalam bekas kesap 
   udara.



Selain dimakan ketika hari raya, boleh juga dijadikan kudapan dihari2 biasa.



Ahad, 10 Mei 2020

Menu Berbuka


Assalamualaikum...

Selamat petang semua...
Salam Nuzul Quran diucapkan kepada seluruh umat Islam, sedar tak sedar rupanya dah 17 hari kita menjalankan ibadah puasa.

Sambil2 menunggu nak berbuka puasa, update dulu blog yg satu ni dengan menu berbuka hari ni.


Kari ayam dengan kentang. Sebenarnya tak selalu pun buat kari, kadang2 je... 


Kemudian goreng kacang buncis juga dicampur dengan daging ayam.


Encik somi balik bawa somtam.


Teringin nak makan tepung pelita, jadi buatlah setengah adunan. Makan sejuk2 memang sedap.