Khamis, 22 September 2016

Daging Masak Hitam


          Assalamualaikum wrh... wbr...

   Salam ceria untuk semua, semoga anda ceria ceria selalu hendaknya.

   Daging korban kelmarin masih ada lagi berbaki di dalam petisejuk. Tercari-cari juga resepi apa yang ringkas tapi sedap kalau dimasak daging ni. Tengok kat pakcik google maka terjumpalah resepi daging masak hitam dari dapur Kak Azie Kitchen, so saya cubalah resepi dari dia. 

   Ternyata memang sedap rasanya, apalagi dimakan dengan nasi panas-panas. Anak-anak pun cakap memang sedap lauknya. Izinkan saya copykan resepinya disini pula ya untuk rujukan saya di masa mendatang.


Resepi Daging masak hitam

Bahan-bahan:

1 kg daging 
1/2 botol kicap pekat 
sedikit gula
air asam jawa secukupnya
Bawang besar (dihiris)
5 biji cili api (saya tambah)
 

Bahan kisar:

10 batang serai
10 tangkai cili kering
4 @ 5 inci halia
3 biji bawang besar
6 biji buah keras
1 labu bang putih
 


Cara memasaknya:

1. Panaskan minyak, masukkan daging dan kacau
   rata.

2. Kemudian masukkan bahan kisar serta
   bahan-bahan yang lain. Biarkan masak 
   sehingga  daging lembut dan pecah minyak.

3. Akhir sekali masukkan air asam jawa, gula
   serta garam.

4. Masukkan pula hirisan bawang besar serta 
   cili api jika suka. Angkat dan sedia
   untuk dihidangkan. 


Selasa, 20 September 2016

Kerepek Pisang


           Assalamualaikum wrh... wbr...

   Salam bahagia semua, semoga anda semua sihat sejahtera hendaknya.

   Hari Raya Haji kelmarin sempat berhari raya di kampung, sewaktu pulang emak berikan pisang muda. Hampir satu mayang jugaklah. Banyak tu.... Nantinya kalau tak dimanfaatkan  takut rosak pulak jadinya. Maka saya merajinkan diri mengupas lalu membuat kerepek pisang. Tak susah pun nak buat kerepek pisang ni.


Resepi kerepek pisang

Bahan-bahan:

pisang muda
garam 
minyak masak secukupnya

Caranya:


1. Kupas pisang, kemudian rendam didalam air 
   garam.
2. Hiris pisang nipis nipis.
3. Panaskan minyak masak, goreng hingga 
   sedikit kekuningan, angkat.
4. Sejukkan dahulu, kemudian simpan di dalam 
   bekas kedap udara.




    Inilah rupanya pisang yang belum masak. Puas jugalah mengopek, lagi pula pisang ini punyai banyak getah. Jadi pisang yang sudah siap dikupas direndam didalam air garam untuk mengelakkan ianya menjadi hitam.Kemudian barulah dihiris nipis dan terus digoreng di dalam minyak panas.


      Kerepek pisang yang sudah siap digoreng.


Sedap untuk dijadikan kupapan.

Jumaat, 16 September 2016

Giveaway Mangkuk Tingkat By El Darwena


             Assalamualaikum wrh... wbr...

http://arwendanish.blogspot.my/2016/09/giveaway-mangkuk-tingkat-by-el-darwena.html

     Jom sama-sama kita join GA yang dianjurkan oleh El Darwena ini. Jika teman-teman nak ikut join bolehlah klik kat banner.

       Tarikh tutupnya : 15/10/2016

Rabu, 14 September 2016

Ketupat Palas Pulut Hitam


         Assalamualaikum wrh... wbr...

   Salam Aidil Adha saya ucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat sekalian. Semoga anda semua berada dalam lindungan Allah selalu. 

   Ketupat daun palas ni memang sangat terkenal di sebelah utara tanahair. Biasanya ketupat ini dibuat menggunakan beras pulut sahaja. Kadangkala ianya dicampur dengan kacang merah, jagung, pulut hitam dan sebagainya untuk menambah kesedapan. Jom tengok resepinya...



Resepi ketupat palas pulut hitam

Bahan-bahan:

1/2 kilo pulut susu
1 kilo pulut hitam
5 helai daun pandan
santan pekat dari 3 biji kelapa
garam secukupnya 


Cara memasaknya:

1. Pulut hitam hendaklah direndam terlebih
   dahulu. Pulut putih hanya sekadar dicuci 
   bersih dan toskan, ketepikan.

2. Masak santan pekat didalam kuali, kemudian
   masukkan daun pandan serta garam. Biarkan
   sehingga mendidih serta sedikit pekat 
   santannya. 

3. Kemudian masukkan pulut hitam, masak 
   sehingga ia sedikit lembut dan diikuti 
   pula masukkan pulut putih pula. Kacau 
   selalu supaya tidak hangit. Biarkan
   sehingga ia kering.

4. Bila sudah kering, angkat dan sejukkan
   seketika sebelum proses membalut ketupat.



    Setelah ketupat selesai dibalut, barulah direbus pula menggunakan air. Kemudian rebus sehingga airnya kering, angkat dan sejukkan.




     Beginilah rupanya ketupat yang telah siap direbus. Sedap dimakan dengan apa-apa lauk seperti rendang ayam atau daging, kari ayam ayam atau daging dan sebagainya.





Rabu, 7 September 2016

Biskut Samprit Mak Datin


      Assalamualaikum wrh... wbr...

    Alhamdulillah dapat lagi bersiaran di hari ini, semoga anda semua ceria selalu hendaknya. Entri kali ini mengenai biskut raya. Minggu depan kita akan menyambut hari raya Aidil Adha. Jadi kali ni terasa rajin pula nak makan biskut raya. So saya cuba buatlah biskut samprit mak datin ni. Saya ambil resepi dari Rohah, Damai Qalbu.

    Memang sedap rasanya biskut samprit ni, disamping itu ia juga sangat rangup apabila dikunyah. Terima kasih Rohah di atas perkongsian resepi ini, izinkan saya letakkan resepinya disini pula untuk rujukan saya nanti.




Resepi Biskut Samprit Mak Datin

Bahan-bahan:

1 cawan gula halus
1 cawan tepung kastad
1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung jagung/kanji
1 cawan mentega yang dipanaskan
1 atau 2 biji telur
sedikit serbuk koko (saya tambah)
manik warna warni untuk hiasan
 

Cara membuatnya:

1. Semua baahan dicampur, gaul sampai sebati
   dan terap menggunakan acuan samprit.

2. hiaskan dengan coklat rice atau manik gula
   atau mengikut citarasa.

3. Bakar menggunakan suhu 180 C selama 15
   hingga 20 minit.

4. Sejukkan dahulu, simpan di dalam bekas
   kedap udara.




Kuih Bingka Durian


         Assalamualaikum wrh... wbr...

  Salam bahagia semua... Kelmarin my hubby balik ke kampungnya di Batu Kurau, kebetulan dia bawa durian dari kampung. Dah lama teringin nak merasa makan bingka durian buatan sendiri. Jadi saya buatkanlah bingka durian. Ternyata memang sedap rasanya.

  Saya cuba dari resepi Yati Memories, terima kasih di atas perkongsian resepinya ini. Izinkan saya copykan resepi disini pula ya...


Resepi Bingka Durian

Bahan-bahan:

3 biji telur
1 cawan santan pekat
2 1/2 cawan air
2 cawan tepung gandum
3/4 cawan gula
1/2 sdt garam
2 sdb mentega
1 1/2 cawan isi durian
sedikit pewarna kuning
sedikit bijan
 

Cara membuatnya:

1. Panaskan oven pada suhu 200 C, lengserkan
   loyang 9x9 inci dengan mentega, ketepikan.

2. Satukan bahan-bahan di atas kecuali isi 
   durian dalam satu bekas, kacau dengan
   whisk hingga semuanya bersatu.

3. Masukkan isi durian ke dalam adunan dan
   gaul rata. Blend semuanya. Tuangkan ke 
   dalam bekas dan gaul sebati.

4. Tuang ke dalam loyang yang telah 
   dipanaskan tadi. Bakar selama 1 jam atau
   sehingga masak. Kalau nak permukaannya 
   berkerak, tambah masa pembakaran.

5. Bila sudah masak, sejukkan dan boleh
   dipotong untuk dihidangkan.


* Sebelum tuang adunan ke dalam loyang/acuan, pastikan acuan dilengser dulu dengan butter dan panaskan terlebih dahulu dalam 3 minit. Kemudian tuang adunan, taburkan bijan dan bakar sehingga masak.




Selasa, 6 September 2016

Majlis Perkahwinan Yasmin & Hafiz


       Assalamualaikum wrh... wbr...

  Hari minggu kelmarin adalah hari berlangsungnya majlis perkahwinan anak sedara my hubby iaitu Zarith Yasmin dan Mohd Hafiz. 
Alhamdulillah majlis berjalan dengan begitu lancar sekali. Jomlah tengok sedikit photo yang sempat dirakamkan sebagai kenangan di majlis tersebut.


 Yasmin bersama pasangannya Hafiz di pelaminan indah. 


Ini photo ketika pengantin berjalan masuk ke dalam dewan.


 My hubby bersama anak-anak.


Bersama anak-anak Zohar Sathori, Khairudin Nasaie dan  Nurul Ezati.  
 

Mak Saudara bersama anak-anaknya.


  Bergambar bersama my biras.
 

Sebelum pulang kami juga sempat bergambar satu keluarga bersama pengantin.

     Selamat pengantin baru diucapkan kepada Zarith Yasmin bersama pasangannya Hafiz, semoga perkahwinan mereka diberkati Allah dan juga semoga berpanjangan hingga ke akhir hayat. Amin.....

 

Ahad, 4 September 2016

Ayam Masak Padang


             Assalamualaikum wrh... wbr...

     Bersiaran lagi di hari minggu ini, semoga teman-teman semua berbahagia selalu hendaknya.

     Hari ini, saya masak ayam masak padang pula untuk santapan tengahari ini. Memang sedap rasa lauk padang ni, nak-nak lagi dimakan nasi panas-panas. Aduh... sedapnya. Suka tengok anak-anak saya makan hingga bertambah-tambah nasinya.

     Resepi saya ambil dari Dapur Dayang Jack. Terima kasih resepi yang dikongsikan olehnya, saya letakkan resepinya disini untuk rujukan saya dilain kalinya. Jom kita tengok resepinya...


Resepi Ayam Masak Padang

Bahan-bahan:
1 ekor ayam sederhana (dipotong )
300 ml santan
100 ml susu cair
garam serta sedikit gula
1 batang serai (diketuk)
2 keping asam gelugur


Bahan kisar:

6 tangkai cili merah
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
1/2 inci halia
1 inci lengkuas
2 batang serai
sedikt kunyit hidup
10 biji cili api


Cara memasaknya:
1. Panaskan sedikit minyak dalam periuk,
   tumis serai dan bahan-bahan kisar hingga
   terbit bau.
2. Masukkan ayam dan sedikit air, biarkan ia
   mendidih sebentar.
3. Masukkan santan dan susu cair. Dibiarkan
   mendidih lagi. 
4. Akhir sekali masukkan garam, sedikit gula
   dan asam gelugur. Kacau dan biarkan ia
   sehingga masak. Angkat dan hidangkan. 


Jumaat, 2 September 2016

Ayam Sambal Bali


         Assalamualaikum wrh... wbr...

      Bertemu lagi dientri kali ini. Untuk santapan tengahari ni saya masak ayam sambal bali. Pikir punya pikir nak masak apa dengan ayam yang dibeli kelmarin, cari kat pakcik google, maka ternampaklah resepi ayam masak bali ni kat blog Cik Epal. Lalu saya pun cubalah masak. Terima kasih diatas perkongsian resepinya yang sedap ini, saya copykan di sini pula ya...


Resepi Ayam Sambal Bali

Bahan-bahan:
1 ekor ayam
sedikit garam serta serbuk kunyit untuk digaul dengan ayam
segenggam cili kering *
6 biji bawang besar *
1 labu bawang putih *
1 inci halia *
2 inci belacan *
8 batang serai (dititik)
6 tangkai daun kari
Kicap
3 sdb gula
3 sdk garam

*bahan yang bertanda * dikisar halus.


Cara memasaknya:
1. Bersihkan ayam, kemudian gaulkan garam
   serta kunyit, kemudian digoreng sebentar.
   Ketepikan. 
2. Panaskan kuali masukkan sedikit minyak 
   lebihan menggoreng ayam, masukkan serai 
   serta daun kari. Goreng sehingga 
   kekuningan.
3. Masukkan bahan kisar, goreng hingga cili
   masak atau naik minyak.
4. Masukkan kicap, garam serta gula.
5. Masukkan pula ayam, gaul sehingga sebati.
6. Perasakan garam, jika dah ok barulah
   diangkat untuk dihidangkan.