Assalamualaikum wrh wbr.... Salam bahagia kepada teman-teman blogger sekalian semoga anda semua bertambah keceriaan di hari ini. Malam tadi saya telah mencuba membuat kuih lapis seri wangi yang telah dihasilkan oleh YATI MEMORIES. Ternyata sedap kuihnya. Rasanya pun lemak. Tapi kuih lapis saya ni, tak tinggi sangat sbb loyangnya hanya 9 inci. Walau apa pun, terima kasih saya ucapkan kepada Yati kerana sudi sharekan resepi kuih ni dan bermacam-macan kuih talam lagi. Insyaallah di lain masa saya akan cuba buatkan kuih yang lain pula. Oleh itu izinkan saya letakkan resepinya kat sini untuk panduan dan rujukan saya nanti....
Resepi Kuih Lapis Seri Wangi Bahan-bahan: (loyang 8x8 in) Bahan A: 2 cawan tepung beras 1 cawan tepung gandum 2 sdb tepung jagung 1 sdk garam 2 cawan santan pekat. Bahan B: 1 1/4 cawan gula pasir 1 cawan santan pekat 2 cawan santan cair 2 helai daun panda Bahan C: 3 sdb serbuk koko 4 sdb air suam untuk bancuh serbuk koko pewarna hijau pandan Cara membuatnya: 1. Masak bahan B hingga gula larut, biarkan suam sedikit. 2. Sementara itu satukan ke semua bahan A di dalam mangkuk dan gaul rata, ketepikan dulu. 3. Masukkan bahan B ke dalam A dan gaul, kemudian tapiskan. 4. Bahagikan kepada dua bahagian. Satu bahagian letakkan pewarna hijau/pandan dan satu lagi letakkan bancuhan koko. 5. Panaskan pengukus dan balut penutupnya dengan kain. 6. Sementara itu sapukan minyak di sekeliling loyang dan alaskan dengan plastik di dasarnya. 7. apabila air dah mendidih, letak loyang tadi dan panaskan sebentar. 8. Masukkan adunan koko 1 cawan dan kukus selama 5 minit. 9. Setelah itu, lapis pula adunan hijau selama 5 minit juga dan lapiskan seterusnya sehingga habis adunan. 10. Lapisan akhir sekali kukus selama 20 minit. Bila siap, angkat dan sejukkan. 11. Kuih benar-benar sejuk barulah cantik dipotong. Gunakan pisau plastik supaya licin potongannya.
Assalamualaikum wrh wbr.... Entri kali ini, saya nak sharekan dengan teman-teman mengenai khasiat buah tomato. Ini sebagai pengetahuan kepada diri saya dan juga kepada sesiapa sahaja. Nama saintifik tomato ialah Lycopercian esculentum. sejenis buah yang berwarna merah, boleh di makan begitu sahaja atau digandingkan dalam pelbagai jenis masakan, dijadikan sos, miuman atau kegunaan luaran. Tomato sangat kaya dengan zat besi, serat serta vitamin A dan C yang diperlukan untuk mengekalkan kecergasan dan penjagaan tubuh badan kita. Selain itu ia mengandungi fruktosa, glukosa, asid folik, potassium, kalsium dan mineral garam. Selain mempunyai anti oksidan, buahnya mengandungi likopena iaitu boleh mengurangkan risiko penyakit jantung dan juga kanser yang sangat merbahaya.
Khasiat tomato juga berkait rapat dengan kecantikkan kulit kerana ianya mengandungi elemen penyejuk yang dapat:
1. Menyejukkan kulit yang kasar dan rosak.
2. Menghapuskan minyak yang berlebihan.
3. Mencerahkan kulit yang kusam.
4. Mengembalikan keremajaan kulit.
5. Mengecilkan liang roma.
6. Mencerahkan kulit muka.
7. Mengurangkan masalah jerawat
8. Merawat penyakit kulit. Selain itu , buah tomato juga mengandungi anti oksida yang mempunyai kelebihan dapat:
1. Membantu memulihkan kesihatan sel dan tisu badan.
2. Melancarkan peredaran darah.
3. Menghalang pembengkakkan dan keradangan.
4. Bertindak sebagai bahan anti bakteria, anti virus, anti kanser dan perlindungan kepada alahan.
5. Membantu meningkatkan kekuatan dan keanjalan salur darah. Begitulah kebaikan dan khasiat tomato kepada tubuh badan kita. Marilah kita sama-sama mengambil ianya sebagai menu makanan harian kita memandangkan ianya sangat berkhasiat dan sangat diperlukan oleh tubuh badan kita. sumber- internet
Assalamualaikum wrh wbr.... Salam ceria untuk kawan-kawan semua. Hari ini saya masak masakan yang ringkas sahaja untuk makan tengah hari iaitu sayur lemak kacang buncis dengan udang. Tapi saya letakkan sedikit sahaja santan kerana almaklum sahaja dah berumur ni, macam-macam penyakit yang timbul, kalau boleh kita cubalah elakkan. So, taklah terasa lemak sangat sayur ni. mari kita tengok resepinya....
Resepi Sayur Lemak Kacang Buncis Bahan-bahan: 2 cekak kacang buncis dipotong 5 ekor udang besar sekeping sayur fucuk (direndam) sedikit suhun (direndam) 3 ulas bawang merah 1 ulas bawang putih 2 biji cili merah/ 4 biji cili api 2 cawan santan garam dan gula secukup rasa cara memasaknya: 1. Bawang merah, bawang putih serta cili di tumbuk halus. 2. Masukkan semua bahan-bahan di dalam periuk, kecuali garam dan gula. Letakkan di atas api yang sederhana. Biarkan sehingga mendidih. Sentiasa dikacau supaya tidak pecah minyak. 3. Kemudian barulah masukkan garam dan gula. Rasakan ia, Kalau dah masak dan cukup rasa barulah diangkat untuk di hidangkan.
Assalamualaikum wrh wbr.... Dah lama juga saya tak entri tentang hasil kerja tangan saya. Saya ni sebenarnya memang suka mengait, tapi di sebabkan terlalu banyak sangat mengait, maka terasalah kebas tangan. Itu lah sebabnya projek mengait alas meja terbengkalai. Mengait alas meja ni memang mengambil masa yang agak lama kerana alasnya terlalu besar serta kena teliti kalau tersalah kenalah buka balik. Di tambah pula dengan mood yang tak menentu. Terkadang rajin di sambung lagi... kalau penyakit malas melanda alamat terbengkalai lah projek mengait. Walau apa pun jua, lihat lah.....
Alas meja ini saya gunakan benang berwarna hijau, dan ianya mengambil masa yang terlalu lama untuk disiapkan. Jenuh juga hendak menyiapkannya.
Assalamualaikum wrh wbr..... Hari ini 25 September 2012 adalah hari ulang tahun my husband Muhammad Rahimi Bin Mohd Ramli yang ke 48 th. Saya doakan semoga beliau sentiasa sihat walafiat serta dipanjangkan umur, murah rezeki serta di berkati Allah selalu. Juga semoga Allah merahmati serta panjankan jodoh diantara kita sehingga ke akhir hayat. Walau apa pun jua kad birthday untuknya....
Semoga segala pahit getir yang kita lalui akan dipermudahkan oleh Allah swt. Jazakallah hu khairan kathiiiir.
Assalamualaikum wrh wbr.... Salam ukhwah kepada kawan-kawan semua. Semoga berada dalam lindungan Allah selalu hendaknya. Alhamdulillah hari ini, saya masak pulut kuning sempena ulang tahun kelahiran my husband pada hari ini. Sebenarnya firstime saya masak pulut kuning ni. Biasanya masak pulut biasa sahaja. Sebagai kawannya pulut saya masak kari ayam. Alhamdulillah sedap.... Pulut kuningnya saya cuba dari resepi Haniliza. Terima kasih atas resepinya. Izinkan saya letakkan resepinya kat sini untuk rujukan saya di masa akan datang. Mari kita tengok resepinya...
Resepi Pulut Kuning Bahan-bahan: 1 kilo pulut kuning 3 keping asam keping 3 sdb serbuk kunyit air secukupnya untuk merendam pulut 3 cawan santan
garam
Cara memasaknya: 1. Rendamkan beras pulut dengan asam keping serta larutan kunyit selama 5 jam untuk mendapatkan warna kuning. 2. Cucikan pulut serta toskan. 3. Panaskan kukusan. 4. Masukkan pulut ke dalam pengukus yang dialas dengan daun pisang sehingga naik wap di sekelilingnya. 5. Angkat dan keluarkan pulut serta masukkan ke dalam bekas yang agak besar. 6. Tuangkan santan yang telah dicampur dengan garam sedikit demi sedikit. 7. Masukkan kembali ke dalam pengukus dan kukuslah kembali sehingga keluar wap di tepi pengukus. 8. Bila dah naik wap keluarkan serta msukkan pulut ke dalam loyang atau acuan yang disukai. 9. Hidangkan pulut dengan rendang atau kari
ayam.
Resepi Kari Ayam Bahan-bahan: 1 ekor ayam (dipotong kecil dan dibersihkan) 5 biji kentang (dikupas kulit dan dipotong) 4 sudu besar serbuk kari daging 3 1/2 cawan santan 6 biji bawang merah (dihiris) 5ulas bawang putih (dihiris) 1 inci halia (dihiris) 2 pelepah daun kari 2 sudu besar kerisik 1 batang kulit ksyu manis 4 kuntum bunga cengkih 1 kuntum bunga lawang 3 biji buah pelaga garam secukupnya sedikit minysk masak untuk menumis Cara memasaknya: 1. Panaskan periuk, masukkan minyak masak dan tumis kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, buah pelaga serta daun kari. Kemudian masukkan bawang merah, bawang putih serta halia. Biarkan sehingga agak garing. 2. Rempah kari dibancuh dengan sedikit air serta dicampur dengan kerisik. Apabila bawang sudah garing masukkan rempah kari. Masak sehingga naik minyak. 3. Masukkan ayam dan kentang. Kacaukan ia supaya bercampur dengan rempah. Biarkan sehingga mendidih. 4. Masukkan santan. Tunggu sehingga mendidih. Masukkan garam. Rasakan garamnya. Kalau sudah cukup rasa barulah diangkat dan dihidangkan.
Assalamualaikum wrh wbr.... Untuk tengah hari ini saya masak masakkan yang ringkas sahaja untuk makan tengahari iaitu kangkung goreng belacan. lihatlah resepinya dulu....
Resepi Kangkung Goreng Belacan Bahan-bahan: 2 ikat kangkung dipotong dan dibersihkan 6 ulas bawang merah 4 ulas bawang putih 2 biji cili merah 5 biji cili api sedikit belacan sedikit sos tiram gula dan garam secukup rasa Cara memasaknya: 1. Bawang merah, bawang putih, cili merah, cili api serta belacan ditumbuk halus. 2. Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bahan tumbuk hingga garing. Masukkan sedikit sos tiram. Masukkan kangkung tadi. Kacau-kacaukan ia. 3. Masukkan gula dan garam. Rasalah garamnya. Apabila sayur sudah masak, barulah diangkat untuk dihidangkan.
Assalamualaikum wrh wbr.... Pagi ini saya masakkan kuih ketayap untuk sarapan pagi. Dah lama tak buat kuih ni. Tiba-tiba pula teringat nak buat. Tetapi dah tak ingat lagi dari mana saya ambil resepinya. Walau apa pun jua, okey juga lah kuihnya. Rasanya yang tak berapa manis serta ada rasa lemak sikit sebab saya letakkan sedikit santan. Lihatlah resepinya.....
Resepi Kuih Ketayap Bahan-bahan: Bahan intinya: 1/2 biji kelapa parut 3/4 cawan gula merah 1 helai daun pandan Masukkan kelapa parut, gula merah serta daun pandan di dalam periuk. Masukkan sedikit air supaya tidak terlalu kering. Kacaukan ia sehingga menjadi warna keperangan selama 10 hingga 15 minit. Barulah diangkat dan disejukkan. Bahan kulitnya: 350 gm tepung gandum 100 ml air daun pandan 600 ml air / santan 1 sdt soda bikarbonate 1 sdt garam sedikir warna hijau epal Blend bahan-bahan di atas dan tapiskan. Panaskan kuali yang tidak melekat, masukkan adunan ke dalam kuali tersebut. Lenggangkan ia supaya rata. Tunggu sehingga ia masak, barulah diangkat. Penyediaannya: Letakkan inti tadi di bahagian tepi kulit ketayap tersebut. Gulung sedikit, serta lipatkan kedua-dua penghujung dan teruslah menggulung sehingga habis. Ulangi sehingga adunan tadi habis. Siap untuk dimakan.
Assalamualaikum wrh wbr.... Salam sejahtera untuk semua, semoga berbahagia selalu. Tengah hari ini saya masak yang mudah aja untuk hari ini, iaitu terung bercili. Lihatlah resepinya...
Resepi Terung Bercili Bahan-bahan: 2 batang terung panjang 4 ulas bawang merah (dihiris) 3 ulas bawang putih (dihiris) 1 sudu makan udang kering dikisar 4 sdb cili kisar air asam jawa sedikit belacan gula dan garam secukup rasa sedikit minyak untuk menumis Cara membuatnya: 1. Terung dipotong serta digoreng sekejap. 2. Panaskan minyak, tumis bawang merah dan bawang putih yang dihiris hingga garing. 3. Masukkan cili kisar serta udang kering. Tunggu sehingga naik minyak. Masukkan sedikit air. 4. Masukkan air asam jawa serta sediki7 belacan. Dikacau lagi. Masukkan gula dan garam. Masukkan terung. dikacau lagi. Rasakan masam masinnya. Kalau dah okey barulah diangkat.
Assalamualaikum wrh wbr.... Salam bahagia teman-teman semua, semoga kalian semua berbahagia selalu di hari minggu ini. Dah lama tak makan kuih lompang, teringin pula rasanya nak makan kuih lompang buatan sendiri. Biasanya kalau nak makan beli lah. Tapi kali ini saya nak cuba buatlah sendiri. So, tercari-carilah resepi kat internet. Tengok my resepi, macam sedap je kuihnya. Saya cubalah ...... Kalau tak salah dari NINA@SWEETILY. Memang sedap sangat kuihnya bila dimakan setelah sejuk. Terima kasih my resepi atas perkongsian resepi kuih ini. Izinkan saya letakkan resepinya kat sini....
Resepi Kuih Lompang Bahan-bahan: 1/2 cawan tepung beras 1 sdb tepung ubi 1 sudu kecil air kapur 1/2 cawan gula pasir 1/2 cawan gula merah 2 cawan air / santan 1 helai daun pandan kelapa parut putih serta garam
Cara membuatnya: 1. Satukan gula melaka dan gula pasir ke dalam periuk, kemudian masukkan 1 cawan air/santan bersama daun pandan. Masak atas api kecil hingga larut. Sejukkan sebentar. 2. Satukan tepung beras dan tepung ubi, tuang satu cawan air serta masukkan air kapur. Kacau rata. 3. Kemudian tuang air gula yang telah sejuk tadi, gaul hingga sebati. 4. Tapis adunan dan tuang dalam acuan lompang yang telah disapu dengan sedikit minyak. 5. Kukus selama 10 minit atau sehingga masak. Bila dah masak kuih akan jadi berlubang di tengahnya. 6. Hidang bersama kelapa parut.
Assalamualaikum wrh... wbr.... Salam sejahtera kepada teman-teman semua. Kelmarin saya sempat jalan-jalan kat Sungai Buluh. Selepas ke hospital, saya sempat singgah kat nursery bunga yang berdekatan dgn Hospital Sungai Buluh. Tujuannya memang untuk membeli anak pokok bunga. Dapat lah beli dua tiga jenis pokok untuk ditanam di rumah. Suka sangat tengok pokok-pokoknya yang cantik dan subur menghijau. Sempat juga saya ambil gambarnya.....
Lihat tu... cantiknya pokok bonsai yang tumbuh menghijau tu. Sejuk mata memandang.
Ini pula pokok bunga ros jepun atau pokok bunga pukul sepuluh.
Bila tengok pokok-pokok yang cantik begini, rasa macam nak beli semua pokok-pokok bunga ini. Tapi apa kan daya, dapat lihat je pun dah cukup bersyukur lah.