Khamis, 2 Oktober 2014

Potato Fritters @ Cucur Kentang


      Assalamualaikum wrh.... wbr.....

     Salam bahagia teman-teman semua, semoga  semuanya berada dalam lindungan Allah selalu. Dua tiga hari lagi seluruh umat Islam akan merayakan hari Raya Aidil Adha. Mungkin ada di antara kita yang akan pulang ke kampung halaman beraya bersama keluarga. Apa-apa pun saya doakan semoga perjalanan anda semua selamat menuju ke destinasi masing-masing.


     Melihatkan di blog teman-teman, ramai yang sudah mencuba resepi potato fritters ni, jadi saya pun tak ketinggalan mencuba juga membuat potato fritters atau lebih dikenali dengan cucur kentang ni. Boleh tahan juga rasanya. Tapi kenalah makan bersama sos cili barulah sedap. Resepi ini saya ambil dari NELY'S KITCHEN. Terima kasih kerana sudi kongsikan resepinya.



Resepi Potato Fritters

Bahan-bahan:

3 biji kentang (dikupas dan diparut)

5 sdb tepung jagung
4 sdb tepung gandum
1 biji telur
1 biji bawang besar (dipotong)
1 biji cili merah (dihiris)
sedikit daun bawang (dihiris halus)
sedikit lada sulah 
garam
minyak masak untuk menggoreng


 Cara memasak:
1. Satukan kentang yang sudah diparut dengan 
   tepung jagung, tepung gandum, daun bawang, 
   telur, bawang besar, serbuk lada sulah 
   serta garam.Gaulkan sebati.
2. Panaskan minyak, pastikan minyak
   betul-betul panas supaya kentang tidak
   menyerap minyak.
3. Sudukan dalam kuali dan leperkan.biarkan
   garing baru terbalikkan sebelah lagi.
4. Goreng hingga keperangan. Angkat dan
   letakkan atas tisu dapur supaya serap
   minyaknya.
5. Sedia untuk dihidang. Sedap dimakan dengan 
   sos cili.


1 ulasan: