Selasa, 14 Ogos 2012

Biskut Mazola

         
     Assalamualaikum wrh wbr....

   Salam sejahtera semua. Moga ceria-ceria selalu di pagi ini. Kali ini saya sempat membuat kuih mazola. Setiap tahun saya tak ketinggalan buatkan biskut mazola ni. Kuih ni memang sedap. 


   Sebab itu lah, ia menjadi kegemaran anak-anak. Kalau dah buat kuih ni, mesti kena sembunyikan dahulu. Kalau tak, tak sempat raya lah jawabnya. Mai kita lihat resepinya....



Resepi Biskut Mazola


Bahan-bahan:


400 gm tepung gandum
400 gm kacang tanah (goreng tanpa minyak 
  dan dikisar halus)
kacang tanah untuk hiasan
200 gm gula (dikisar halus)
minyak mazola secukupnya
2 biji kuning telur (untuk disapu diatas
  biskut)

Cara membuatnya:


1. Masukkan tepung gandum, gula serta kacang
   tanah yang telah dikisar ke dalam mangkuk 
   yang sederhana besar dan gaulkan sehingga 
   adunan menjadi sebati.

2. Kemudian masukkan minyak mazola sedikit 
   demi sedikit dan uli adunan sehingga 
   menjadi doh yang lembut.

3. Bentukkan menjadi bulat atau terapkan di 
   dalam acuan yang digemari dan tekan 
   sedikit bahagian tengahnya (sebagai
   hiasan) dan letakkan sebiji kacang tanah.

4. Setelah itu, letakkan kedalam loyang dan 
   sapukan kuning telur di atas permukaan 
   adunan biskut tersebut.

5. Masukkan dalam ketuhar dan bakar pada 
   suhu 160C selama 15 -20 minit.

6. Sejukkan dahulu sebelum disimpan ke dalam
   bekas kedap udara.




Kuih Siput

             
            Assalamualaikum wrh wbr....

    Salam ceria untuk semua. Kali ini, rasa rajin pula nak menyiput. So, saya cubalah buatkan kuih siput ni. Tahu tahu sajalah... buat kuih siput ni memerlukan kesabaran yang tinggi. Kali ini saya cuba dari MY RESEPI. 


    Terima kasih atas resepinya ini. Izinkan saya, letakkan resepinya kat sini....



Resepi Kuih Siput

Bahan-bahan:


5 cawan tepung gandum
1 biji telur
50 gram marjerin
1 sdk serbuk jintan manis
1 sdk serbuk jintan putih
2 sdk serbuk udang kering
1 sdk garam (ikut rasa)
sedikit serbuk perasa
3 sdb cili kisar/serbuk cili
Daun bawang/daun sup
santan secukupnya untuk menguli

Cara membuatnya:


1. Satukan semua bahan kecuali santan hingga 
   bercampur semuanya.

2. Uli dengan santan hingga menjadi doh.

3. Cubit sedikit adunan, gentel bagi bulat
   dan tenyeh atas papan kuih siput.

4. Bila semua doh digentel, bolehlah 
   digoreng hingga garing.




Ahad, 12 Ogos 2012

Biskut Dahlia

               
            Assalamualaikum wrh wbr....

  Salam bahagia untuk semua. Tak berapa hari lagi kita akan menyambut hari raya Aidil Fitri, maka saya rasa ramai suri rumah tangga membuat persiapan untuk hari raya nanti. Dan tidak terkecuali ada yang masih lagi membuat kuih raya. Saya juga berkesempatan membuat kuih yaitu biskut dahlia yang saya ambil resepinya dari CHE MAT GEBU. Cuma bentuk kuihnya yang tak begitu cantik.


  Walau apa pun jua saya ucapkan terima kasih kepada Che Mat Gebu atas resepi yang dicuba olehnya. Izinkan saya letakkan resepinya kat sini....



Resepi Biskut Dahlia

Bahan-bahan:


300 gm mentega
160 gm gula aising
2 biji kuning telur
1 sdt esen vanila/ esen rose
240 gm tepung gandum
100 gm tepung jagung
160 gm tepung kastard
ceri merah dipotong kecil untuk hiasan

Cara membuatnya:


1. Putar mentega dan gula aising hingga
   berkrim, masukkan kuning telur dan esen
   vanila dan putar hingga kembang.

2. Perlahankan speed, masukkan  sedikit demi 
   sedikit tepung hingga habis. Adunan akan 
   menjadi doh yang lembut dan mudah ditekan.

3. Masukkan doh ke dalam alat penekan yang
   dipasang muncung untuk biskut dahlia. 
   Tekan atas dulang pembakar. Buat hingga
   siap dan hiaskan dengan sepotong
   ceri kecil. Bakar dalam oven yang telah
   dipanaskan pada suhu 175C selama 15-20
   minit.

4. Biarkan biskut sejuk sedikirt sebelum
   dialihkan ke atas jaringan. Biarkan sejuk
   baru disimpan di dalam balang kedap udara.




Bubur Kacang Hijau

           
            Assalamualaikum wrh wbr....

   Salam sejahtera kepada semua. Dah lama benar tak makan bubur kacang. Teringin sangat rasanya nak makan, maka saya masakkan bubur kacang. Bubur kacang ni boleh dimakan dengan biskut empat segi, roti gardenia dan sedap juga dimakan begitu sahaja. Apa lagi, kalau cuaca panas, letak dalam peti sejuk. Uuumph .... memang sedap. 


   Bagi mereka yang suka durian, bolehlah letakkan dua atau tiga ulas isi durian. Bagi mereka yang first time nak masak bubur ni, inilah resepinya....



Resepi Bubur Kacang Hijau

Bahan-bahan:


2 cawan kacang hijau, cuci dan rendam
1/2 cawan gula merah
3/4 cawan gula pasir
1 liter santan
2 cawan air (dimasak gula hingga larut dan 
   tapis)
1 helai daun pandan
sedikit biji sagu
1/2 camca teh garam

Cara memasaknya:


1. Rebus kacang hijau hingga kembang (air 
   agak-agak). Masukkan air gula, daun 
   pandan dan kacau rata. Biarkan sehingga 
   mendidih.

2. Tuang santan, masukkan sagu serta garam.
   Kacau lagi. Masak dengan api yang seder-
   hana sambil dikacau sekali sekala. Rasa 
   dan jika kurang manis, tambah gula pasir 
   secukup rasa.

3. Sedia untuk dihidangkan.




Selasa, 7 Ogos 2012

Kuih Bakar Daging

    
            Assalamualaikum wrh wbr.....

   Salam bahagia semua, semoga anda sihat. Hari ini saya cuba buatkan kuih bakar daging untuk juadah berbuka. Memandangkan stok daging kisar masih ada dalam peti sejuk, maka saya cuba buatkan kuih tersebut. 

   Kali ini saya mencuba dari resepi Kak Gee dan Che Mat Gebu. Sedap kuihnya....Izinkan saya letakkan resepinya kat sini. Mari kita semak resepinya.


Resepi Kuih Bakar Daging

Bahan-bahan kuih bakar:


1 1/2 cawan tepung gandum

1 1/2 cawan santan kelapa (boleh ganti dgn
   susu cair/susu rendah lemak)
3 biji telur gred A
180 ml air
sedikit garam
minyak sapi secukupnya (boleh ganti dgn 
   mentega/marjerin)
beberapa titik pewarna kuning
hirisan daun bawang, untuk hiasan
cili merah didadu kecil, untuk hiasan
sos cili sebagai pencicah 


bahan inti daging:

150 gm daging kisar
1 sdb rempah kari daging
1 biji bawang besar didadu
2 ulas bawang putih dicincang halus
sedikit air
hirisan daun sup secukupnya
sedikit hirisan cili merah
garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1.UNTUK INTI DAGING - 
    Panaskan sedikit minyak dalam
    kuali,tumis bawang besar dan bawang putih
    hingga harum. Masukkan rempah kari dan
    kacau rata. Tuang sedikit air dan masak
    hingga rempah kari garing. Masukkan 
    daging dan gaul rata. Biar hingga daging 
    masak. Tambah garam secukup rasa dan
    secubit gula. Masak hingga kering.
    Masukkan hirisan daun sup dan hirisan 
    cili merah.
    Gaul rata dan matikan api. Sejukkan.

 2.UNTUK ADUNAN KUIH BAKAR-
    Satukan telur, santan dan air. Kacau
    rata dan masukkan tepung. Kacau lagi
    hingga tidak berbintil-bintil. Masukkan
    pewarna kuning dan sedikit garam, garam 
    sikit saja nak bagi rasa lemak, sbb 
    inti pun dah ada garam. Tapis dan
    ketepikan.

 3.UNTUK KUIH BAKAR DAGING-
    Panaskan acuan atas dapur, guna api 
    sederhana. Kemudian masukkan sedikit
    minyak sapi (anggaran 1/2 sudu besar).
    Kemudian ratakan. Tuang adunan kuih bakar
    3/4 penuh dan masak dgn api kecil hingga
    bahagian-bahagian tepi nampak garing.
    Masukkan 1/4 bahagian inti tadi,
    pastikan anda tabur rata-rata. Tutup 
    permukaan acuan sekejap.

 4. Sementara itu panaskan oven pada suhu 
    180C, guna api atas sahaja. Alihkan acuan
    dari atas dapur gas tadi ke dalam oven.
    Terus membakar hingga permukaan kuih
    perang keemasan. Keluarkan dari oven,
    biar sekejap dan keluarkan kuih tadi.
    Tabur hirisan daun bawang dan cili merah
    cincang atasnya sebagai hiasan.

 5. Siap untuk dihidangkan.



Isnin, 6 Ogos 2012

Nasi Daging & kerabu tomato

 
           Assalamualaikum wrh wbr....
  
      Selamat pagi semua, Semoga sihat dan ceria-ceria selalu. Teringin nak makan nasi daging, semalam saya cubalah masakkan nasi daging untuk juadah berbuka puasa. Tak banyak sangat menunya. Cuma nasi daging serta kerabu tomato sahaja. Sedap sangat nasinya. Saya cuba resepi masakan dari Tanjung Girl. Inilah resepinya....




Resepi Nasi Daging

Bahan-bahan:
5 cawan beras
5 cawan air rebusan daging
1 kilo daging
1 cawan susu cair
1 sdb yogurt
5 sdb minyak sapi
1/2 cawan minyak masak
1 labu bawang besar (dihiris)
6 ulas bawang putih (dihiris)
1 inci halia (dihiris)

Rempah:
2 batang kulit kayu manis
1 sdt bunga cengkih dan 1 sdt bunga lawang
     (dibunjut)

Bahan kisar:
1 sdt jintan putih
1 sdt jintan manis
1 sdt buah pelaga
1 sdt buah pelaga
1 sdt biji ketumbar

Bahan tabur:
sedikit daun kari (dipotong)
daun ketumbar (dipotong)
daun bawang (dipotong)
2 helai daun pandan (diikat)
3 biji cili hijau (dibelah dan potong dua)
6 biji buah keras (ditumbuk)
1 sdb garam
2 sdb gula
sedikit bawang goreng (ditabur di atas nasi 
        apabila dah masak)

Cara memasaknya:
1. Panaskan minyak masak dan minyak sapi.
   Goreng bawang sampai kekuningan, masukkan 
   bawang putih, halia, kulit kayu manis dan 
   daun kari.
2. Bila bawang dan halia berwarna coklat, 
   masukkan bahan-bahan rempah. Kacaukan
   ia sehingga naik bau.
3. Masukkan  air rebusan daging, susu cair, 
   yogurt, buah keras, garam, gula, bahan 
   rempah, cili hijau, daun-daun yang dipotong
   serta daging.Kacau sehingga mendidih.
4. Masukkan daun pandan dan beras. Biarkan 
   mendidih sehingga 3/4 masak. Tutup periuk 
   dengan aluminium foil. Diikuti dengan 
   penutupnya dan letakkan benda berat untuk
   menghalang daripada wap keluar. Kecilkan
   api, masak antara 20-25 minit.
5. Buka penutupnya dan kacau sebelum dihidang
   kan. Tabur dengan bawang goreng.

Resepi kerabu tomato

Bahan-bahan:
3 biji buah tomato*
1 labu bawang besar*
6 biji cili api*
1 biji cili merah*
sedikit air asam jawa
sedikit belacan 
2 sdb kerisik
garam 
gula

Cara membuatnya:
1. Bahan-bahan yang bertanda * dihiris.
2. Satukan semua bahan-bahan diatas, digaul-
   kan kesemua agar bercampur. Siap untuk
   dihidangkan.



Ahad, 5 Ogos 2012

Peristiwa Nuzul Quran

     
           Assalamualaikum wrh wbr....

    Salam penuh keceriaan kepada teman-teman semua, semoga beroleh keberkatan di bulan ramadhan Al Mubarak ini. Di dalam bulan ramadhan berlakunya peristiwa Nuzul Quran. Nuzul Quran berarti penurunan Al-Quran dari langit kepada nabi yang terakhir yaitu Nabi Muhammad SAW. Peristiwa ini terjadi pada malam Jumaat, 17 Ramadhan ketika nabi sedang beribadat di Gua Hira'. Pada malam tersebut ayat yang pertama diturunkan yaitu surah Al-Alaq- 5 ayat dari surah tersebut.




            Al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat berdasarkan sesuatu peristiwa yang berlaku sehingga seterusnya menjadi lengkap seperti kitab Al-Quran yang ada pada hari ini.

     Allah swt menurunkan Al-Quran sebagai satu mukjizat yang membuktikan kerasulan Nabi Muhammad SAW. Membaca, menghayati serta mengamalkan ayat-ayat suci Al-Quran adalah merupakan satu ibadat. Di dalam Al-Quran kalamullah mengandungi segala aspek hukum yang terkandung di dalamnya suruhan, larangan, iktibar serta pedoman kepada umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang membaca serta mengamalkannya akan memperolehi pelbagai kebaikkan.


Kelebihan-kelebihan membaca Al-Quran:


1. Mendapat kebaikkan, keberkatan dan kehar-

   monian hidup.

2. Dilindungi dari godaan syaitan.

3. Balasan satu huruf yang dibaca ialah 
   bidadari di syurga.

4. Pembaca Al-Quran diberi pahala yang tidak 
   akan putus.

5. Selamat dari api neraka, mendapat
   kedudukan tinggi dan mulia bersama
   malaikat. 

6. Al-Quran menjadi pembela di hari Qiamat
   bagi orang yang membaca Al-Quran.

7. Memperoleh keamanan di dunia dan kemuliaan
   di syurga.

8. Membaca sebelum tidur mendapat kawalan 
   malaikat.

9. Pembaca Al-Quran termasuk dalam golongan 
   Siddiqin, Syuhada dan Solihin.

10. Akan memberi cahaya di dalam rumah jika
    kita membaca Al-Quran di dalam rumah.

11. Mempelajari satu ayat Al-Quran lebih baik
    dari solat sunat 1000 rakaat.
        
    Semoga kita semua akan menjadikan bacaan Al-Quran sebagai amalan harian kita dan semoga allah memberikan ganjaran yang setimpal dengan amalan kita.


sumber- internet