Jumaat, 14 Ogos 2015

Bihun Goreng


    Assalamualaikum wrh... wbr...

      Bertemu lagi di entri kali ini, dah lama tak masak bihun goreng. Hari ni saya masak bihun goreng untuk sarapan pagi. Bihun goreng ni memang kesukaan anak-anak saya. Kadang-kadang kalau lama tak masak bihun goreng ni, dah mula lah sebok bertanya bila nak masak bihun. Biasa lah kalau makan bihun yang dibeli, banyaklah komplen mereka.


Resepi Bihun Goreng

Bahan-bahan:
1 bungkus bihun (direndam)
3 ketul isi ayam (dipotong kecil)
2 senduk besar cili kisar
sebungkus fish ball
6 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 ketul kiub ayam
sedikit sos tiram 
sedikit sos cili
sedikit sos tomato
sedikit kicap 
garam dan gula secukup rasa
sayur sawi (dipotong)
1/2 batang karot (dihiris halus)
sedikit minyak untuk menumis


Cara memasaknya:
1. Panaskan kuali tumis bawang yang dihiris
   sehingga layu, masukkan cili kisar. Masak
   hingga naik minyak.
2. Masukkan ayam serta fish ball. Biarkan
   sehingga ayam menjadi kecut.
3. Masukkan kicap serta sos cili, sos tiram
   serta sedikit sos tomato. Masukkan juga
   garam serta perasa. Biarkan sehingga
   mendidih. 
4. Tambahkan sedikit air jika perlu supaya
   tidak hangit.
5. Masukkan bihun serta sayur-sayur. Jika
   bihun nampak seperti keras, lebihkan
   sedikit air. Kemudian gorenglah sehingga
   bihun bercampur dengan bahan-bahannya.
   Tutupkan sekejap supaya bihun menjadi 
   lembut.
6. Rasakan garamnya, jika dah cukup rasa
   barulah ditutupkan apinya. Siap
   dihidangkan.


Khamis, 13 Ogos 2015

Asam Pedas Ikan Pari


    Assalamualaikum wrh... wbr...

      Hari ini saya masak asam pedas ikan pari. Memandangkan ikan pari kelmarin masih lagi berbaki, jadi pikir punya pikir, teringin pula nak makan asam pedas ikan pari. Teruslah kekedai berdekatan membeli rampainya untuk dicampur dalam asam pedas tersebut. Jom lah kita lihat resepinya....


Resepi Asam Pedas Ikan Pari

Bahan-bahan:
2 ketul ikan pari 
5 batang kacang bendi
1 biji terung panjang (dipotong)
2 batang serai (diketuk)
secekak daun kesum
cili kisar (mengikut kepedasan)
1 biji bawang besar*
sedikit halia*
sedikit kunyit hidup*
sedikit belacan*
sedikit serbuk lada hitam
air asam jawa
sedikit minyak untuk menumis
gula dan garam secukup rasa
air secukupnya untuk kuahnya


Cara memasaknya:
1. Bahan yang bertanda * dikisar hingga 
   halus.
2. Panaskan periuk, tumis bahan kisar 
   dengan sedikit minyak masak, masukkan 
   serai serta serbuk lada hitam. Masak 
   hingga naik minyak.
3. Masukkan air asam jawa, kemudian tambah
   air untuk kuahnya. Masukkan ikan, bendi 
   dan juga terung serta daun kesum. 
   Biarkan hingga mendidih.
4. Akhir sekali masukkan garam serta gula,
   jika suka masukkan sedikit perasa.Rasakan 
   garamnya. Jika sudah secukup rasa, barulah
   diangkat.



Sabtu, 8 Ogos 2015

Ikan Pari Bakar Air Asam


    Assalamualaikum wrh... wbr...

   Salam bahagia teman-teman, semoga ceria selalu hendaknya. Kelmarin saya sempat masak ikan pari bakar bersama air asam untuk hidangan tengahari. Alhamdulillah bertambah-tambah juga nasi bila makan. Maklumlah dah lama tak makan ikan bakar air asam. Jadi lihatlah resepi menu yang ringkas ni.


Resepi Ikan Pari Bakar

Bahan-bahan:

ikan pari
sedikit garam serta kunyit serbuk (untuk
   melumur ikan)
daun kunyit
sedikit minyak masak


Cara memasaknya:

1. Cuci ikan bersama air asam serta sedikit 
   garam untuk mengengelakkan bau hanyir 
   ikan.

2. Lumurkan dengan sedikit garam serta 
   kunyit serbuk. Biarkan seketika.

3. Sediakan kuali leper, letakkan sedikit 
   minyak supaya ikan tidak melekat pada 
   kuali.

4. Balutkan ikan dengan daun kunyit.Bakar
   diatas api yang sederhana.
   Apabila dah mask barulah diangkat.


Resepi Air Asam

Bahan-bahan:

1 biji bawang besar (dihiris halus)
cili api mengikut kepedasan (dihiris halus)
1 biji buah tomato (dipotong kecil)
sedikit air asam jawa
sedikit belacan
gula serta garam

Caranya:

 Semua bahan-bahan tadi disatukan da 
 digaulkan. Rasakan masam manisnya. Jika 
 sudah ok, bolehlah dihidangkan bersama 
 ikan bakar. Sedap dimakan bersama nasi
 panas-panas.


Jumaat, 7 Ogos 2015

Agar-agar Sirap Ros


     Assalamualaikum wrh... wbr...

    Salam bahagia teman-teman semua, bersua lagi di entri kali ini, semoga semuanya dalam keadaan sihat selalu. Di hujung minggu nimugkin masih ada lagi teman-teman yang masih berkesempatan mengunjungi rumah-rumah terbuka. Selamat menjamu selera diucapkan kepada teman-teman semua.

     Dah lama tak makan agar-agar sirap ros, beli agar-agar dah lama. Tapi tak berkesempatan membuatnya. Maka hari ni, terasa rajin pula memasak agar-agar ros ni. Bukan apa mengidam punya pasal, nak makan kena lah buat sendiri.



Resepi Agar-agar Sirap Ros

Bahan-bahan:

15 gm agar-agar tali
1 1/2 cawan gula (mengikut kemanisan)
1 liter air
1 helai daun pandan
sedikit perisa dan pewarna sirap ros
acuan yang disukai




Cara memasaknya:

1. Masukkan agar-agar ke dala periuk,
   masukkan juga air serta daun pandan yang
   diikat. Masak hingga agar-agar larut.

2. Masukkan pula gula, biarkan sehingga gula
   larut. Kemudian masukkan pewarna dan perisa
   sirap ros.

3. Kemudian tuangkan ke dalam acuan yang
   disukai. Tunggu sehingga sejuk sedikit, barulahmasukkan ke dalam peti sejuk.

4. Sedap dimakan ketika cuaca panas.



* Pesanan : Sebelum dimasukkan ke dalam 
            acuan, basahkan dahulu acuannya 
            supaya senang dikeluarkan nanti.



Jumaat, 31 Julai 2015

Sup Telur lagi


      Assalamualaikum wrh.... wbr...

      Apa khabar semua. Tentunya teman-teman semua sihat-sihat sahaja hendaknya. Bersua lagi di entri kali ini. Menu kali ini sup telur lagi. Sup telur ni memang kegemaran anak-anak saya, yang tak suka masakan yang pedas-pedas. Nak masaknya pun  senang ja, main campak-campak ja.


Resepi sup Telur

Bahan-bahan:

3 biji telur
4 ulas bawang merah ( dihiris halus)
2 ulas bawang putih (dimayang halus)
sedikit halia (dihiris halus)
sedikit serbuk lada sulah
sedikit serbuk lada hitam 
1 batang karot (dipotong kecil)
2 biji kentang (dipotong kecil)
1 ketul kiub ayam
sayur fucuk dan suun
Air secukupnya untuk kuah
sedikit daun bawang dan daun sup (dihiris halus)
sedikit minyak untuk menumis
garam dan gula secukup rasa


Cara memasaknya:

1. Panaskan sedikit minyak. Kemudian tumis 
   bawang merah, bawang putih serta halia
   sehingga kekuningan. Masukkan air 
   secukupnya.

2. Masukkan ubi kentang serta karot, biarkan 
   sehingga ia mendidih. Kemudian masukkan
   lada sulah, sedikit lada hitam serta kiub
   ayam.

3. Masukkan pula sayur fucuk serta suun,
   biarkan mendidih lagi. Masukkan pula
   garam serta perasa. Rasakan ia.

4. Akhir sekali perlahankan api, pecahkan
   telur satu persatu kedalam periuk tadi.
   Biarkan seketika. Apabila  sudah masak,
   tutupkan api, taburkan daun sup dan daun
   bawang ketika menghidangkan sup tersebut.



Ahad, 26 Julai 2015

Roti Jala Kuah Durian


       Assalamualaikum wrh... wbr...

      Dah lama tak mengupdate blog ni mengenai masakan. Kali ini saya entrikan mengenai roti jala kuah durian pula. Kebetulan buah durian lebihan daripada bulan puasa baru-baru ni masih tersimpan di dalam freezer, eloklah dimasak dijadikan kuah. Dapat juga dimakan dengan pulut tanak atau roti jala.Untuk resepi roti jala, saya cuba dari resepi CHE MAT GEBU. Terima kasih atas perkongsian resepinya.



Resepi Roti Jala

Bahan-bahan:
1 cawan tepung gandum
1/2 sdt baking powder (kalau tak letak pun 
    tak apa)
3/4 cawan air
1/2 cawan susu segar (saya guna susu cair)
2-3 titik pewarna kuning
3 sdb mentega cair (boleh diganti dengan
  minyak masak)
1 biji telur
garam secukup rasa

Caranya:
1. Satukan tepung dan ayak dalam bekas,
   masukkan telur yang dipukul sedikit.
   Tuang susu dan kacau lagi hingga tidak
   berbintil-bintil.
2. Masukkan mentega cair atau minyak masak, 
   pewarna kuning dan juga garam secukup
   rasa. Kacau dengan whisk, tapis adunan
   tadi dan ketepikan. Jika pekat tambah air
   1-2 camca besar.
3. Panaskan non-stick pan, kacau bancuhan 
   roti jala dan masukkan ke dalam acuannya.
   Kemudian kirai atas kuali tadi. Pastikan
   ia bercantum antara satu sama lain.
   Bolehlah anda lipat atau gulung. Buat
   kaedah sama untuk baki adunan hingga siap.


Resepi Kuah Durian

Bahan-bahan:
Isi durian
santan
gula kabung
gula putih
daun pandan 
garam secukup rasa

Caranya:
1. Masukkan isi durian, santan, daun pandan 
   kedalam periuk. Biarkan sehingga mendidih.
2. Masukkah gula kabung, gula putih serta
   garam.
3. Rasakan ia, bila dah cukup rasa barulah 
   diangkat. 


       Roti jala ni sesuai juga dihidangkan untuk sarapan pagi, minuman petang atau majlis-majlis tertentu.


Selasa, 21 Julai 2015

Salam Aidil Fitri 2015 M / 1436 H


     Assalamualaikum wrh... wbr...


      Salam Aidil Fitri diucapkan kepada teman-teman blogger yang sudi singgah di blog ini, semoga anda semua berbahagia di bulan Syawal yang berbahagia ini.


     Sempena di hari raya ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, maaf zahir dan bathin sekiranya selama saya berblog terdapat kata-kata yang tidak menyenangkan atau menyinggung parasaan teman-teman blogger secara sengaja atau tidak sengaja.
 
Bulan Ramadhan bulan yang mulia,
Disambut dengan penuh gembira.
Kini Syawal menjelma tiba,
Tangan dihulurkan maaf dipinta.