Salam bahagia teman-teman semua, semoga semuanya berbahagia selalu. Alhamdulillah kita baru sahaja selesai menyambut Hari Raya Aidil Adha baru-baru ini. Musim haji kali ini kita dikejutkan oleh beberapa peristiwa yang menyayat hati berikutan jatuhnya kren di Masjidil Aqso, hotel terbakar, robohnya khemah para jemaah haji serta akhir sekali berlakunya tragedi di Mina yang mengorbankan ramai para jemaah haji. Walau bagaimanapun, kita doakan semoga roh-roh mereka yang terkorban akan ditempatkan dikalangan orang-orang beriman.
Berbalik pula cerita mengenai masakan hari ini, sekali lagi saya masakkan masak lemak cili api udang, kali ini bersama belimbing buluh pula yang di ambil dari kampung sewaktu pulang beraya tempohari. Jomlah lihat resepinya...
Resepi Masak Lemak Udang sama Belimbing Buluh
Bahan-bahan: 1/2 kilo udang segenggam belimbing buluh 15 biji cili api* 5 biji cili merah* 2 biji bawang putih* 1 inci halia* 1 ketul kunyit hidup* 2 batang serai 1 helai daun kunyit santan secukupnya garam dan perasa secukup rasa
Cara memasaknya: 1. Bahan-bahan yang bertanda * dikisar halus. 2. Panaskan periuk, masukkan bahan kisar, serai serta daun kunyit, masak diatas api hingga mendidih. 3. Masukkan udang dan buah belimbing, kacau sebentar. 4. Masukkan santan, dikacau sentiasa supaya santan tidak pecah minyak. 5. Masukkan garam serta perasa secukup rasa, rasakan ia, jika dah secukup rasa barulah diangkat untuk dihidangkan.
Salam bahagia semua. Alhamdulillah rezeki kali ini, ada yang bermurah hati pulang dari Sarawak, berikan udang. Dapatlah merasa makan udang besar. Jadi saya masakkan masak lemak udang dicampur dengan nenas. Wah... bertambah-tambah my hubby makan nasi hari ni. Apalagi masak lemak memang kegemarannya.
Jom tengok resepinya...
Resepi Masak Lemak Udang Sama Nenas
Bahan-bahan: 800gm udang 1 biji nenas 1 biji kelapa (diambil santannya) 2 batang serai (diketuk) 1 helai daun kunyit (diikat) 1 keping asam gelugur 15 biji cili api* 1 biji bawang besar* 1 inci kunyit hidup* 2 biji bawang putih* garam dan gula secukup rasa
Cara memasaknya: 1. Bahan yang bertanda * dikisar sehingga lumat. 2. Panaskan periuk, masukkan bahan tumbuk serta serai,masak sebentar. 3. Masukkan udang serta nenas, dikacau supaya bercampur. Kemudian masukkan asam keping serta daun kunyit. Biarkan sehingga mendidih. 4. Perlahankan api, barulah masukkan santan. Dikacau-kacau supaya santan tidak pecah minyak. 5. Masukkan garam serta sedikit gula secukup rasa. Bila sudah masak, barulah diangkat untuk dihidangkan.
Salam bahagia, teman-teman. Melihatkan pisang masih lagi berbaki, daripada rosak begitu sahaja maka saya cuba buatkan kuih lengat pisang. Kalau dulu-dulu emak saya sering buatkan kuih lengat pisang ni terutama ketika dibulan puasa.
Jadi kali ini saya cuba dari resepi FIZA LGK, terima kasih Fiza sudi share resepi kuih ni. Izinkan saya copykan disini pula untuk rujukan nanti.
Resepi Kuih Lengat Pisang
Bahan-bahan:
Bahan A 2 cawan tepung beras 800 ml santan (saya guna santan asli) 1/2 sdt garam
Bahan B 1 1/4 cawan gula (boleh kurangkan jika pisang sudah manis) 1 cawan pisang
Bahan C 1 biji pisang -dihiris dan ditabur keatas adunan (saya tak letak)
Cara membuatnya: 1. Sediakan loyang dengan menyapu sedikit minyak ataupun lapik dengan plastik untuk memudahkan kuih dikeluarkan nanti. 2. Campur semua bahan A didalam mangkuk besar. 3. Kacau hingga larut dan tapis ke dalam periuk. Masukkan juga bahan B, iaitu pisang yang telah dilecek dengan gula. 4. Masak sebentar di atas api kecil sambil dikacau sehingga terasa berat atau pekat sedikit, matikan api. 5. Tuang adunan ke dalam loyang, tabur hirisan pisang dan kukus selama 30 minit atau sehingga masak. 5. Sejukkan dahulu, baru dipotong.
Selamat bercuti dihujung minggu ini, semoga ceria-ceria selalu.
Dua tiga hari ini kesihatan pun kurang baik demam serta batuk-batuk. Almaklumlah cuaca diluar memang tidak sihat, berjerubu sahaja. Jadi kalau boleh kita kurangkanlah mengadakan aktiviti diluar rumah. Bukan apa untuk kebaikkan kesihatan kita juga.
Berbalik kepada cerita masakan pula, kali ini saya entrikan mengenai masakan sayur bokchoy goreng bersama sos tiram. Resepi ringkas dari saya...
Resepi Sayur Bokchoy Tumis Sos Tiram
Bahan-bahan: 1 ikat sayur Bokchoy (dipotong) beberapa ekor udang 4 ulas bawang merah* 3 ulas bawang putih* 1 biji cili merah* 2 sdb sos tiram garam dan gula secukup rasa sedikit minyak untuk menumis
Cara memasaknya: 1. Bahan yang bertanda * ditumbuk halus. 2. Panaskan kuali tumis bahan tumbuk dengan sedikit minyak. Goreng bahan tumbuk hingga layu. Masukkan udang. 3. Masukkan sayur, goreng sebentar. Masukkan sos tiram, garam serta gula secukup rasa. Goreng sekejap. Rasakan ia. 4. Jika suka okey, tutupkan api dan siap untuk dihidangkan.
Salam penuh keceriaan di malam Jumaat yang berbahagia ini. Alhamdulillah, dua hari yang lepas my hubby baru sahaja pulang dari Bandung, menghadiri majlis ulangtahun Pondok Pesantren Suryalaya yang ke 110 bersama rombongannya. Sebenarnya Pondok Pesantren Suryala terletak di Tasik Malaya, kira-kira perjalanannya 3 jam dari Bandung. Sedih rasanya tak dapat ikut, tapi walaupun tak dapat ikut, dapat oleh-olehnya pun jadi lah, sebagai tanda kenangan. Setelah 4 hari di Tasik malaya, terus berangkat ke Bandung. Katanya sempatlah jalan-jalan dan shopping kat Pasar Baru, Bandung.
Fridge magnet dari Bandung, sukanya saya dapat fridge magnet ni, macam tahu-tahu je saya ni memang suka kumpul fridge magnet. Biasanya kalau kemana-mana saya akan belikan fridge magnet untuk kenangan tanda kita dah pernah sampai kat sesuatu tempat tu.
Tak lupa juga sepasang telekung untuk saya, dan juga sejadah untuk teman-temannya.
Photo kenang-kenangan sewaktu dia di sana.
My hubby bergambar bersama dosen serta sebahagian dari teman-teman serombongannya.
Gambar kenangan my hubby bersama rombongan di hadapan gedung sufah (tempat penginapan untuk orang-orang Malaysia jika ke sana).
Salam ceria untuk semua teman-teman, semoga anda berbahagia selalu. Entri kali ini, mengenai masakan sambal daging.
Akhir-akhir ini, tekanan darah pun menjadi rendah, jadi kenalah makan daging lebih sikit. Kali ini saya masak sambal daging pula. Jomlah lihat resepi yg ringkas dari saya.
Resepi Sambal Daging
Bahan-bahan: 1/2 kg daging (dipotong nipis) 2 senduk cili kering kisar 2 batang serai (diketuk) 5 ulas bawang merah (dihiris halus) 3 ulas bawang putih(dihiris) 2 sdb kerisik 1 ketul kiub daging garam dan gula secukup rasa sedikit minyak untuk menumis
Cara memasaknya: 1. Panaskan miyak, tumis serai, bawang merah serta bawang putih hingga layu, masukkan cili kisar. Goreng sehingga naik minyak. 2. Masukkan daging. Dikacau sebentar, biarkan sehingga daging kecut. Masukkan juga kerisik, kalau perlu masukkan sedikit air supaya ianya tidak hangit. 3. Masukkan kiub, garam serta gula secukup rasa. Rasakan ia, jika daging dah empuk barulah diangkat untuk dihidangkan. Sedap dimakan bersama nasi panas-panas.