Ahad, 10 Ogos 2025

Menu Lunch Tengahari Tadi

 Assalamualaikum...

Selamat berhujung minggu sahabat semua. Moga kawan-kawan semuanya sihat-sihat selalu.

Hari ni saya dan keluarga tak kemana-mana pun. Buat kerja rumah apa yang patut. Pagi-pagi lagi sibuk kemas rumah, kemaskan pokok-pokok dilaman, buang daun-daun kering, gantikan air pada pokok yang berada di dalam rumah untuk elakkan nyamuk bertelur.  Hampir tengahari pulak cuci baju sambil memasak.

Menu lunch hari ni, masak lemak ikan kering dengan nenas, ayam goreng, ulam serta sambal belacan dan sedikit buah tembikai.




Ada lebihan ikan haruan kering dari kampung, pemberian orang tua sewaktu balik kampung itu hari. Juga ada sedikit buah nenas. Maka saya buatkan masak lemak cili api. 

Untuk ayam goreng pula saya perapkan ayam dengan garam, kunyit serta sedikit rempah kari daging. Perap sebentar, barulah digoreng dengan minyak panas.



Resepi masak lemak ikan kering dengan nenas

Bahan-bahan:

ikan kering

nenas

santan

serai 

sedikit lengkuas

daun kunyit

garam, gula dan perasa


Bahan kisar:

4 ulas bawang merah

10 biji cili api

kunyit hidup


Cara memasak:

1. Masukkan bahan blender ke dalam periuk, juga serai, lengkuas, asam keping serta daun kunyit. Masak hingga mendidih. 

2. Masukkan ikan kering serta nenas. Masak lagi hingga nenas lembut.

3. Masukkan santan, sering dikacau supaya santan tidak pecah minyak.

4. Perasakan dengan garam, gula serta perasa. Dah masak barulah diangkat untuk dihidangkan.




Ulamnya pula saya kutip pucuk bayam brazil, pucuk kaduk kat belakang dapur. Juga sedikit daun salad.
Alhamdulillah... Si bongsu makan sampai bertambah-tambah nasinya.







Sabtu, 9 Ogos 2025

Ayam Goreng Krispi


 Assalamualaikum...

Salam di petang Sabtu, sambil santai di waktu petang update blog kesayangan ni.

Cerita hari ni, biasanya kalau hari sekolah, pagi-pagi dah keluar hantar anak nombor tiga gi kerja dan anak bongsu gi sekolah sekali disebabkan tempat kerja dengan sekolah berdekatan. Hari ni hari cuti ingat nak relax lah tak nak masak, nak makan kat luar. Hari-hari masak jemu jugak.

Ingat nak makan nasi kerabu, sekali dah sampai kat kedai, tutup lah pulak hari ni. Aduhai... perut dah lapar sangat. Last sekali gi wholefood beli ayam dan apa-apa yang patut, balik goreng je, jadilah ayam krispi bersama teman-temannya.




Sukanya si bongsu dapat makan ayam goreng. Dia memang penggemar ayam goreng pun, tiap hari kena masak ayam untuk dia. Kalau takdak ayam rela tak makan nasi satu hari.



Buat ayam goreng ni, mudah ja. Kan ada tepung ayam goreng yang dah siap. Gaul-gaul dengan ayam, terus goreng.

Untuk coslownya pula, parut carot dan hiris kobis beijing halus-halus. Masukkan mayonaise, Gaul hingga bercampur rata. Dah siap.

Alhamdulillah rezeki tengahari ni.




Khamis, 7 Ogos 2025

Buat Kuih Koleh Kacang Yang Sedap

 Assalamualaikum... 

Salam Jumaat sahabat semua, semoga beroleh keberkatan di hari Jummat yang mulia ini.

Dah lama tak makan kuih koleh kacang. Biasanya kalau ada kenduri kendara di rumah saudara baru dapat merasa kuih yang satu ni. Jadi malam tadi dengan gigihnya saya memasak kuih ini.

Nak buat ni agak renyahlah sikit, bukan apa sebab nak kena buat tahi minyak terlebih dahulu. Lama jugak prosesnya nak tunggu daripada kepala santan yang cair tu dimasak sehingga kering, terus jadi tahi minyak. Bila dah masak tahi minyak hmmm... baunya harum semerbak satu rumah.

Jom tengok resepi, kalau ada kawan-kawan yang berminat bolehlah dicuba resepinya.




Resepi kuih Koleh Kacang

Bahan-bahan:

250 gm santan [dimasak dijadikan tahi minyak]


Bahan A :

350 gm gula merah

150 gm gula putih

300 ml air

2 helai daun pandan


Bahan B :

300 gm tepung kacang hijau

1vsdt garam halus


Bahan C :

1700 ml santan [2 biji kelapa]




Cara memasaknya:

1. Masak bahan-bahan A hingga mendidih dan semua gula jadi cair dan hancur. Kemudian tapiskan.

2.Satukan ban B dan C. Kacau sehingga rata dan sebati. Tapiskan ke dalam kuali.

3. Masukkan bahan A tadi, kacau di atas api sederhana besar selama 1/2 jam.

4. Bila adunan dah pekat dan meletup-letup, masukkan minyak dari tahi minyak, kacau hingga betul merata.

5. Bila kuih dah masak, masukkan adunan kedalam loyang 10x10 inci, ratakan dan akhir sekali taburkan dengan tahi minya.

6. Bila dah betul-betul sejuk barulah dipotong.



Inilah rupanya tepung kacang hijau yang saya gunakan.



Sedap dimakan ketika sarapan atau minum petang. Juga sangat sesuai dihidangkan dimajlis kenduri.

Selamat mencuba.





Coffee Lover Giveaway

 Assalamualaikum...



Saya pun ikut join jugak giveaway rakan blogger kita, mummy Ayu. Jom ramai-ramai kita support.

Syaratnya pun mudah ja

1. Buat satu entry tajuk "Coffee Lover Giveaway"
2. Tepekkan pic atas tu dekat entry korang..
3.  Tulis & cerita sikit kenapa anda patut dipilih sebagai pemenang 
4. Tinggalkan link blog entry korang dekat Giveaway Mummy Ayu ...

Nak tahu hadiahnya boleh klik kat SINI.


Kenapa saya patut dipilih sebagai pemenang giveaway ni

Saya ni memang seorang penggemar kopi. Tiap pagi mesti kena minum kopi. Satu hari tak dapat minum kopi rasa macam tak best ja. Orang kata dapat minum kopi baru cerah biji mata, baru ada semangat sikit nak buat kerja apa pun.

Lagipun tengok hadihnya comel sangat... mestilah nak jadi pemenang.


Selasa, 5 Ogos 2025

5 Tips Tanaman Untuk Beginner


 Assalamualaikum...

Semenjak rajin tanam-menanam ni, ada je kawan-kawan tanya, susah ke nak tanam pokok. Jadi, saya nak share sikitlah kepada kawan-kawan yang cuba nak belajar menanam. Bagi saya sebenarnya tak susah pun nak menanam pokok, contohnya pokok sayur ke, pokok bunga ke, yang penting ada minat dan kerajinan. Setelah kita menanam pokok, perlu juga kita jaga, siram serta membaja supaya pokok tumbuh dengan sihat. Kalau saya asal ada tanah, pasu, baja, pokok atau benih dah boleh tanam dah.




Di sini saya nak share 5 tips untuk beginner menanam pokok di dalam pasu.



1. Cari pasu yang sesuai.

Cari saiz pasu yang sesuai untuk tanaman anda. Guna pasu yang kecik untuk tanaman yang kecil dan sebaliknya.




2. Gunakan pasu yang mempunyai lubang. 

Anda mesti menggunakan pasu yang ada lubang di bawahnya untuk mengelakkan air bertakung yang akan mengakibatkan akar pokok menjadi lemas, akhirnya akan menjadi busuk.



3. Cari jenis pasu mengikut citarasa anda. 
Ada banyak jenis pasu untuk pilihan, ada pasu plastik, pasu tanah liat, pasu simen dan pasu porselin.



4. Kenali jenis-jenis medium tanaman.
Medium tanaman digunakan untuk menyimpan dan mengekalkan kadar kelembapan tanah.



5. Ketahui campuran tanah.

Ketahuai nisbah campuran tanah

Campuran tanah 3:2:1 [sesuai untuk jenis tanaman]

3 campuran top soil

2 campuran compos

1 campuran pasir

Campuran tanah 2:1:1 [campuran nutrian bagus untuk pokok]

2 campuran top soil

1 campuran kompos

1 campuran sabut kelapa

Campuran tanah 1:1:1 [campuran untuk semaian]

1 campuran top soil

1 campuran kompos

1 campuran pasir


Itulah serba sedikit tipnya yang perlu diketahui jika kita nak belajar menanam.

Moga bermanfaat untuk semua.




Ahad, 3 Ogos 2025

Masak Bakso Yang Simple


 Assalamualaikum...

Salam di pagi Senin yang indah, hari yang mulai sibuk bagi teman-teman yang bekerja. Bagi mereka yang tak bekerja, tetap juga sibuk, sibuk dengan kerja-kerja rumah yang tak pernah habisnya. Walaupun apa pekerjaan kita tetaplah jalankan dengan penuh redha mudah-mudahan akan ada ganjarannya disisi Allah swt.

Cerita petang semalam teringin sangat nak makan mee bakso. Dulu sewaktu tinggal di Indonesia, selalu sangat makan mee bakso. Kat mana-mana saja ada je orang jual bakso. Sehinggakan kalau malas nak keluar ke pekan ada je orang datang jual dari rumah ke rumah.

Sekarang ni kalau nak makan bakso kena lah buat sendiri. Ada je orang jual kat gerai orang Idonesia. Buat sendiri lebih puas hati. Jadi saya buat bakso yang paling simple, tak perlu banyak bahan. Tapi tetap juga sedap.

Jom tengok resepinya...



                  
                 Resepi Bakso

bihun [dicelur]

kobis

dau sup

bawang goreng

sos cili



                  Bahan kuahnya:

bebola daging [beli yang dah siap]

air secukupnya untuk kuah

garam, gula serta perasa


Bahan kisar:

1 bii bawang besar

6 ulas bawang putih

3 biji buah keras

2 inci halia

1 sdt lada hitam


Cara masak kuahnya:

1. Panaskan periuk, tumis bahan kisar hingga wangi. Masukkan air untuk kuahnya.

2. Masukkan juga bebola daging. Tambah garam, gula serta perasa secukupnya.

3. Bila kuahnya masak, tutupkan api. Bolehlah dihidangkan.



            Bahan untuk sambal kicap:

10 biji cili api

4 ulas bawang putih

kicap

Caraya:

  Kisar cili dan bawang. Masukkan dalam periuk, masak atas api bersama kicap hingga sambal menjadi pekat.


Bahan taburan:

bawang goreng

hirisan kobis

hirisan daun sup


                                 


Cara menghidang:

Ambil mangkuk, masukkan bihun atau mee. Masukkan kuah bakso beserta baksonya sekali. Tabur dengan bawang goreng, hirisan daun sup serta hirisan kobis. Letak juga sambal kicap serta sos cili.

Selamat mecuba.



Sabtu, 2 Ogos 2025

Kuih Apam Nasi Lagi Untuk Sarapan Pagi


Assalamualaikum sahabat semua...

Selamat berhujung minggu... moga hari yang cerah ini memberikan kegembiraan dan kebahagiaan kepada kawan-kawan semua dengan izin Allah swt.

Bangun pagi ni dok pikir nak masak apa untuk sarapan pagi. Pikir punya pikir, dah lama tak buat kuih apam. Jadi lihat bahan semuanya lengkap. Jadi mengapamlah kita pagi ni.

Hari ni kita buat apam warna warni, macam-macam kaler ada. Jom tengok resepinya...




Resepi Kuih Apam Nasi

Bahan-bahan:

cawan nasi sejuk

2 cawan air

1 cawan tepung gandum

1 cawan tepung beras

3/4 cawan gula pasir

1 sdt yis

kelapa parut

sedikit garam

sedikit minyak masak

pewarna makanan



Cara membuatnya:

1. Blender nasi sejuk bersama air sehingga hancur. Masukkan pula gula. Bleder lagi biar semuanya hancur.

2. Masukkan ke dalam bekas kmudian masukkan tepung gandum tepung beras serta yis. kacau hingga bercampur rata. Kemudian perapkan. Terpulang kepada anda. Kalau saya perap selama 1/2 jam sahaja. 

3. Sediakan acuan, sapukan acuan dengan minyak masak untuk mengelak dari kuih melekat.

4. Panaskan pengukus terlebih dahulu.

5. Warnakan adunan terlebih dahulu. Kemudian masukkan adunan ke dalam acuan. Kukuslah selama 15 minit jika acuan yang digunakan  kecil. Bila kuih dah masak sejukkan dahulu sebelum dikeluarkan dari acuan.





Untuk kelapa parut pula, seeloknya kukus terlebih dahulu supaya kelapa tidak cepat basi. Bila dah sejuk masukkan sedikit garam.

Kuih tadi boleh dihidangkan dengan kelapa parut. Sedap dimakan bersama kopi O atau teh O panas.