Memaparkan catatan dengan label masakan nasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label masakan nasi. Papar semua catatan

Selasa, 28 April 2026

Menu Makan Tengahari Nasi Ala Kakwok

 

Assalamualaikum...

Salam di petang Selasa yang sedikit mendung hari ini. Setiap petang di tempat saya selalu hujan. Alhamdulillah... kalau hujan sejuk sikitlah, tak lah terlalu panas.

Lamanya tak makan nasi kakwok. Nasi kakwok ni memang terkenal di sebelah pantai timur. Dulu waktu tinggal kat tempat lama, nak makan nasi kak wok, terus saja pergi beli sebab kedainya memang dekat dengan rumah. Tapi sekarang ni susah nak jumpa nasi kakwok ni. Orang-orang yang tinggal kat tempat sekarang ramainya orang indonesia.

Nak tak nak kenalah cuba masak sendiri. Lagi pun kat FB asyik dok tayang masakan nasi kakwok saja. So, kita cubalah masak hari ni. 


Lauk nasi kak wok ni, gabungannya ayam goreng, gulai ayam, sambal belacan serta hirisan timun. Tapi saya tak ada pula timun hari ni, maka makan lah dengan apa yang ada saja.




Lauk nasi kak wok ni, ayamnya dipotong kecil-kecil, digaul dengan kunyit serbuk, serbuk cili, tepung jagung serta sedikit garam. Digaul hingga bercampur rata dan perap sekejap, kemudian baru digoreng di dalam minyak yang panas.




Untuk gulainya pula, tumis bawang merah, bawang putih serta hirisan halia ke dalam minyak panas. Kacau hingga bawang layu sedikit. Masukkan pula rempah kari daging Faiza serta sedikit serbuk cili. Biarkan sehingga berminyak baru masukkan ayam.
Kemudian masukkan potongan kentang, karot, terung serta potongan kacang panjang. Masukkan juga santan serta asam keping. Masak hingga kuah medidih atau sehingga kentang lembut. Kemudian masukkan garam, gula juga serbuk perasa. Bila dah cukup rasa baru lah diangkat untuk dihidangkan.



Untuk sambalnya pula blender cili merah, sedikit cili api, belacan serta buah limau kasturi. Tapi saya tak ada buah limau pula, saya gantikan denga asam jawa saja. Kalau letak limau kasturi lagi wangi dan sedap.





Walau apa pun, alhamdulillah kenyang hari ni, terasalah seperti makan nasi kakwok kat kedai, terlepaslah rindu nak makan nasi kakwok.





Rabu, 3 September 2025

Masak Nasi Ayam Untuk Makan Tengahari

 

Assalamualaikum...

Salam bahagia dan salam sejahtera kawan-kawan semua. Moga anda semua happy-happy selalu.

Tengahari ni saya masak nasi ayam. Dah lama tak buat nasi ayam. Kali ni saya masak nasi ayam menggunakan resepi dari Che Nom. 

Memang sedap nasi ayam ni menurut saya, sampai bertambah-tambah nasinya.

Kalau ada kawan-kawan yang nak cuba masak saya share resepinya di sini.



Resepi Nasi Ayam

Bahan untuk ayam (direbus):

1 ekor ayam dipotong 8

2 ulas bawang putih (ditumbuk halus)

2 cm halia (ditumbuk halus)

1 kiub ayam


Caranya:

1. Bersihkan ayam, toskan dan lumurkan ayam dengan 2 ulas bawang putih dan halia yang ditumbuk.

2.Rebus ayam bersama 1 ketul kiub ayam hingga empuk.

3. Angkat ayam dan perap dengan bahan perap selama 1/2 jam. (rujuk bahan perap untuk ayam)

4. Kemudian goreng dalam kepanasan api sederhana seketika, angkat dan sapukan dengan madu.



Bahan untuk Nasi:

3 cawan beras

4 cawan air rebusan ayam

2 sdb butter

1 cm halia (ditumbuk halus)

3 ulas bawang putih (ditumbuk halus)

sedikit garam

rempah 4 sekawan

1 batang serai diketuk

2 helai daun pandan

sedikit kunyit untuk warna dan aroma


Cara memasak nasi:

1. Cuci beras dan toskan airnya.

2.Panaskan butter dan tumiskan rempah empat sekawan, masukkan pula daun pandan, serai, halia dan bawang putih. Biarkan bahan tumis garing.

3. Masukkan beras dan masak seketika sehingga naik aroma dan bau.

4. Masukkan air rebusan ayam, garam dan kunyit secukupnya. Masak nasi seperti biasa.


 


Bahan Untuk Sup:

air rebusan ayam

1 biji bawang besar dikisar halus

rempah sup bunjut

daun sup dan daun bawang yang dihiris


Caranya:

1. Rebus air rebusan ayam bersama rempah sup bunjut, bawang besar.

2. Masukkan garam secukup rasa. Akhir sekali, taburkan dengan bawang goreng serta hirisan daun sup dan daun bawang.





Bahan Untuk Sosnya:

5 biji cili merah

3 ulas bawang putih

2 cm halia

1 sdb cuka

1 sdt garam

1 sdt gula

1/2 cawan air rebusan ayam


Caranya:

1. Kisarkan semua bahan diatas.

2. Masak di atas api sebentar untuk menaikkan aroma.


Bahan Untuk Kicapnya:

kuah kicap perapan ayam

kicap manis cap kipas udang

air rebusan ayam

garam


Caranya:

1. Campurkan semua bahan diatas, masak diatas api seketika.

2. Sejukkan dulu sebelum dihidangkan.




Bahan Untuk Ayam (diperap):

1 sdb kicap pekat

1 sdb sos tiram

1 cm halia (ditumbuk halus)

2 ulas bawang putih (ditumbuk halus)

1 sdb kicap cair

sedikit madu untuk sapuan


Caranya:

1. Ayam yang telah direbus, diangkat dan ditoskan.

2. Kemudian lumur dengan bahan-bahan diatas, perap selama 1/2 jam.

3. Panaskan minyak, goreng ayam sebentar. Angkat dan letakkan sedikit madu. Siap untuk dihidangkan.

Nasi ayam ini juga dihidangkan bersama daun salad, hirisan timun serta hirisan tomato.

Selamat mencuba kepada peminat nasi ayam.



Sabtu, 23 Ogos 2025

Masak Nasi Lemak Hijau Untuk Makan Tengahari

 

Assalamualaikum...

Salam di hari Sabtu yang begitu cerah ini. Pagi tadi saya hanya sarapan roti jem sahaja dengan secawan teh O panas. Jadi bila tiba tengahari cepatlah lapar balik. Nak tak nak kena lah masak nasi. Tiap hari asyik masak nasi putih saja, apa kata hari ini masak nasi lemak.

 Bila tengok semua bahan ada, jadi saya masak nasi lemak lah. Tengok pokok pandan kat tepi pintu dapur tu banyak, saya ambillah lebih sedikit. Jadi saya blender ambil airnya, maka jadilah nasi lemak hijau pandan. 

Kebetulan ada ayam setengah ekor, ingat nak goreng macam tu saja. Tiba-tiba terajin pula masak rendang ayam hari ni. Jadi hari ni kita sekeluarga makan nasi lemak hijau pandan berlaukkan rendang ayam lah.

Jom tengok resepinya...




Resepi Nasi Lemak Hijau Pandan

Bahan-bahan:
beras
santan 
4 helai daun pandan
sedikit halia
sedikit garam
air secupnya untuk memasak nasi
3 titik pewrna hijau

 Cara masak:

1. Basuh beras, kemudian toskan. Masukkan beras ke dalam periuk, masukkan santan, garam, halia ke dalam periuk. Tambah sedikit pewarna biar, warnanya lebih cantik.
2. Masak di dalam rice cooker. Sekali sekala perlu dikacau supaya nasi masak sekata.



Resepi Sambal Ikan Bilis

Bahan-bahan:

ikan bilis
cili kering
sedikit belacan
5 ulas bawang kecil
3 ulas bawang putih
air asam jawa
1 biji bawang besar (hiris bulat)
garam, gula dan perasa
sedikit minyak untuk menumis

Cara memasaknya: 

1. Cili kering, bawang merah serta bawang putih di kisar halus.
2. Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga garing. Masukkan air asam jawa, belacan. Masak lagi hingga berminyak. Masukkan ikan bilis, serta bawang besar hiris. 
3. Perasakan garam gulanya, bila sambal dah masak, angkat dan hidangkan.




Untuk rendangnya pula seperti biasa saya blender bahan-bahannya. Kemudian ditumis. Masukkan ayam, santan serta bahan-bahan lain. Masak hingga rendang kering. Ianya mengambil masa yang agak lama juga untuk rendang mejadi kering.

Bahan lain untuk hidangan nasi lemak

telur rebus

hirisan timun

ikan bilis goreng

kacang tangah goreng


Selamat mencuba...





Khamis, 14 Ogos 2025

Sarapan Pagi Dengan Nasi Goreng Bayam Brazil

 Assalamualaikum...

Selamat petang sahabat semua. Cuaca dipetang ini hujan renyai, jadi sejuk je cuaca petang ni.

Cerita pagi tadi, saya buat nasi goreng biasa letak sayur bayam brazil. Tengok bayam brazil yang saya tanam dibelakang dapur banyak sangat dan daunnya pun nampak subur. Jadi saya kutiplah pucuknya. Buat nasi goreng masukkan sayur ni, memang rasanya sedap. Biasanya makan dijadikan ulam ja. Kadang-kadang je saya buat sayur lemak campur dengan keledek. 

Lagi pun pokok sayur bayam brazil ni kalau kita rajin petik daunnya dia akan tumbuh pucuknya lebih banyak lagi.

Resepi nasi goreng cara saya... he he



Resepi Nasi Goreng Bayam Brazil

Bahan-bahan:

Nasi sejuk

sayur bayam brazil

ikan bilis

2 biji telur

2 sdb kicap

garam, gula, perasa jika suka


Bahan kisar:

3 ulas bawang merah

2 ulas bawang putih

5 biji cili api

2 biji cili merah




Cara memasaknya:

1. Kisar bahan kisar hingga halus. 

2. Panaskan minyak, goreng ikan bilis terlebih dahulu, angkat dan toskan. 

3. Lebihan minyak, tumis bahan kisar hingga naik bau dan agak garing. Masukkan gula, garam, perasa juga sedikit kicap. Masukkan juga daun bayam brazil. Masak hingga sayur sedikit layu.

4. Masukkan nasi sejuk, kacau hingga bergaul rata. Masukkan telur, goreng lagi hingga bercampur. Rasakan, dah cukup rasa matikan api dapur. Baru masukkan ikan bilis goreng.

Siap untuk dihidangkan.



Sedap dimakan panas-panas bersama kopi O atau teh O.

Rabu, 6 November 2024

Nasi Lemak Hijau

 Assalamualaikum...

Selamat malam sahabat semua, moga berbahagia selalu.

Tadi pagi saya masak nasi lemak hijau pandan untuk sarapan pagi. Tempat tinggal saya yang sekarang ni agak jauh dari kedai makan. Jadi pagi-pagi kena lah cari idea untuk masak buat sarapan.

Sekali sekala teringin juga nak makan nasi lemak. Jadi buatlah nasi lemak berwarna hijau. Resepinya seperti buat nasi lemak biasa, cuma tambah air daun pandan serta pewarna sahaja. Jom tengok resepiya.



Resepi Nasi Lemak Hijau

Bahan-bahan:

beras

santan pekat

halia

air daun pandan

air secukupnya untuk masak nasi

garam

sedikit pewarna

Cara masak nasi:

1. Basuh beras. Kemudian masukkan santan, 

   air daun pandan, halia serta garam.

2. Masukkan kedalam rice cooker. Masak 

   hingga mendidih. 

3. Kacau-kacau biar santannya tidak 

   berketul. Masak lagi hingga nasi 

   masak sempurna.



Resepi Sambal Ikan Bilis

Bahan-bahan:

ikan bilis

bawang merah [dihiris]

bawang putih dihiris]

cili blender

ikan bilis

belacan

air asam

gula, garam serta sedikit perasa

Cara memasaknya:

1. Tumis bawang merah serta bawang 

   putih hingga kekuningan.

2. Masukkan cili blender. Masak hingga

   berminyak.

3. Masukkan air asam jawa, sedikit 

   ikan bilis, garam gula perasa. 

   Masak dengan api sederhana untuk 

   masak yan sempurna.

4. Perasakan garam, bila dah cukup 

   rasa barulah diangkat untuk di

   hidangkan.




Bahan lain seperti:

telur rebus atau goreng

ikan bilis goreng

kacang tanah goreng [tiada stok]

timun dihiris

Alhamdulillah... sedap dimakan bersama kopi O panas.


Khamis, 3 Jun 2021

Southern Yellow Chicken Rice

 Assalamualaikum sahabat semua...

Selamat malam dan selamat beristirehat buat sahabat Diari Diela semua, moga anda sihat dan baik-baik saja di ketika ini.

Hari ini saya masak southern yellow chicken rice. Kadang-kadang buntu juga memikirkan nak masak apa setiap hari. Time PKP ni, nak makan kat luar tak boleh, kena lah masak kat rumah. Apalagi kalau ahli keluarga ramai, terpaksalah masak tiap hari.

Masak nasi ni mudah ja tak payah nak masak lauk bagai, Dah lengkap dengan lauknya sekali. Memang sedap nasi ni, ada rasa kari sikit sbb kita gunakan serbuk rempah kari.

Saya gunakan resepi dari Zila Forever. Terima kasih Zila sharekan resepinya. Izinkan saya share resepinya pula disini.




Resepi Southern Yellow Chicken Rice

Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam
1 sdk garam
1/2 sdt serbuk kunyit
1/2 sdt serbuk kari

Caranya:
1. Ayam dipotong dan dibersihkan, gaul bersama garam, serbuk kunyit serta serbuk kari. Perapkan seketika,kemudian goreng separuh masak.
2. Angkat dan ketepikan.



Bahan Nasi:

1 sudu rempah kari 
1 inci halia-tumbuk kasar 
4 ulas bawang merah-tumbuk kasar 
2 ulas bawang putih-tumbuk kasar 
1/2 labu bawang besar-potong dadu 
2 inci kulit kayu manis 
2 biji buah pelaga 
3 kuntum bunga lawang, 
sedikit kiub ayam sedikit garam dan sedikit serbuk lada hitam 
2 bay leaves 
4 cawan beras basmathi-cuci toskan (saya guna beras biasa)
tambah air mengikut sukatan memasak nasi biasa 
1/2 cwn susu cair - resepi asal guna santan 

untuk menumis boleh gunakan minyak sapi atau minyak masak biasa

Caranya:

1.Panaskan minyak tumiskan bunga lawang,kayu manis uah pelaga serta bahan bahan yang ditumbuk dan rempah kari hingga wangi.

2. Masukkan beras dan kacau hingga sebati atau mesra rempah tadi. 

3 Tuangkan 1/2 susu cair dan air mengikut sukatan seperti memasak nasi biasa.

4. Susunkan ayam goreng diatasnya dan masukkan garam serta kiub ayam.

5. Masak nasi hingga masak.
 
6. Setelah siap bolehlah di hidangkan bersama sos pedas dan salad.


 

Sedap dimakan ketika masih panas-panas.




Sabtu, 26 Oktober 2019

Nasi Kuning


    Assalamualaikum...

Selamat tengahari dan selamat bercuti dihujung minggu... moga sihat semua.

Hari ni, pagi-pagi lagi dah masak nasi, memandangkan ada ramai kat rumah dan kebetulan pula anak-anak sedara berkunjung kerumah. Jadi eloklah pagi2 lagi dah siap masak nasi. Tengahari nanti tak payahlah susah2 nak masak nasi lagi. 

Kali ni saya masak nasi kuning. Kalau masak nasi lemak, nak kena guna santan. Kalau nasi kuning ni hanya tumis guna minyak sahaja.




Nasi ni sesuai dimakan dengan lauk apa sahaja seperti sambal ikan bilis, sambal ikan, sambal ayam, sambal sotong atau lainnya. Tapi kali ni saya masak sambal ikan.

Resepi Nasi Kuning

Bahan-bahan:

4 cawan beras 
3 ulas bawang merah (dihiris halus)
2 ulas bawan putih (dihiris halus)
1 inci halia (dihiris halus)
1 batang serai (diketuk)
sedikit minyak untuk menumis
1 kuntum bunga lawang
sedikit garam 
sedikit serbuk kunyit

Cara memasaknya:

1. Beras dibersihkan, kemudian ketepikan,

2. Panaskan sedikit minyak, tumis bawang
   merah, bawang putih, serai serta bunga
   lawang. Goreng sehingga bawang berwarna
   kekuningan.

3. Angkat dan tuangkan ke dalam beras bersama
   minyaknya sekali. Masukkan air, serbuk
   kunyit serta garam. Sukatan air seperti 
   biasa seperti kita memasak nasi. Masaklah
   nasi sehingga ia masak sempurna.




Sambal Ikan Kembung

Bahan- bahan:

ikan (masukkan garam kunyit, kemudian
    digoreng)
cili kisar
bawang merah
bawang putih
bawang besar (dihiris bulat)
sedikit belacan
air asam jawa
gula dan garam
sedikit minyak untuk mrnumis

Cara memasaknya:

1. Tumis bawang merah serta bawang putih
   hingga kekuningan, masukkan cili kisar.
   Goreng hingga terbit minyak.

2. Masukkan air asam jawa serta belacan. 
   Kemudian masukka ikan. Tambahkan sedikit
   air supaya tidak kering. 

3. Masukkan gula dan garam. Masukkan pula 
   bawang besar. Biarkan sehingga masak. 
   Perasakan garam, jika dah secukup rasa, 
   bolehlah diangkat.



Kalau kat tempat saya di Kedah, nasi ni dipanggil juga nasi lemak, cuma bezanya tak ada santan.



Khamis, 25 Januari 2018

Nasi Lemak Rendang Ayam


        Assalamualaikum...

      Selamat petang semua sahabat. Semoga anda sihat2 sahaja diketika ini. Hari ni terlebih rajin sikit saya masak nasi lemak sambal ikan bilis serta ayam masak rendang.

      Dah lama tak makan nasi lemak yang dimasak sendiri. Kalau makan nasi lemak yg dibeli asyik tak puas je. Jadi kalau masak sendiri, nak makan banyak mana pun boleh. Anak-anak makan pun boleh menambah. Itu untungnya kalau masak sendiri... kan. Cuma rajin dengan tak rajin je.



Resepi Nasi Lemak:

Bahan-bahan:
4 cawan beras (saya guna beras biasa)
3 helai daun pandan
2 inci halia (diketuk)
garam secukup rasa
santan ikut sukatan seperti memasak nasi          biasa.

Cara memasaknya:

1. Beras dicuci bersih, masukkan ke dala 
   rice cooker. Kemudian masukkan santan
   secukupnya seperti memasak nasi biasa.
2. Masukkan daun pandan, halia serta 
   garam secukupnya.
3. Masak seperti memasak nasi biasa. Bila
   sudah mendidih dikacau, kemudian 
   ditutupkan lagi. Biar sehingga nasi 
   masak.


Resepi sambal ikan Bilis

Bahan-bahan:
Cili kering (dibelah dan direbus sebentar, 
   angkat dan blender)
ikan bilis
4 ulas bawang merah (dimayang halus)
4 ulas bawang putih (juga dimayang halus)
2 biji bawang besar (dihiris bulat)
1 inci belacan
air asam
garam dan gula secukupnya
sedikit minyak untuk menumis

Cara memasaknya:

1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali,
   tumis bawang merah serta bawang putih. 
   Biarkan sehingga garing. 
2. Masukkan cili blender. Kemudian masukkan 
   belacan. Biarkan sehingga cili masak 
   atau naik minyak.
3. Kemudian masukkan air asam jawa
   secukupnya. Masukkan ikan bilis, bawang
   hiris. Masak lagi sehingga bawang layu.
4. Masukkan garam, gula serta sedikit serbuk
   perasa. Bila sudah masak, barulah di
   angkat utk dihidangkan.



Nasi lemak ini boleh dihidangkan bersama telur rebus, hirisan timun, kacang goreng, ikan bilis goreng serta lauk pauk yg lain seperti rendang ayam, rendang daging, sambal ikan bilis, sambal sotong dan sebagainya.
Untuk resepi rendang ayam saya akan tunjukkan di next entry.


Sabtu, 19 Ogos 2017

Nasi Kuning bersama Sambal Ayam Serai


                 Assalamualaikum... selamat malam semua. Semoga anda semua sihat2 sahaja di malam minggu ini. 

     Kali ini saya ingin kongsikan resepi mengenai resepi nasi kuning serta ayam sambal serai. Dah jemu, biasanya makan nasi lemak yg dimasak bersama santan je. Tapi kali ni masak pula nasi kuning, tak payah guna santan pun. Biasanya emak saya yg selalu masak nasi kuning ini. Digandingkan dengan sambal ikan bilis atau sambal ikan. Memang sedap dimakan ketika sarapan bersama kopi O panas.

     Jom tengok resepinya...



Resepi Nasi Kuning

Bahan-bahan:
beras
air secukupnya
1 batang serai (diketuk)
rempah 4 sekawan (bunga lawang, bunga cengkuih, kulis kayu manis, buah pelaga)
sedikit serbuk kunyit
sehelai daun pandan
garam secukupnya

Bahan tumbuk:
1 inci serai
4 ulas bawang merah 
2 ulas bawang putih



Cara memasaknya:
1. Beras dicuci bersih dan dimsukkan ke dalam
   rice cooker.
2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis
   serai, rempah 4 sekawan serta bahan yg
   telah ditumbuk. Biar hingga garing.
3. Bahan yg ditumis dimasukkan ke dalam rice
   cooker, kemudian masukkan air secukupnya
   seperti memasak nasi. Masukkan pula daun
   pandan, serbuk kunyit serta garam
   secukupnya.
4. Masak seperti biasa, sekali sekala dikacau
   supaya nasi masak sekata.


Resepi Ayam sambal Serai

Bahan-bahan:
1/2 ekor ayam dipotong kecil
25 biji cili kering (diblender)
2 batang serai (diketuk)
garam serta sedikit kunyit utk menggoreng 
       ayam
garam gula secukup rasa
sedikit kerisik

Bahan kisar:
bawang besar
bawang putih
halia



Cara memasaknya:
1. Ayam yg sudah dibersihkan, diletak garam
   kunyit, kemudian di goreng separuh masak.
2. Panaskan sedikit minyak, masukkan serai
   dan masukkan pula bahan kisar. Biarkan
   sehingga naik bau. 
3. Masukkan pula cili kisar serta kerisik.
   Masak hingga naik minyak, masukkan ayam yg
   telah digoreng.
4. Masukkan garam serta gula secukup rasa,
   biarkan sehingga masak. Barulah diangkat
   serta dihidangkan.