Sabtu, 14 November 2026

Jom Tanam Sayur Dan Ulam

 Assalamualaikum...

Selamat berhari minggu... moga semua sahabat bahagia selalu.

Dah makan tengahari ke kawan-kawan? Alhamdulillah saya baru je habis makan tengahari. Baru ada masa nak blogwalking. Sebelum masak tadi jenguk dulu mini kebun di belakang dapur. Bersih-bersihkan dulu daun-daun kering yang berjatuhan. Beberapa tanaman yang saya baru tanam dah mula tumbuh.

Jom tengok tanaman apa yang saya cuba tanam minggu lepas.


                                        

          Pokok kemangi saya cuma pindahkan dari pasu kecil ke dalam pasu yang lebih besar sikit. Sebelum ni layu je. Bila dah selalu kena hujan, kembali tumbuh segar. 



Ini pula potongan batang daun selom. Dah ambil pucuknya untuk dijadikan ulam, jadi batangnya kita tanam. Rendam sekejap dalam air, bila dah tumbuh akar baru ditanam.



Benih bayam brazil pun dah mula tumbuh 

subur.







Semaian kangkung. Alhamdulillah dah mula tumbuh benihnya.



Bunga torenia juga nampak segar saja. Kalau bunga ni, cuma pindahkan anak-anak pokok yang tumbuh menumpang di pasu lain. Letak dalam satu pasu, baru nampak cantik. 



Pokok pucuk manis, beli dari pasar. Batangnya sayang nak dibuang, cucuk ja dalam pasu. Tumbuh juga dia.



Pokok ulam raja juga pindahkan dari anak-anak pokok yang tumbuh kat atas tanah. Cambahan biji benih dibawa hujan barangkali, itu benihnya tumbuh di merata tempat.



    
Ini pula benih sayur pak choy. 
Tunggu anak pokok besar sedikit baru boleh dipindahkan.


Menu Makan Tengahari Di Hari Sabtu

 

Assalamualaikum...

Selamat petang sahabat semua. Petang ni baru saja habis hujan. Cuaca sejuk ja di tempat saya.

Hari ni rajin pula masak memasak di dapur. Untuk menu makan tengahari tadi saya masak ayam masak lemak padang, kemudian kerabu buah beka serta ulam dan sambal belacan.

 

                               

Ayam masak lemak padang ni, lebih kurang sama je dengan masak lemak kita disini, cuma cilinya guna cili api serta cili besar dan kena letak daun limau purut serta lengkuas. Pula cara masaknya, kena ditumis dengan minyak.



Kerabu buah beko.



Buah beko yang dah dibakar.

Ada yang pernah makan buah beko tak? Rasanya pahit-pahit sedikit, tetapi sedap. Kebetulan saya ke pasar malam minggu lepas, Terjumpa buah beko ni, beli lah 2 keping.
Sebenarnya dah lupa yang saya ada beli buah beko ni, tadi bongkar peti ais terjumpa buah ni, rupanya belum dimasak.

Jadi hari ni saya buat kerabu je lah.
Sebelum dimasak kena lah bakar dulu di atas api. Bila dah masak, isinya akan jadi lembut dan berbau wangi. Kemudian baru dikikis kulitnya yang hitam. Sebelum dipotong dicuci bersih dahulu. Barulah dipotong kecil-kecil.




Biasanya kerabu beko ini orang campur dengan isi ikan. Kebetulan pula ikan tak ada, jadi saya gantikan dengan ikan bilis sahaja.
Bahan lain seperti hirisan bawang, hirisan cili api, kelapa goreng juga sedikit kerisik, juga saya masukkan juga sedikit sambal belacan.
Kemudian masukkan garam, gula dan serbuk perasa. Last sekali gaul sehingga bercampur rata. Akhir sekali baru diperah limau nipis.


              

Kebetulan ulam hari ni ada daun salad dan pucuk selom.



Juga sambal belacan. Biasanya sambal belacan ni saya buatkan banyak, kemudian simpan dalam peti sejuk. Nak makan je keluarkan. Dan berguna juga untuk goreng nasi pepagi. Guna sambal belacan je pun sedap.




Jumaat, 13 November 2026

Giveaway SR! Saya Nak TNG eWallet


 Assalamualaikum...

Selamat pagi sahabat semua. Salam di pagi Sabtu yang cerah ini.

Hari ni baru ada masa nak update my blog. Jalan-jalan ke blog teman-teman tetiba ternampak giveaway dari blog Shazni Rahim. Memandangkan tarikh tutupnya masih lama, masih ada masa lagi, jadi saya ikut joinlah.

Syaratnya pun mudah saja, jomlah kawan-kawan reramai kita join untuk memeriahkan lagi giveaway dari teman blogger kita ni. Yang nak ikut join boleh klik kat banner ya...




Syarat penyertaan :

  1. Terbuka kepada blogger Malaysia sahaja yang mempunyai blog aktif.Cari Hos
  2. Salin atau muat turun banner rasmi giveaway yang disediakan dalam entri ini.
  3. Terbitkan satu entri di blog masing-masing dengan tajuk "SR! Saya Nak TNG eWallet!"
  4. Masukkan banner tersebut bersama pautan ke entry ini. 
  5. Tinggalkan pautan entri penyertaan anda di ruangan komen!
Tarikh tutup : 25 November 11:59 malam

Hadiah untuk 3 Blogger Bertuah!

SR menyediakan hadiah kredit Touch 'n Go eWallet berjumlah RM100 yang akan dibahagikan kepada tiga pemenang.


🥇 Pemenang Pertama: RM50

🥈 Pemenang Kedua: RM30

🥉 Pemenang Ketiga: RM20



Ahad, 8 November 2026

Menu Makan Tengahari Semalam


 Assalamualaikum...

Jumpa lagi di update kali ini. Hari ni masih lagi cuti sempena Depavali. Oleh kerana semalam hari perayaan Depavali, jadi cutinya diganti pada hari ini. 

Cerita semalam... paginya bersarapan dengan bihun goreng. Di tengaharinya pula saya masak ayam goreng kunyit bersama kacang buncis, telur dadar, sambal bawang serta ulam rebusan daun ajinomoto.


                               

Mudah saja masak ayam goreng kunyit dengan buncis ni. Ayam dipotong kecil, dibasuh bersih, kemudian diletak sedikit garam serta serbuk kunyit. Panaskan minyak, goreng ayam hingga garing, kemudian masukkan bawang hiris,  cili hiris, juga masukkan kacang buncis. Kemudian digoreng lagi, tambah sos tiram serta serbuk perasa jika suka.



Tak lupa juga telur dadar goreng. Setiap kali makan mesti nak kena ada telur dadar ni, kalau tak ada macam tak lengkap ja.


Untuk sambal belacan pula saya buat sambal bawang style masakan orang Sunda. Selalu makan sambal belacan mentah, sekali sekala ubah cara buat sambalnya. Sambal macam ni memang sedap kalau dicicah dengan ulaman yang direbus.




Caranya, semua bahan seperti cili merah, cili api, bawang putih, bawang merah, tomato serta sedikit belacan digoreng terlebih dahulu ke dalam minyak panas. Kemudian masukkan ke dalam lesung batu ditambah sedikit garam, sedikit gula barulah ditumbuk sehingga halus. Akhir sekali baru diperah air asam limau. Biasanya orang Indonesia menggunakan pengulek untuk menghancurkan sambal. Tapi saya guna lesung batu sahaja.


Juga pucuk ajinomoto rebus yang dipetik dari tanaman kelmarin.
 


Malamnya pula selepas dia balik dari kerja, si kakak belanja makan nasi ayam gepuk Papa Jon kebetulan kedai tersebut terletak berdekatan dengan rumah.











Ok lah juga sedapnya bagi saya, tapi tak tahan saya dengan sambalnya yang terlalu pedas.



Sabtu, 7 November 2026

Kegiatan Sempena Cuti Deepavali

 

Assalamualaikum...

Hari ni hari Deepavali. Selamat bercuti buat teman-teman blogger. Mungkin ada teman-teman yang mengambil kesempatan balik kampung dicuti ini. Saya hanya bercuti dirumah saja, buat kerja apa yang patut, juga menanda kertas periksa anak-anak.

Pagi ni saya masak bihun goreng ja untuk sarapan pagi ni.




Selepas sarapan tadi jenguk tanaman yang ada kat belakang rumah. Kemudian kemaskan pokok-pokok bunga yang ada kat depan rumah. Time hujan ni, seronok pula menanam. Tiap hari tak payah siram, sebab tiap hari hujan.

Jom tengok tanaman apa yang saya tanam kat belakang rumah.



Pokok kemangi dah mula subur semula. Minta jiran sebelah rumah. Saya tanam guna keratan batang saja, alhamdulillah tumbuh.



Pokok bayam berazil pun dah mula subur lagi.



Pokok kaduk juga mula keluar pucuk baru.



Pokok daun beluntas.



Pokok ginseng jawa.



Pokok ajinomoto ni kalau sering di petik, dia akan tumbuh pucuk baru.



Pucuk kaduk lagi. Biasanya saya akan tanam lebih dari dua pasu. Kalau tanam sikit macam tak cukup je kalau nak direbus.



Pokok ajinomoto lagi.



Ini pula pucuk ulam raja, juga kalau rajin dipetik, akan bertambah subur.


]

Pokok daun kesum. Memang sangat penting ni, nak buat laksa atau asam pedas tak payah beli lagi.


Juga pokok daun pandan. Kalau nak masak nak minta ke jiran sebelah malu, lebih baik tanam sendiri. Nak guna terus ambil tak payah nak minta-minta lagi.

Itulah sebahagian daripada pokok yang saya perlu saya tanam untuk keperluan dapur.




Jumaat, 6 November 2026

Sarapan Pagi Dengan Nasi Lemak

 

Assalamualaikum...

Salam di hari Sabtu yang begitu cerah dan indah ini. Moga semua sahabat sihat dan bahagia selalu hendaknya.

Jangan berhenti berbuat baik hanya kerana manusia tidak membalas atau menghargai kebaikan kita.

Teruskan berbuat baik kerana allah, bukan kerana mengharapkan balasan manusia. Percayalah, setiap kebaikan yang kita lakukan tidak akan pernah sia-sia di sisiNya. Sedikit kata-kata hikmah buat diri sendiri.

Kawan-kawan sarapan apa pagi ni?

Bangun pagi ni dok pikir nak sarapan apa. Dah lama rasanya tak masak nasi lemak. Jadi hari ni merajinkan diri masak nasi lemak. Tapi masak agak lambatlah sikit, jadi tak payah nak masak utk makan tengahari lagi.






Hidangan nasi lemak. 




Nasinya saya guna beras biasa saja. Masukkan beras dalam periuk, masukkan santan, daun pandan, hirisan halia serta garam. Untuk airnya agak-agak saja seperti kita memasak nasi biasa. Kemudian masak di dalam rice cooker. Sekali sekala dikacau supaya nasi masak sekata.




Untuk sambalnya pula, blender cili kering, bawang besar, bawang putih. Kemudian masukkan bahan yang telah dikisar ke dalam minyak panas. Masak hingga keluar minyak serta garing. Kemudian masukkan air asam jawa, hirisan bawang besar,ikan bilis. Bila dah mendidih masukkan garam, gula serta sedikit perasa jika suka.



Bahan-bahan untuk digandingkan dengan nasi lemak, ikan bilis goreng, kacang tanah goreng, telur rebus serta hirisan timun.



Ahad, 1 November 2026

Masak Laksa Kedah Di Hari Minggu

 

Assalamualaikum...

Selamat berhari minggu sahabat semua.

Alhamdulillah... Hari ni dah 1 November 2026, dah masuk bulan November dah kita. Sedar tak sedar rupanya kita dah berada hampir di penghujung tahun rupanya. Terasa begitu cepatnya masa berjalan.

Hari ni rilex sikit, tak terkejar-kejar ke mana, jadi saya masak laksa kedah.



Hari ni merajinkan diri pergi ke pasar, membeli barang-barang dapur untuk beberapa hari kedepannya. Besok balik kerja tak perlu lagi beli barang dapur, tinggal pikir nak masak apa dengan bahan yang dah ada. Lagi pun si kecik besok dah start UPKK, jadi agak sibuklah sedikit menghantar dan mengambil dia. 

Balik dari pasar terus simpan barang-barang dapur seperti sayur, ayam dan ikan ke dalam bekas, biar lebih teratur dan memudahkan untuk penyimpanan di dalam peti sejuk.








Melihatkan pokok daun kesum yang saya tanam dah kelihatan subur, jadi ok juga masak laksa hari ni.

Teruslah rendam laksa kering, rasanya dah lama saya beli, hari ni baru jadi masak laksa. Sebenarnya saya ni bukanlah peminat laksa kuah biasa. Saya lebih suka masak laksa kuah lemak ataupun laksa johor. Tapi disebabkan lama tak merasa, teringin pula nak makan laksa kedah kuah biasa. Jadi buatlah untuk makan sendiri.



Lihat tu, seperiuk kuah laksa.


Cara memasak kuah laksa:

bahan-bahan:

ikan sardin direbus dan diambil isinya, kemudian dikisar halus.


Bahan kisar:

cili kering

bawang besar

belacan


Cara memasak kuahnya:

1.Masukkan bahan kisar, isi ikan yang telah dikisar, bunga kantan, asam keping, daun kesum serta air ke dalam periuk. Jangan terlalu banyak air, nanti kuah akan cair.

2. Masak hingga kuah mendidih dan asam keping elok kembang.

3. Sesuaikan rasanya dengan meletakkan garam serta serbuk perasa jika suka.


Hidangan laksa bersama sayur dan kuahnya.



Masak laksa ni mudah saja, tinggal rendam sekejap, kemudian rebus sehingga laksanya jadi lembut.


                                  



Bahan sayurnya saya hanya potong bawang besar, daun salad, timun dan juga cili api.

Rasanya alhamdulillah... kita yang masak dia, nak sedap tambahlah apa yang patut. Saya, kalau makan laksa seperti ini mesti kena letak kicap, baru best.