Ahad, 22 Jun 2025

Sayur Lemak Bayam Brazil

 Assalamualaikum...

Lama tak masak bayam brazil. Biasanya saya hanya buat ulam atau tumis seperti biasa saja. Kadangkala saya goreng telur, masukkan juga bayam brazil. Tapi kali ni saya cuba buat masak lemak bayam brazil dicampur dengan ubi keledek. Sedap rupanya, rasanya seperti sayur bayam biasa juga.

Di samping itu juga bayam brazil atau Alternanthera Sisso kaya dengan nutrisi dan banyak manfaatnya untuk kesihatan. Antaranya ialah melawan kanser, mengekalkan kesihatan mata, membantu menurunkan berat badan, menguatkan tulang, meningkatkan sistem imuniti badan, membantu sistem penghadaman, melancarkan darah, juga nutrisi yang baik untuk tumbesaran.

Oleh kerana pokok bayam brazil ni mudah sangat tumbuh, maka saya pun tanam banyak-banyak. Kat pasar pun jarang kita temui sayur bayam brazil ni. Eloklah kita tanam, nak makan tinggal petik je.




Nak masak kita kutip pucuk yang muda, kalau yang tua agak liat.



Resepi Masak Lemak Bayam Brazil

Bahan-bahan:

sayur bayam brazil

ubi keledek (dipotong kecil)

sedikit ikan bilis

4 ulas bawang merah

1 biji cili merah

santan

gula, garam serta perasa





Cara memasaknya:

1. Dalam periuk masukkan santan cair, ubi keledek, ikan bilis, bawang merah. Masak atas api hingga mendidih dan keledek empuk. Sentiasa dikacau supaya santannya tidak pecah minyak.

2. Masukkan daun bayam brazil, garam , gula dan perasa. Kacau lagi hingga daun layu.

3. Rasakan, bila dah cukup rasa. Boleh diangkat dan dihidangkan.


                                       

Sedap dimakan dengan nasi panas-panas.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan