Rabu, 9 Julai 2025

Bubuq Asyura Kedah

 Assalamualaikum... 

Selamat petang sahabat semua... sambil dok  relax-relax ni update blog lagi. 

Biasanya kalau dah 10 Muharam ramai dikalangan kita yang mula buat bubuq asyura. Kalau kat kampung lagi best buat bubur asyura ramai-ramai di dalam kawah menggunakan kayu api, jadi warnanya akan jadi cantik dan rasanya pun sangat sedap. Biasanya bubuq asyura ni mempunyai macam-macam rasa mengikut selera negeri masing-masing. Kalau sebelah utara biasanya rasanya manis, lemak dan letak macam-macam kacang,keledek juga pisang. Kalau di sebelah pantai timur yang saya pernah makan pula rasanya manis dan berempah. 

Cerita mengenai bubuq asyura, saya pun cubalah buat sendiri, bukan apa teringin nak makan sangat-sangat. Selalu dok nampak kat wall FB.

Semalam saya pun cuba buat bubur asyura, resepinya saya dapat dari FB. Jom tengok resepinya.



Resepi bubur Asyura

Bahan-bahan:

Bahan A

2 cawan tepung beras

2 sdb tepung jagung

1 kotak santan [200ml

4 cawan air

1 sdt garam

3 helai daun pandan

1 cawan gula putih, gula merah agak-agak saja. Gula merah dan gula putih dimasak terlebih dahulu dengan secawan air.

Campur semua bahan A ke dalam kuali, jangan dibuka api lagi. Kacau dulu dengan senduk supaya tepungnya tidak berketul dan cair semua.

Kemudian sediakan bahan B pula.



Bahan B

1 batang jagung [diambil isinya]

1/2 biji ubi keledek [potong dadu]

1/2 cawan kacang hijau

buah labu [dipotong dadu]

2 biji pisang [dipotong]

kacang kuda [saya tak masukkan]

semua bahan direbus terlebih dahulu kecuali pisang



Cara memasaknya:

1. Masak bahan A di dalam kuali dengan api kecil dan lama sehingga pekat dan berkilat.

2. Bila adunan dah kental, masukkan pula bahan rebus, kecuali pisang untuk mengelakkan pisang menjadi hancur. Kacau lagi sehingga bercampur rata. 

3. Akhir sekali masukkan pisang, kacau sebentar baru ditutupkan api.

4. Masukkan ke dalam bekas. Biarkan sehingga sejuk baru dihidangkan.





Untuk resepi ni, better kita masukkan ke dalam bekas kecil-kecil, supaya mudah dimakan nanti.
 Saya masukkan di dalam bekas yang besar.

 Adunannya agak lembik, dan tak boleh dipotong. Jadi terpaksa makan menggunakan sudu.

Untuk rasanya pula memang sedaplah, taklah begitu lemak sangat, manisnya pun sedang-sedang saja.



Sabtu, 5 Julai 2025

Tahniah Lagi Buat Anakanda Nurul Ezzati

 Assalamualaikum...

Selamat berhujung minggu sahabat semua moga berbahagia selalu.

    Saya simpankan kenangan disini mengenai penglibatan anakanda saya, Nurul Ezzati beserta kawan-kawannya sebagai wakil sekolah di karnival inovasi sekolah menengah agama Malaysia, peringkat Negeri Kedah Darul Aman. Karnival inovasi ini diadakan di bulan Jun tahun 2025 baru-baru ini. Sebanyak 21 buah sekolah telah mengambil bahagian dalam karnival kali ini.

    Syukur alhamdulillah kumpulan sekolahnya telah mendapat naib johan dalam pertandingan tersebut.





Di tahun 2025 ini juga, dia turut mengambil bahagian dalam syarahan Bahasa Melayu, hanya mendapat naib johan sahaja. Katanya dah cuba buat yang terbaik, kelihatan kecewa juga kali ini sebab tak dapat johan. Tapi tak apalah mungkin rezekinya sampai disitu sahaja.




                                   

   Syer juga di sini mengenai prestasi kedudukan terbaik di dalam kelas. Alhamdulillah, dapat hadiah dari pihak sekolah.



       
      Insyaallah tahun ini, dia akan menduduki peperiksaan SPM. Kita doakan mudah-mudahan dianya akan memperoleh kejayaan yang cemerlang nanti, isyaallah.