Ahad, 30 Ogos 2015

Goreng Cili Ikan Bilis Tempoyak


    Assalamualaikum wrh... wbr...

    Akhir-akhir ini terasa rajinlah pula mengupdate blog, sebelum ini blog terbiar je, nak tengok pun tak dak mood. Al maklumlah sekarang tengah rajin sikit, kalau penyakit malas datang, alamat berserawanglah blog.

    Kelmarin, adalah beberapa papan petai dibawa balik oleh my hubby dari kampung, katanya kat pekan sehari banyak sangat orang jual petai. Tengah musim agaknya.

    Jadi oleh kerana ada sedikit ikan bilis dalam simpanan, saya buatkan goreng cili ikan bilis bersama tempoyak. Alamak...Bertambah-tambah lah nasi tak terasa. Jomlah tengok resepi ringkas saya ni...


Resepi Goreng Cili Ikan Bilis Tempoyak

Bahan-bahan:

segenggam ikan bilis
1 papan petai (dikupas ambil isinya)
2 sdb tempoyak
1 biji bawang besar*
4 ulas bawang putih*
10 biji cili api*
Garam dan gula seculup rasa
sedikit minyak untuk menumis


Cara memasaknya:

1. Ikan bilis digoreng hingga garing,
   ketepikan.

2. Bahan yang bertanda * ditumbuk halus.

3. Masukkan sedikit minyak ke dalam kuali,
   tumis bahan yang di tumbuk, goreng 
   sehingga layu.

4. Masukkan tempoyak, digoreng lagi hingga 
   bercampur dan sedikit naik minyak.
   Masukkan petai serta masukkan garam dan
   gula secukup rasa. Tutupkan api.

5. Biarkan sekejap, bila dah agak suam 
   sedikit, barulah masukkan ikan bilis 
   untuk mengelakkan ikan bilis menjadi liat.

* Cara menggoreng ikan bilis supaya rangup.
  Panaskan minyak, sebelum minyak panas 
  cuci ikan bilis, dan terus masukkan ke
  dalam kuali. Jangan biarkan ikan bilis
  terendam lama didalam air.

 
 

Sabtu, 29 Ogos 2015

Giveaway 1.0 by ENA


    Assalamualaikum wrh... wbr...

http://www.aeinnamusa.com/2015/08/giveaway-1.0-by-ena.html

     Kali ini saya join GA yang dianjurkan oleh Aeinna Musa. Jomlah sama-sama kita support beliau GA beliau. Jika teman-teman nak join bolehlah klik kat banner. 
   
       Tarikh tamatnya 8hb Sept 2015.


Jumaat, 28 Ogos 2015

Bingka Roti Kukus Pandan


     Assalamualaikum wrh... wbr...

   Salam bahagia teman-teman semua, semoga anda semua berbahagia selalu dihujung minggu ini.

   Memandangkan  roti masih lagi berbaki tak terusik, daripada rosak nanti maka saya buatkan bingka roti kukus pandan. Saya cuba resepinya dari HANA MEMORIES, tetapi saya buatkan setengah adunan sahaja. Biasalah, kalau kuih-kuih manis anak-anak kurang gemar. Kalau buat banyak jenuh saya nak mengabihkannya. 

   Terima kasih diatas perkongsian resepinya. Izinkan saya copykan resepinya disini pula untuk rujukan saya nanti.


Resepi Bingka Roti Kukus Pandan

Bahan-bahan:

8-9 keping toti gardenia
400 ml santan
3/4 cawan gula halus
segenggam kismis
4 biji telur
1 sdk garam halus
1 sdk pes pandan
sedikit pewarna hijau 


Cara membuatnya:

1. Koyakkan roti ketepikan. Satukan santan,
   garam, gula, pes pandan dan juga telur. 
   Kacau sebati.

2. Masukkan roti dan kismis, kemudian rendam 
   lebih kurang 5 minit.

3. Sapukan loyang dengan sedikit mentega.

4. Tuangkan adunan ke dalam loyang dan kukus 
   selama lebih kurang 30 minit.

5. Sejukkan dahulu, kemudian potong dan 
   hidangkan.


      Rasa kuih ni memang sedap. Terasa lemak-lemak santannya serta manis masinnya. Bila tergigit kismis ada rasa masam sedikit. Pokoknya sedap lah.

       

Khamis, 27 Ogos 2015

Ayam Goreng Kunyit


    Assalamualaikum wrh... wbr...

     Bersua lagi di entri kali ini, dah makam tengah hari ke... belum? Masak apa hari ini?
Hari ni saya masak yg ringkas je. Beberapa hari ni asyik masak ayam sahaja, tapi itulah kesukaan anak-anak, kalau masak ikan masing-masing liat je nak makan. Kalau masak ayam laju je merka nak makan.

     Hari ni saya masak ayam goreng kunyit lagi...




Resepi ayam goreng kunyit

Bahan-bahan:

4 ketul isi ayam (dipotong kecil)
kacang panjang (dipotong)
1 biji bawang besar
1 biji cili besar
sedikit halia
1 sdb sos tiram
sedikit serbuk kunyit 
garam
minyak untuk menggoreng


Cara memasaknya:

1. Ayam dibersihkan dan dimasukkan garam dan
   kunyit, kemudian digoreng. Angkat dan
   ketepikan.

2. Kemudian ambil sedikit minyak goreng ayam 
   tadi, tumiskan bawang besar dan halia
   sehingga layu, masukkan ayam.

3. Goreng seketika, kemudian masukkan sos 
   tiram serta kacang panjang, goreng lagi. 
   Akhir sekali masukkan cili  yang dipotong.

4. Goreng sekejap hingga kacang masak, 
   barulah tutupkan api. Siap untuk
   dihidangkan.


Brocoli Goreng Sos Tiram


    Assalamualaikum wrh... wbr...

      Bersua lagi dientri kali ini, semoga teman-teman semua happy happy selalu. Kali ini entri mengenai masakan sayur. Kelmarin belanja ke pasar, lihat sayur brocoli, teringin pula nak makan. Memandangkan sekarang ni, tekanan darah pun rendah, kena lah banyakkan makan sayur-sayuran yang berwarna hijau.

      Jadi, saya masakkan sayur brocoli goreng dengan sos tiram untuk santapan tengah hari ni bersama lauk lain.


Resepi Brocoli Goreng Sos Tiram

Bahan-bahan:
1 biji sayur brocoli (dipotong)
1/2 batang carot (dihiris kecil)
5 ekor udang hidup (dibuang kepala)
2 sdb sos tiram
sedikit garam
4 biji bawang merah (dimayang halus)
3 ulas bawang putih (dimayang halus)
1 biji cili merah 
sedikit minyak masak untuk menumis 

Cara memasaknya:
1. Panaskan kuali, masukkan sedikit minyak.
   Kemudian tumis bawang merah dan bawang 
   putih hingga kekuningan.
2. Masukkan udang. Biarkan sekejap, kemudian 
   masukkan sos tiram. Dikacau sebentar.
3. Masukkan sayur brocoli serta karot. Goreng 
   sebentar, barulah masukkan garam serta cili
   merah. Rasakan ia, jika dah secukup rasa, 
   bolehlah diangkat untuk dihidangkan.


Kebaikkan memakan sayur brokoli:

1. Baik untuk kesihatan mata -lutein
   karotenoid yg ada dalam brokoli baik untuk
   mencegah penyakit mata terutama berkaitan
   dgn katarak.

2. Mencegah kanser.

3. Mengatur tekanan darah.

4. Menyihatkan sistem saraf.

5. Menguatkan tulang

6. Meningkatkan sistem kekebalan tubuh

7. Membersihkan kulit


Isnin, 24 Ogos 2015

Laksa Kuah Putih


     Assalamualaikum wrh... wbr...

   Bersua kembali di entri kali ini, semoga teman-teman semua ceria selalu hendaknya.
Teringin rasanya nak makan laksa kuah putih, memandangkan stok ikan sardin masih ada lagi dalam peti sejuk, maka saya cuba buatkan laksa kuah putih pula kali ini.


Untuk laksanya:

1. Boleh beli laksa kering di kedai,
   kemudian direndam.

2. Rebuslah dengan air hingga lembut.


Bahan untuk kuahnya:

1 kg ikan selayang 
2 sdk lada hitam
1/2 inci halia
1 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
1 biji kelapa parut (diambil santannya)
2 keping asam gelugur
garam dan perasa secukupnya






Cara memasaknya:

1. Ikan kembung dibersihkan, kemudian 
   direbus hingga masak.

2. Toskan, kemudian di ambil isinya,
   kemudian di mesin hingga halus.

3. Tumbuk bawang merah, bawang petih serta 
   lada hitam hingga lumat.

4. Masukkan ikan, bahan tumbuk serta santan 
   ke dalam periuk, masukkan pula asam
   gelugur serta garam.

5. Jerang di atas api hingga mendidih dan
   sebati.


Untuk sayurnya:

1 batang mentimun (dimayang halus)
tauge (dibuang ekornya dan dibiarkan mentah)
kacang panjang (diracik halus)
daun kesum jika ada (dihiris halus)


Jumaat, 21 Ogos 2015

Giveaway Wallet By Opzzpinky


      Assalamualaikum wrh... wbr...

http://www.opzzpinky.my/2015/08/giveaway-wallet-by-opzzpinky.html

     Cantiknya.... wallet. Kali ini saya join giveaway yang dianjurkan oleh Syarina Elyana. Mana lah tau kalau-kalau ada rezeki. Jika teman-teman nak join bolehlah klik kat banner.

    Tarikh tutupnya 12 hb September 2015.


Kuih Lempeng Kelapa


    Assalamualaikum wrh... wbr...

     Apa khabar teman-teman semua, semoga anda semua berbahagia selalu.

     Teringin rasanya nak makan lempeng kelapa, jadi saya buatkan lah untuk minum petang. Teringat dulu-dulu di zaman sekolah, mak selalu buatkan lempeng kelapa ni untuk bekalan ke sekolah. Lempeng ni boleh dimakan begitu sahaja ataupun boleh juga dimakan dengan sambal ikan bilis. Jom kita lihat resepinya.



Resepi Lempeng Kelapa

Bahan-bahan:
tepung gandum
sedikit tepung beras
kelapa parut
sedikit garam
sedikit gula
air secukupnya 
kuali leper 


Cara membuatnya:
1. Masukkan tepung gandum, tepung beras,
   gula serta garam ke dalam satu bekas. 
2. Kemudian masukkan air secukupnya, adunan 
   janganlah terlalu pekat dan jangan terlalu
   cair. 
3. Panaskan kuali dengan menggunakan api yang
   kecil, sapukan dengan sedikit minyak supaya
   tidak melekat.
4. Ambil satu senduk adunan, ratakan ia. 
   Kemudian biarkan sehingga ia masak,
   alihkan kesebelah bahagian lain. Selalu
   dibalik-balikkan supaya ia tidak hangit.
   Bila dah masak, barulah diangkat.


Majlis Kenduri Anak Saudara


     Assalamualaikum wrh... wbr...

    Salam bahagia semua, tahun ini alhamdulillah seorang lagi anak saudara telah bertemu jodoh. Minggu yang lepas adalah majlis kenduri beliau, jadi kami sekeluarga sempat menghadiri majlis kenduri beliau di Batu Kurau, Perak.

    Perkahwinan anak saudara sebelah suami saya Syazwani binti Haji Mohd. Rosli bersama pasangannya Mohd Syukri Bin Mohd Sa'ad.



    Dengan sekali lafaz sahaja mereka sah bergelar suami isteri.

Pasangan pengantin. 

   Pengantin lelaki menyarung cincin ke jari pengantin perempuan.

Acara pembatalan air sembahyang.

Barangan hantaran kedua-dua belah pihak.


Pengantin sedang menjamu selera.

     Saudara mara disebelah pengantin lelaki juga sedang menjamu selera.

     Selamat penganti Baru diucapkan kepada pasangan pengantin Norsyazwani serta pasangannya  Mohd Syukri, semoga perkahwinan yang dibina akan terus berkekalan hingga ke akhir hayat, Insyaallah.



Khamis, 20 Ogos 2015

Merdeka Giveaway By Honeyonnee.Com


     Assalamualaikum wrh... wbr...

http://www.honeyonnee.com/2015/08/merdeka-giveaway-by-honeyonneecom.html

      Jomlah teman-teman kita support giveaway yang dianjurkan oleh Mashitah binti Mamat, mudah-mudahan bertambah lagi kenalan bagi mengeratkan silaturrahim. Jika nak join bolehlah klik kat banner.

    Tarikh tamatnya : 15hb. September 2015

Jumaat, 14 Ogos 2015

Bihun Goreng


    Assalamualaikum wrh... wbr...

      Bertemu lagi di entri kali ini, dah lama tak masak bihun goreng. Hari ni saya masak bihun goreng untuk sarapan pagi. Bihun goreng ni memang kesukaan anak-anak saya. Kadang-kadang kalau lama tak masak bihun goreng ni, dah mula lah sebok bertanya bila nak masak bihun. Biasa lah kalau makan bihun yang dibeli, banyaklah komplen mereka.


Resepi Bihun Goreng

Bahan-bahan:
1 bungkus bihun (direndam)
3 ketul isi ayam (dipotong kecil)
2 senduk besar cili kisar
sebungkus fish ball
6 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 ketul kiub ayam
sedikit sos tiram 
sedikit sos cili
sedikit sos tomato
sedikit kicap 
garam dan gula secukup rasa
sayur sawi (dipotong)
1/2 batang karot (dihiris halus)
sedikit minyak untuk menumis


Cara memasaknya:
1. Panaskan kuali tumis bawang yang dihiris
   sehingga layu, masukkan cili kisar. Masak
   hingga naik minyak.
2. Masukkan ayam serta fish ball. Biarkan
   sehingga ayam menjadi kecut.
3. Masukkan kicap serta sos cili, sos tiram
   serta sedikit sos tomato. Masukkan juga
   garam serta perasa. Biarkan sehingga
   mendidih. 
4. Tambahkan sedikit air jika perlu supaya
   tidak hangit.
5. Masukkan bihun serta sayur-sayur. Jika
   bihun nampak seperti keras, lebihkan
   sedikit air. Kemudian gorenglah sehingga
   bihun bercampur dengan bahan-bahannya.
   Tutupkan sekejap supaya bihun menjadi 
   lembut.
6. Rasakan garamnya, jika dah cukup rasa
   barulah ditutupkan apinya. Siap
   dihidangkan.


Khamis, 13 Ogos 2015

Asam Pedas Ikan Pari


    Assalamualaikum wrh... wbr...

      Hari ini saya masak asam pedas ikan pari. Memandangkan ikan pari kelmarin masih lagi berbaki, jadi pikir punya pikir, teringin pula nak makan asam pedas ikan pari. Teruslah kekedai berdekatan membeli rampainya untuk dicampur dalam asam pedas tersebut. Jom lah kita lihat resepinya....


Resepi Asam Pedas Ikan Pari

Bahan-bahan:
2 ketul ikan pari 
5 batang kacang bendi
1 biji terung panjang (dipotong)
2 batang serai (diketuk)
secekak daun kesum
cili kisar (mengikut kepedasan)
1 biji bawang besar*
sedikit halia*
sedikit kunyit hidup*
sedikit belacan*
sedikit serbuk lada hitam
air asam jawa
sedikit minyak untuk menumis
gula dan garam secukup rasa
air secukupnya untuk kuahnya


Cara memasaknya:
1. Bahan yang bertanda * dikisar hingga 
   halus.
2. Panaskan periuk, tumis bahan kisar 
   dengan sedikit minyak masak, masukkan 
   serai serta serbuk lada hitam. Masak 
   hingga naik minyak.
3. Masukkan air asam jawa, kemudian tambah
   air untuk kuahnya. Masukkan ikan, bendi 
   dan juga terung serta daun kesum. 
   Biarkan hingga mendidih.
4. Akhir sekali masukkan garam serta gula,
   jika suka masukkan sedikit perasa.Rasakan 
   garamnya. Jika sudah secukup rasa, barulah
   diangkat.



Sabtu, 8 Ogos 2015

Ikan Pari Bakar Air Asam


    Assalamualaikum wrh... wbr...

   Salam bahagia teman-teman, semoga ceria selalu hendaknya. Kelmarin saya sempat masak ikan pari bakar bersama air asam untuk hidangan tengahari. Alhamdulillah bertambah-tambah juga nasi bila makan. Maklumlah dah lama tak makan ikan bakar air asam. Jadi lihatlah resepi menu yang ringkas ni.


Resepi Ikan Pari Bakar

Bahan-bahan:

ikan pari
sedikit garam serta kunyit serbuk (untuk
   melumur ikan)
daun kunyit
sedikit minyak masak


Cara memasaknya:

1. Cuci ikan bersama air asam serta sedikit 
   garam untuk mengengelakkan bau hanyir 
   ikan.

2. Lumurkan dengan sedikit garam serta 
   kunyit serbuk. Biarkan seketika.

3. Sediakan kuali leper, letakkan sedikit 
   minyak supaya ikan tidak melekat pada 
   kuali.

4. Balutkan ikan dengan daun kunyit.Bakar
   diatas api yang sederhana.
   Apabila dah mask barulah diangkat.


Resepi Air Asam

Bahan-bahan:

1 biji bawang besar (dihiris halus)
cili api mengikut kepedasan (dihiris halus)
1 biji buah tomato (dipotong kecil)
sedikit air asam jawa
sedikit belacan
gula serta garam

Caranya:

 Semua bahan-bahan tadi disatukan da 
 digaulkan. Rasakan masam manisnya. Jika 
 sudah ok, bolehlah dihidangkan bersama 
 ikan bakar. Sedap dimakan bersama nasi
 panas-panas.