Rabu, 25 Disember 2019

Bihun Sup Ayam


Assalamualaikum...

Selamat tengahari semua... semoga teman2 semuanya sihat2 selalu.

Hari ni terasa teringin nak makan bihun sup. Oleh kerana kesihatan pun kurang baik, tak boleh makan daging buat masa ini. Jadi saya buatkan je sup menggunakan daging ayam.

Jom tengok resepinya...


Resepi Bihun Sup Ayam

Bahan-bahan:

1 bungkus bihun
1/2 ekor ayam
halia
akar daun bawang
akar daun sup
4 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
garam dan perasa
1 batang kulit kayu manis
bunga cengkih

Bahan untuk taburan:

hirisan daun bawang
hirisan daun sup
bawang goreng
potongan fishcake (tak letak)
isi ayam disiat2


Cara memasaknya:

1. Panaskan air dan celur bihun, kemudian
   toskan.

2. Rebus ayam sampai empuk dengan halia, akar
   daun sup, akar daun bawang, garam serta 
   serbuk perasa. Ayam tak perlu dipotong
   supaya mudah untuk disiat2 isinya.

3. Mayang halus bawang merah serta bawang 
   putih. Panaskan minyak, tumis bahan yang
   dimayang halus tadi dengan 3 sudu minyak
   masak sehingga garing. Masukkan 1 batang
   kulit kayu manis serta bunga cengkih.

4. Masukkan 1 sudu perencah sup. Kalau sudah
   agak bau masukkan sedikit air rebusan ayam
   supaya tidak hangit.

5. Angkat dan masukkan kedalam periuk yang 
   berisi rebusan ayam tadi.

6. Didihkan selama 15 minit supaya rempah2
   tadi meresap ke dalam ayam. Kemudian 
   tutupkan api.

7. Ambil isi ayam serta tulangayam yg telah
   disiat2 tadi, masukkan semula ke dalam
   kuah sup.


Bahan untuk sambal kicap:

cili api
bawang goreng
garam dan gula
kicap manis

Tumbuk cili api serta bawang goreng. Masukkan kedalam satu bekas, kemudian masukkan kicap, garam serta gula. Siap untuk dihidangkan.


Ahad, 15 Disember 2019

Acar Timun


Assalamualaikum...

Selamat petang... selamat berhujung minggu, moga semuanya sihat selalu.

Dihari cuti hujung minggu begini sudah semestinya ibu2 sibuk meluangkan masa bersama keluarga. Jika dah bersama keluarga pastinya ibu2 atau mak2 sentiasa sibuk menyiapkan hidangan untuk untuk santapan keluarga. Ada saja idea nak masak utk hidangan keluarga. Nasi ayamlah, nasi tomatolah, nasi berianilah dan macam-macam lagi.

Kat sini saya nak sharelah mengenai acar timun yang simple cara saya.  Biasanya acar timun ni digandingkan dengan lauk kari ayam, kurma ayam, ayam masak merah dan boleh juga dimakan bersama lauk2 lain.


Resepi Acar Timun

Bahan-bahan:
1 batang timun (dihirid nipis)
1 biji bawang besar (dipotong bulat)
1 biji cili merah (dihiris)
garam 
gula
cuka



Cara membuatnya:

1. Timun yang dihiris nipis-nipis kemudiannya
   direndam kedalam air garam, biarkan 
   sekejap, kemudian toskan.

2. Bahan2 yang dihiris dimasukkan kedalam
   satu bekas, kemudian masukkan pula gula. 
   garam serta cuka. Gaulkan sehingga
   bercampur rata. Rasakan masam manisnya. 
   Siap untuk dihidangkan.


Jika suka boleh ditambah nenas yang dipotong kecil2.


Ahad, 8 Disember 2019

Masak kicap ayam yang paling mudah


Assalamualaikum...

Bersua lagi di entri kali ini, saya nak share masak kicap yang paling mudah dan senang nak disediakan. Biasanya kalau dah tak ada idea nak masak apa, masak kicap style beginilah yang kerap saya masak. Yang penting anak2 suka.

Jom tengok resepinya...



Resepi Ayam Masak Kicap

Bahan-bahan:

ayam
serbuk kunyit
garam
bawang besar (dihiris bulat)
cili merah (dipotong)
bawang putih (dihiris kasar)
kicap
sedikit sos tiram
daun bawang (dipotong)


Cara memasaknya:

1. Ayam dipotong kecil dan dicuci bersih.

   Kemudian digaul dengan garam serta kunyit.
   Perap seketika.

2. Panaskan sedikit minyak, masukkan ayam

   yang diperap tadi. Kacau dan biarkan
   sehingga airnya kering dan keluar minyak.

3. Masukkan kicap dan sedikit sos tiram

   sambil dikacau. Masukkan pula bawang 
   besar, bawang putih serta cili yang 
   dihiris. Biarkan seketika.

4. Sebelum ditutup apinya masukkan pula daun

   bawang. Siap dihidangkan.



Sedap dimakan bersama nasi panas2.


Jumaat, 6 Disember 2019

Happy Birthday Bang Chik


Assalamualaikum...

Selamat pagi...
Ni cerita petang semalam. Kelmarin adalah hari ulangtahun kelahiran anak saya yang paling kecil. Jadi selebrate lah bersama keluarga kecil kami. Time-time cuti sekolah macam ni semuanya berkumpul.






Sukanya bila dapat mainan yg diidamkan.



Semoga Mohd. Khairuddin Nasaie diberikan kesihatan yang baik, dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki selalu serta menjadi anak soleh dunia dan akhirat. Aaminn...


Rabu, 4 Disember 2019

Spaghetti Bolognese yang mudah


Assalamualaikum...

Selamat petang... Hari ni saya masak spaghetti bolognese mudah dan senang nak buat. 

Biasalah kalau hari-hari makan nasi jemu pulak. So sekali sekala kena lah tukar menu masak mi ke, laksa, bihun dan sebagainya.

Untuk sos spaghetti pula boleh je beli di pasaraya. Pilihlah jenama apa yang kita suka.
Mudah kan... Jom tengok cara saya masak spaghetti.



Resepi Spaghetti Bolognese

Bahan-bahan:

1 paket spaghetti
1 botol sos spagetti tradisional
1 paket daging cincang
beberapa batang sosej (dipotong )
cendawan butang
1 labu bawang bombay (dicincang halus)
1 biji tomato (dipotong dadu)
1/2 batang karot (dipotong dadu)
sedikit lada hitan
garam dan gula
mixed herbs
sedikit minyak utk menumis


Cara memasaknya:

1. Panaskan air, campur sedikit garam dan
   minyak. Apabila air mendidih masukkan
   spaghetti. Biar sehingga spaghetti masak
   sempurna dan lembut. 

2. Angkat dan bilas dengan air serta toskan.
   Kemudian letakkan minyak zaitun dan 
   gaulkan supaya spagetti tidak melekat2.

3. Panaskan minyak, kemudian masukkan bawang
   bombay, biar sehingga kekuningan. Masukkan
   tomato.

4. Masukkan pula daging cincang. Goreng 
   sekejap. Kemudian masukkan pula sos
   spaghetti, karot dan bahan lain.

5. Akhir sekali masukkan garam serta gula,
   Biarkan mendidih. Siap untuk dihidangkan.



Sebelum makan taburkan dulu chese parmeson.


Rabu, 13 November 2019

Ikan Kembung Masak Asam Tumis Utara


Assalamualaikum...

Selamat petang semua...
Hari ni saya masak ikan kembung asam tumis style utara. Lebih kurang macam asam pedas jugak, tapi di tumis dahulu. Biasanya asam pedas belah utara kuahnya memang cair. Berbeza dengan asam pedas belah selatan kuahnya agak pekat.

Apa-apa pun jom tengok resepinya...


Resepi Asam Tumis Ikan Kembung

Bahan-bahan:

2 ekor ikan kembung saiz besar
air asam jawa
tomato (dibelah 4)
serai (diketuk)
daun kesum
1 batang timun (dipotong)
sedikit minyak utk menumis
air secukupnya untul kuah
garam dan gula

Bahan dikisar kasar:
cili kering
sedikit halia
kunyit hidup
3 ulas bawang putih
6 ulas bawang merah
1 sdb rempah kari ikan




Cara memasaknya:

1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar           bersama serai sehingga wangi dan garing
   cilinya. Tumis lama sedikit.

2. Masukkan air asam, kemudian tambahkan air
   untuk kuahnya. Masukkan pula ikan beserta
   rampai serta daun kesum, saya letak timun.
   Masak hingga mendidih. 

3. Masukkan pula gula serta garam. Tunggu 
   sehingga timun lembut. Sebelum tutup
   apinya masukkan tomato. Tutupkan api dan
   siap untuk dihidangkan.


Sedap dimakan bersama nasi panas-panas.



Jumaat, 8 November 2019

Masak Lemak Cili Api Kerang


Assalamualaikum...

Selamat tengahari semua sahabat di dunia maya, moga semuanya sihat.

Salam Maulidur Rasul saya ucapkan kepada sahabat semua. Semoga dengan peringatan maulidur rasul akan mendekatkan diri kita kepada Allah swt.

Pergi ke kedai tadi beli barang nak masak untuk tengahari, terpandang pula kerang. Oleh kerana lama dah tak masak kerang, jadi saya belilah setengah kilo. Tiba2 pulak teringin nak makan kerang masak lemak... so inilah jadinya.



Resepi Kerang Masak Lemak

Bahan-bahan:

1/2 kilo kerang
10 ulas cili api*
1 biji bawang besar*
1 biji bawang putih*
1 inci kunyit hidup*
2 bayang serai (dititik)
1 helai daun kunyit
1 inci lengkuas
gula serta garam
santan secukupnya


Cara memasaknya:

1. Blender bahan yang bertanda* hingga halus.

2. Panaskan periuk, masukkan bahan kisar,
   masukkan pula serai, lengkuas serta daun
   kunyit. Masak sehingga mendidih.

3. masukkan pula santan, terus kacau supaya
   santan tak pecah. Masukkan kerang sambil
   dikacau-kacau.

4. Akhir sekali masukkan garam. sedikit gula
   serta perasa jika suka. Siap untuk 
   diangkat dan dihidangkan.



Sedap dimakan bersama nasi panas.


Rabu, 6 November 2019

Udang goreng kunyit sama buncis


Assalamualaikum...

Semoga sahabat semuanya sihat selalu.

Menu yang paling ringkas bila dah tak tahu nak masak apa dengan udang. Maka jadilah udang goreng kunyit.



Mudah je masak udang goreng kunyit ni. Udang dibersihkan letak garam serta kunyit, gaulkan. Kemudian potong bawang besar serta cili merah, bawang putih serta sedikit kacang buncis.


Kemudian panaskan sedikit minyak, masukkan udang yang diperap dengan garam kunyit tadi, goreng hingga sedikit layu.

Masukkan pula bawang besar, cili merah, bawang putih serta kacang buncis. Jika mahu letakkan sedikit sos tiram. Goreng lagi hingga bawang layu, siap untuk diangkat.



Sedap dimakan bersama nasi panas-panas.


Ahad, 3 November 2019

Tumis Bayam dengan jagung


Assalamualaikum...

Selamat petang semua...
Akhir2 ini kesihatan kurang memuaskan, mungkin dah agak berumur agaknya. Tekanan darah pun selalu je tinggi, menyebabkan badan jadi tak selesa. 

Jadi kenalah sentiasa banyakkan makan sayur dan buah, juga kena rajin buat kegiatan yg boleh mengeluarkan peluh. Barulah kesihatan akan kembali pulih seperti biasa.

Saya masak tumis bayam bersama jagung, kebetulan ada lebihan jagung.



Resepi tumis bayam dengan jagung

Bahan-bahan:

1 ikat bayam
1 batang jagung (dipisahkan dari empulurnya)
bawang merah(dihiris)
bawang putih(dihiris)
1 batang cili merah (dipotong)
sedikit ikan bilis
sedikit minyak masak
gula dan garam


Cara memasaknya:

1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali,
   tumis bawang merah serta bawang putih 
   sehingga layu, masukkan bayam. Biarkan 
   sehingga sedikit layu.

2. Masukkan jagung, tambah air untuk kuahnya.
   Masukkan garanm gula atau perasa jika
   suka.

3. Akhir sekali masukkan cili merah. Rasakan 
   ia, jika dah secukup rasa, angkat dan 
   hidangkan.


Sedap dimakan bersama nasi dengan lauk pauk lainnya juga sedap diratah begitu sahaja.


Rabu, 30 Oktober 2019

Asam Rebus Ikan Kembung


Assalamualaikum...

Bersua lagi dientri kali ini, semoga sahabat semua sihat hendaknya.

Ni salah satu menu yang sihat, tak menggunakan minyak. Sekali sekala kena lah makan masakan yang rebus sahaja. Tapi jika digandingkan dengan sambal belacan dan ulam-ulaman, mau bertambah juga nasi.



Resepi Asam Rebus Ikan Kembung

Bahan-Bahan:

Ikan kembung
Tomato  
kacang bendi 
Serai (di ketuk)
Asam keping
Sedikit serbuk ikan bilis
Garam secukup rasa

Bahan kisar:
Lada kering (8 batang)
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1/2 inci belacan
1/2 inci kunyit


Cara nemasaknya :

1. Didihkan air di dalam periuk.


2. Tuangkan bahan B yang telah di kisar.


3. Masukkan ikan, serai, asam keping dan

   garam secukup rasa.

4. Apabila ikan sudah masak, masukkan sayur

   (tomato/kacang bendi) sehingga layu.         Matikan api dan sedia untuk di hidang.


Sabtu, 26 Oktober 2019

Nasi Kuning


    Assalamualaikum...

Selamat tengahari dan selamat bercuti dihujung minggu... moga sihat semua.

Hari ni, pagi-pagi lagi dah masak nasi, memandangkan ada ramai kat rumah dan kebetulan pula anak-anak sedara berkunjung kerumah. Jadi eloklah pagi2 lagi dah siap masak nasi. Tengahari nanti tak payahlah susah2 nak masak nasi lagi. 

Kali ni saya masak nasi kuning. Kalau masak nasi lemak, nak kena guna santan. Kalau nasi kuning ni hanya tumis guna minyak sahaja.


Nasi ni sesuai dimakan dengan lauk apa sahaja seperti sambal ikan bilis, sambal ikan, sambal ayam, sambal sotong atau lainnya. Tapi kali ni saya masak sambal ikan.

Resepi Nasi Kuning

Bahan-bahan:

4 cawan beras 
3 ulas bawang merah (dihiris halus)
2 ulas bawan putih (dihiris halus)
1 inci halia (dihiris halus)
1 batang serai (diketuk)
sedikit minyak untuk menumis
1 kuntum bunga lawang
sedikit garam 
sedikit serbuk kunyit

Cara memasaknya:


1. Beras dibersihkan, kemudian ketepikan,


2. Panaskan sedikit minyak, tumis bawang

   merah, bawang putih, serai serta bunga
   lawang. Goreng sehingga bawang berwarna
   kekuningan.

3. Angkat dan tuangkan ke dalam beras bersama

   minyaknya sekali. Masukkan air, serbuk
   kunyit serta garam. Sukatan air seperti 
   biasa seperti kita memasak nasi. Masaklah
   nasi sehingga ia masak sempurna.


Sambal Ikan Kembung

Bahan- bahan:

ikan (masukkan garam kunyit, kemudian
    digoreng)
cili kisar
bawang merah
bawang putih
bawang besar (dihiris bulat)
sedikit belacan
air asam jawa
gula dan garam
sedikit minyak untuk mrnumis

Cara memasaknya:

1. Tumis bawang merah serta bawang putih
   hingga kekuningan, masukkan cili kisar.
   Goreng hingga terbit minyak.

2. Masukkan air asam jawa serta belacan. 
   Kemudian masukka ikan. Tambahkan sedikit
   air supaya tidak kering. 

3. Masukkan gula dan garam. Masukkan pula 
   bawang besar. Biarkan sehingga masak. 
   Perasakan garam, jika dah secukup rasa, 
   bolehlah diangkat.


Kalau kat tempat saya di Kedah, nasi ni dipanggil juga nasi lemak, cuma bezanya tak ada santan.



Khamis, 24 Oktober 2019

Puding Karamel Tanpa Telur


Assalamualaikum...

Selamat malam semua... moga anda semua ceria selalu walaupun cuacanya agak suram dipetang ini. Mungkin dah masuk musim hujan sekarang, jadi setiap petang hujan terus. Walau bagaimanapun tetap juga kita kena bersyukur walau di dalam apa keadaan sekalipun.

Lama tak buat puding karamel, teringin punya pasal jadi saya buat juga. Saya lebih suka puding karamel yang tak guna telur.



Resepi Puding Karamel tanpa Telur

Bahan A:

3 sdb gula pasir

Bahan B:

10 gram agar2 tali
4 cawan air
1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan susu pekat manis
1 tin susu cair
3 sdb
tepung kastad
1 sdk esen vanila



Cara membuatnya:

1. Pertamanya masak gula hangus terlebih
   dahulu dgn cara masukkan gula ke dalam
   kuali, kacau sehingga gula cair dan
   sehingga menjadi perang. Guna api kecil
   sahaja supaya gulanya tidak hangus. Bila
   dah siap angkat dan terus tuang ke dalam 
   acuan. Ketepikan dahulu.

2. Kemudian masak agar2 dengan air sehingga
   agar2 cair. Kemudian masukkan gula, susu
   pekat manis, susu cair serta bahan2 yang
   lain. Kacau selalu supaya adunan tidak
   bergentel.

3. Kemudian angkat, tapis dan tuangkan 
   kedalam bekas yang ada karamel tadi. 
   Sejukkan seketika. Kemudian masukkan ke
   dalam peti ais supaya ia beku sepenuhnya. 
   Terbalikkan puding dan boleh dihidangkan.



Sedap dimakan ketika cuaca panas.