Rabu, 27 April 2016

Muffin Kelapa


           Assalamualaikum wrh... wbr...

      Petang-petang terasa lapar, mulalah blogwalking ke blog teman masak memasak, terjumpalah muffin kelapa kat dapur Fiza-LGK.
Bahannya pun memang sudah ada kat dapur. Apa lagi mulalah godek-godek kat dapur, kejap je dah siap. Sedap juga muffinnya rasa sedikit manis serta lemak-lemak kelapa.
  
      Terima kasih Hafizah di atas resepinya, izinkan saya copykan resepinya di sini pula ya...


Resepi Muffin Kelapa

Bahan-bahan:

Bahan A
1 cawan kelapa kering
2 cawan tepung gandum
1 sdb serbuk penaik
5 sdb gula halus
1 sdt garam halus 

Bahan B
1 biji telur (gred A)
1 cawan susu segar
1/2 cawan minyak masak

Bahan C (untuk topping)
2 sdb gula halus
2 sdb kelapa kering
2 sdb ceri (saya guna mix fruit)


Cara membuatnya:

1. Dalam sebuah mangkuk, ayak semua bahan A
   kecuali kelapa kering.
2. Dalam bekas lain pula masukkan telur, pukul
   dengan garpu seketika dan masukkan susu
   segar dan minyak serta dikacau dengan hand
   whisk.
3. Seterusnya tuangkan bahan basah ke dalam 
   tepung yang diayak tadi, kacau sekadar
   seketika sahaja. Masukkan pula kelapa
   kering sambil dikacau lagi sekadar adunan 
   bercampur. Jangan terlebih kacau kerana 
   muffin akan menjadi keras.
4. Sudukan kedalam kertas muffin dan taburkan
   bahan topping tadi di atas adunan. Bakar ke
   dalam ketuhar (suhu 180 C) selama 20 minit
   atau sehingga masak.





Muffin yang belum dibakar.


Selasa, 26 April 2016

Kuih Apam Susu


       Assalamualaikum wrh... wbr...

   Teringin nak merasa kuih apam susu yang sebelum ini ramai antara blogger-blogger masakan telah membuatnya. Jadi saya pun cuba membuatnya malam tadi untuk sarapan tadi pagi.

Okey juga rasanya seperti kek kukus. Tapi saya makan dengan kelapa yang digaul dengan secubit garam. Baru best rasanya... Rasa apamnya sedang-sedang, taklah berapa manis dicampur pula rasa lemak-lemak masin kelapanya. Memang sedap.

  Saya cuba resepinya dari Puan Azlita Masam Manis. Terima kasih resepinya dan izinkan saya copykan resepinya di sini pula ya....




Resepi Kuih Apam Susu

Bahan-bahan:

2 cawan tepung gandum
1 sdt baking powder
4 biji telur
1 cawan gula halus
1 sdt esen vanila
1 sdb ovallete
4 sdb susu pekat manis
4 sdb minyak jagung
pewarna dan perisa yang disukai


Cara membuatnya:

1. Panaskan kukusan dahulu sebelum kita 
   memulakan membuat apam.

2. Mula-mula satukan tepung bersama baking 
   powder, kemudian ayak. Ketepikan.

3. Dalam bekas pemutar satukan telur, gula
   halus, ovallete dan esen vanila. Kemudian 
   putar hingga gebu dan adunan bertukar 
   warna putih. Putar lagi hingga sekata.

4. Tambah pula minyak jagung dan putar lagi.

5. Masukkan tepung dan baking powder yang 
   diayak tadi, kaup balik adunan sehingga
   rata. 

6. Bahagikan adunan kepada 3 atau 4 bahagian.

7. Setiap bahagian boleh diletakkan pewarna
   dan perisa yang disukai. Gaul rata.

8. Sediakan loyang 8 inci dan griskan loyang 
   dengan mentega.

9. Tuangkan adunan berselang seli warna 
   sehingaga habis. Kukus dalam kukusan yang
   telah mendidih airnya selama 40 minit.

10. Setelah masak angkat dan sejukkan. Potong
    bila ianya telah sejuk.




Sabtu, 23 April 2016

Agar-agar Bandung


         Assalamualaikum wrh... wbr...

   Bersua lagi di malam minggu yang berbahagia ini. Hari ni cuaca agak panas, maka saya buatkan agar-agar bandung untuk menyejukkan tekak. Ummmph.... sedapnya.


Resepi Agar-agar Bandung

Bahan-bahan:
10 gm agar-agar tali
3 cawan air
gula ikut kemanisan
susu cair
sedikit esen ros 
sedikit pewarna merah
1 helai daun pandan (disimpul)


Cara memasaknya:

1. Masak agar-agar tali bersama air. Apabila
   agar-agar cair masukkan gula serta daun
   pandan.
2. Kemudian masukkan susu cair, biarkan
   sehingga mendidih.
3. Masukkan pula pewarna dan perisa ros.
   Biarkan seketika. Tutupkan api.
4. Masukkan agar-agar kedalam acuan yang
   disukai, sejukkan dalam peti sejuk.
5. Sedap dimakan ketika sejuk.

  

Jumaat, 22 April 2016

Roti Jala Pandan


         Assalamualaikum wrh... wbr...

    Apa khabar teman-teman blogger semua? Tentu sihat semuanya. Dimusim cuaca panas terik ni, kenalah jaga kesihatan, banyakkan minum air. Kalau tak sihat kenalah cepat-cepat jumpa doktor, kalau melarat kan susah jadinya.

    Petang tadi rajin pula kirai roti jala. Bukan apa... kebetulan hari ni masak kari ayam. Jadi kalau makan dengan roti jala best juga. Kali ini saya cuba resepi dari Love Touch- Zila Forever. Memang sedap roti jalanya, saya hanya buatkan setengah adunan sahaja. Terima kasih resepinya yang sedap ini. Izinkan saya letakkan resepinya disini pula... ya.


Resepi Roti Jala Pandan

Bahan-bahan:
450 gram tepung gandum
1 sdt garam
450 ml susu segar
3 biji telur (dipukul sedikit)
450 ml air (tambahkan sedikit air jika 
             masih  pekat)
sedikit pewarna hijau
sedikit perisa pandan
2 sdb mentega cair 


Cara membuatnya:

1. Ayak tepung dan garam di dalam mangkuk
   besar. Buatkan lubang ditengahnya. Tuangkan
   susu, telur, separuh daripada air dan
   setengah mentega cair ke dalamnya. Untuk
   membancuh masukkan pewarna hijau dan perisa
   pandan. Masukkan baki air dan mentega
   hingga adunan tidak bergentel. Tapis dengan
   penapis halus. Untuk lebih mudah, masukkan
   semua adunan kedalam blender dan blender
   agar lebih halus.
2. Panaskan kuali leper yang tidak melekat 
   atas api yang sederhana, kemudian
   lengserkan sedikit minyak.
3. Kacau dan isikan 80ml ke dalam acuan roti
   jala.
4. Bermula dari bulatan luar, pusingkan acuan
   kira-kira 6-8 cm di dalam kuali. Terus
   memusing dalam bulatan untuk membentuk
   juraian roti. Jangan buat pada bahagian 
   yang sama dua kali kerana roti jala akan
   menjadi tebal. Biarkan masak tetapi jangan
   sampai keperangan.
5. Angkat dan lipat roti dalam bentuk baji
   atau gulungkan. Ulangi proses yang sama 
   hingga adunan habis.


     Untuk kuah kari, masak seperti biasa. Cuma saya tambahkan sedikit cili kisar semasa menumis dan juga sedikit kerisik untuk menambah kesedapannya.


 

Rabu, 20 April 2016

Kuih Apam Beras


           Assalamualaikum wrh... wbr...

   Berjumpa kembali di ruangan kali ini, semoga teman-teman blogger semua sihat sejahtera hendaknya.

   Petang ni sempat saya membuat kuih apam. Biasalah petang-petang perut terasa lapar je minta diisi. Kali ini saya membuat kuih apam beras. Saya buat setengah adunan sahaja. Itupun dah cukup banyak, saya sorang je yang mengabihkannya, anak-anak tak gemar makan kuih-kuih macam ni. Apa-apa pun terima kasih kepada yang empunya resepi, dah lama simpan resepi ni, dah tak tahu dah siapa yg empunya. Saya kongsikan disini pula ya...


Resepi Kuih Apam Beras  

Bahan-bahan:

2 cawan nasi
2 cawan tepung gandum
2 cawan tepung beras
1 cawan gula perang
3/4 cawan gula pasir
2 1/2 cawan air
2 sdk yis mauripan

kelapa parut dengan sedikit garam


Caranya:

1. Blend nasi bersama air hingga hancur 
   (masukkan air sedikit-sedikit, blend 
   sampai halus).

2. Setelah hancur, campur brown sugar serta
   gula ke dalamnya dan blend sehingga
   sebati.

3. Dalam bekas lain. Satukan tepung gandum, 
   tepung beras dan yis.

4. Selepas itu masukkan bahan cecair tadi
   kedalam bekas tepung, kacau sehingga
   sebati. 

5. Perap selama 3 jam (saya perap 1 jam
   sahaja).

6. Panaskan pengukus, balut penutupnya dengan
   kain.

7. Sapukan sedikit minyak pada acuan kecil-
   kecil.

8. Masukan adunan kedalam acuan, kemudian 
   kukus selama 15 minit. 

9. Hidang bersama kelapa parut yang digaul
   dengan secubit garam atau sedap dimakan
   begitu sahaja. 


Isnin, 18 April 2016

Tanaman Sayur Ibu


           Assalamualaikum wrh... wbr...

     Bersua kembali di hari ini. Kali ini bukan nak cerita pasal makanan, tapi tentang tanaman pula. Kelmarin sempat juga pulang ke kampung, lihat pokok-pokok sayur emak dah pun makim membesar. Sewaktu pulang cuti sekolah baru-baru ni, baru je ditanam. Cepat sangat pokok-pokok tu membesar. Malah ada sayur yg sudah boleh dimakan.
 

      Itulah bestnya kalau duduk kat kampung, ada sedikit tanah kosong kat tepi rumah, boleh bercucuk tanam. Jimat lah sikit tak payahlah nak beli sayur. Kalau tinggal kat bandar ni, semua benda kena beli.



Ini pokok labu,tapi masih belum berbuah.





 Pokok kacang bendi juga masih belum berbuah.








     Pokok petola sudah berbuah dan dah boleh pun makan sayurnya. Sedap dimasak sayur lemak.


Ini pula pokok kangkung, juga dah pun dapat merasai hasilnya. Pokok kangkung ni, kalau sering dipetik sayurnya akan bertambah subur dan akan mengeluarkan pucuk yang baru.




Sebenarnya bukan emak sorang saja yang tanam dan juga menjaga sayur-sayur ni, tapi dibantu oleh adik ipar saya yang juga berminat becucuk tanam. 


Rabu, 13 April 2016

Bubur Nasi


             Assalamualaikum wrh... wbr...

    Bertemu kembali di kali ini, semoga teman-teman blogger ceria-ceria selalu.

    Dah lama tak makan nasi bubur, kali ni saya kongsikan masakan nasi bubur yang simple je.




Resepi Nasi Bubur

Bahan-bahan:

1/2 cawan beras
1 ketul kiub ayam
Air secukupnya

Lauknya:

2 ketul ayam (dipotong kecil)
kacang buncis
garam dan kunyit
sedikit halia
bawang besar
1 biji cili merah
sedikit minyak untuk menumis

Bahan lain:

ikan bilis goreng
daun bawang (dihiris kecil)
bawang goreng


Cara memasak:

1. Beras direbus dengan air secukupnya.
   Masukkan kiub ayam. Bila bubur sudah masak
   tutupkan apinya, ketepikan.

2. Ayam dimasukkan garam serta kunyit, perap 
   seketika.

3. Panaskan kuali, masukkan sedikit minyak
   masak. Masukkan ayam yang di letak garam 
   serta kunyit, goreng sehingga ayam masak.

4. Kemudian masukkan kacang buncis, bawang 
   besar, bawang putih, halia serta cili
   merah. Goreng sehingga kacang layu. Angkat
   dan hidangkan.


* Bubur nasi ini juga boleh dihidang bersama    lauk lain.


 

Selasa, 12 April 2016

Sambal Sotong


         Assalamualaikum wrh... wbr...

     Salam penuh keceriaan kepada teman-teman blogger semua, semoga anda sentiasa ceria-ceria selalu di hari ini.

     Tengahari tadi saya masak sambal sotong untuk santapan makan tengahari, memandangkan sotong masih berbaki yang belum dimasak. Okey juga sekali-sekala makan makan nasi berlaukkan sambal sotong. Jom lihat resepinya...


Resepi Sambal Sotong

Bahan-bahan:

5 ekor sotong besar (dipotong)
2 senduk besar cili kering 
4 ulas bawang merah (dimayang halus)
3 ulas bawang putih (dimayang halus)
1 biji bawang besar (dihiris bulat) 
sedikit belacan 
1 keping asam gelugur
garam dan gula secukup rasa
sedikit minyak untuk meumis


Cara memasak:

1. Panaskan kuali, masukkan minyak. Tumis
   bawang merah serta bawang putih hingga 
   garing.

2. Masukkan cili giling, belacan serta asam
   gelugur. Masak hingga cili masak dan naik
   minyak.

3. Masukkan sotong, dikacau-kacau sehingga
   sotong sedikit masak, masukkan cili besar.
   Di kacau sekali-sekala supaya tidak 
   hangit.

4. Akhir sekali masukkan garam serta gula
   secukup rasa. Rasakan ia,  jika dah ok,
   bolehlah diangkat untuk dihidangkan. 





Isnin, 11 April 2016

Kuih Cara Berlauk


         Assalamualaikum wrh... wbr...

   Dah lama teringin nak makan kuih cara berlauk hasil air tangan sendiri. Baru sekarang berkesempatan buat kuih ni. Memang kena banyak bersabar buat kuih ni kerana buatannya agak rumit serta lambat, tapi hasilnya memang sangat sedap.

    Saya buat kuih cara berlauk ni menggunakan resepi dari Che Mat Gebu. Kali ini saya buat menggunakan ayam, lain kali nak cuba menggunakan daging pula. Terima kasih Che Mat atas resepinya yang sedap ini, izinkan saya letakkan resepinya di sini pula... ya.
  


Resepi Kuih Cara Berlauk

Bahan inti:
100 gm daging ayam (dicincang halus)
1/2 biji bawang besar (dicincang halus)
2 ulas bawang putih (dicincang halus)
2 hirisan halia (dicincang halus)
3/4 sdb rempah kari daging babas
1 sdb sos tomato
1 sdt cili kisar
garam dan gula secukup rasa
1/3 cawan air
1 biji cili merah (dibuang biji dan didadu
         kecil)
daun bawang dihiris halus

Caranya:
1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis
   bawang besar, bawang putih, halia dan cili
   kisar hingga harum.
2. Masukkan sos tomato dan rempah kari, kacau
   rata dan masak hingga garing.
3. Masukkan daging ayam cincang dan gaul rata,
   tuang air dan biar hingga kering.
4. Tambah garam secukup rasa dan secubit gula.
5. Akhir sekali masukkan sebahagian cili serta
   sebahagian hirisan daun bawang. 
6. Gaul rata, rasakan jika dah ok, bolehlah
   diangkat dan sejukkan. 

 
Bahan Kuih Cara:
75 gm tepung gandum
1 biji telur gred A
165 ml santan
2 sdb mentega cair
secubit garam 
1-2 titik pewarna kuning

Caranya:
1. Satukan semua bahan-bahan untuk kuih cara,
   kacau rata dengan whisk hingga tidak
   berbintil-bintil. Kemudian tapis dan 
   rehatkan sebentar. 
2. Boleh juga dimasukkan ke dalam pengisar
   makanan dan kisar hingga halus. Ketepikan. 

 
Untuk Kuih Cara Berlauk:
1. Panaskan acuan kuih baulu cermai di atas
   dapur gas, gunakan api paling kecil. Sapu
   setiap cetak dengasedikit minyak masak 
   (guna daun pandan yang dipotong pendek,
   ikat dan carik-carikkan di bahagian 
   hujungnya).
2. Masukkan adunan kuih cara dalam bekas
   bermuncung, tuang 3/4 penuh ke dalam 
   cetakan.
3. Bila tepi kuih kelihatan pucat, masukkan
   1/3 inti kuih di bahagian tengahnya, tabur
   juga sedikit cincangan cili merah serta 
   hirisan daun bawang.
4. Tutup permukaan acuan dengan tudung periuk.
   Biar 30 saat, buka dan bila permukaan kuih
   sudah kering, bolehlah diangkat.
5. Buat kaedah yang sama baki adunan tersebut
   hingga selesai. Siap untuk dihidangkan. 

 
 

Ahad, 10 April 2016

Sayur Lemak Sawi Hijau


     Assalamualaikum wrh... wbr...

     Bersua kembali di kali ini di dunia maya ini, semoga anda semua berbahagia selalu dihujung minggu ini. Untuk hidangan tengahari tadi saya masak yang ringkas-ringkas sahaja yaitu sayur lemak sawi hijau. Inilah resepinya bagi adik-adik yang baru belajar nak memasak.


Resepi Masak Lemak Sawi Hijau

Bahan-bahan:
1 ikat sayur sawi (dipotong)
1 batang fish cake
sedikit ikan bilis
1 biji bawang besar (dimayang halus)
1 biji bawang putih (diris)
1 biji cili merah (dihiris)
garam dan gula secukup rasa
santan secukupnya


Cara memasaknya:

1. Dalam periuk masukkan santan, bawang besar,
   bawang putih serta fish cake. Biarkan
   sehingga mendidih.
2. Masukkan sayur sawi, ikan bilis sentiasa
   dikacau supaya santan tidak pecah.
   Kemudian masukkan cili merah.
3. Masukkan garam serta gula, rasakan ia. 
   Jika sudah cukup rasa bolehlah diangkat
   untuk dihidangkan. 


 

Jumaat, 8 April 2016

Kuih Apam Coklat


         Assalamualaikum wrh... wbr...

  Bangun pagi ni terpikir-pikir nak masak apa untuk sarapan pagi. Asyik nasi goreng... nasi goreng. Memandangkan anak-anak suka coklat maka saya buatkan kuih apam coklat. 

   Habis semuanya mereka makan. Kata mereka sedaplah.... Siap suruh buat lagi di lain kali. Bermakna sedap lah tuuu... Saya cuba dari resepi Along Roz, Home Kreation. Izinkan saya copykan resepinya disini pula ya...


Resepi Kuih Apam Coklat

Bahan-bahan:

1 cawan tepung gandum
1/2 cawan gula
1/2 cawan susu pekat
1/2 cawan minyak
1/2 cawan air
1 biji telur
1/2 sdt soda bikarbonate
2 sdb serbuk koko



Cara menyediakannya:

1. Panaskan pengukus yang berisi air hingga 
   mendidih.

2. Campurkan kesemua bahan-bahan ke dalam
   mangkuk, kacau dengan senduk/whisker.

3. Tuangkan ke dalam acuan yang disukai,
   kukus hingga masak lebih kurang 10 hingga
   15 minit.