Assalamualaikum...
Salam di hari Jumaat yang penuh berkah ini, moga semuanya sihat selalu.
Memandangkan kat rumah ni banyak tepung gandum, lebih kurang 6 kampit tepung, pemberian dari orang. Jadi terpikir2 nak buat kuih apa. Saranan dari anak yang kecil nak makan karipap. Jadi merajinkan diri buat karipap.
Intinya saya guna resepi sendiri, untuk kulit karipapnya pula saya guna resepi dari blog Zila Norazila, tengok sempurna je kejadiannya. Terima kasih Zila resepi kulit karipapnya, menjadi dengan elok sekali.
Bahan untuk buat intinya:
Isi ayam cincang
rempah kari
kentang yang dipotong dadu
hirisan daun sup
hirisan bawang merah dan bawang putih untuk ditumis
daun kari
bawang besar cincang
sedikit serbuk lada hitam
minyak masak
garam, gula dan sedikit perasa
Caranya:
1. Panaskan sedikit minyak masak, tumis hirisan bawang merah dan bawang putih hingga naik bau.
2. Masukkan rempah kari, masak hingga naik minyak.
3. Masukkan ayam, kacau hingga sebati.
4. Kemudian masukkan pula kentang. Tambah sedikit air. Tunggu hingga kentang
empuk. Sambil-sambil tu semtiasa dikacau supaya tidak hangit.
5. Bila kentang dah empuk, perasakan
dengan garam, gula serta perasa.
6. Masukkan pula cincangan bawang besar. Biarkan sehingga bawang layu.
7. Last sekali masukkan hirisan daun sup. Kacau sebentar, barulah diangkat.
Inti karipap yang dah siap dimasak.
Bahan untuk kulit karipap:
400 gm tepung gandum
1/2 cawan minyak masak
2 sdb planta / marjerin
1/2 cawan air ais
Cara membuatnya:
1. Panaskan planta bersama minyak masak, curahkan kedalam tepung. Kemudian
gaul rata.
2. Masukkan pula air sedikit demi sedikit sambil menguli doh. Bila doh sudah
sebati dan lembut. Masukkan dulu ke
dalam peti sejuk selama 1/2 jam.
Barulah boleh dicanai dimasukkan
inti untuk dijadikan karipap.
Cara buat karipap:
1. Ambil sedikit tepung,canaikan
sehingga nipis, kemudian tekapkan
acuan bulat. Canai lagi.
2. Kemudian masukkan inti ke dalamnya. Tutupkan dan klimkan ditepinya
rapat-rapat. Ulang buat sehingga
habis dan siap untuk digoreng.
Bila menggoreng, gunakan api kecil, supaya karipap tidak pecah. Sentiasa balik-balikkan supaya ia masak sekata.